Monday, November 26, 2012

1 Muharam 1434H Segamat



Adik-adik yang ditugaskan untuk mencungkil rahsia kejayaan Haji Mat

Hari itu 1 Muharam 1434H. Alhamdulillah wa syukrillah.

Allah memberi peluang untuk hamba ini terus bernafas. Pasti ianya bukan suatu yang sia-sia. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa hamba yang hamba sedar mahupun tidak. Allah tidak pernah rugi malah kita yang rugi jika setiap saat dalam hidup ini kita lalai dalam mengingati-Nya. Kerana apa? Kerana dia TUAN dan kita hanyalah HAMBA. Berbeza pula dengan kuli kerana KULI dibayar gaji. HAMBA pula tidak. Betapa kerdilnya kita di sisi Allah.

Siapalah kita untuk ingkar akan perintah Dia. Lihat sahaja makhluk Allah seperti langit, bumi dan pokok-pokok.  Bayangkanlah jika mereka bertindak sebaliknya dan enggan melaksanakan tugas masing-masing? Pasti hancur alam ini. Itu semua sunnatullah. Dia yang punya kuasa mengatur segala-galanya. Hatta jasad ini juga dalam kawalannya. Diuji dan terus diuji dengan nikmat dunia.

Mengembalikan manusia kepada fitrah bukan suatu tugas yang mudah. Lihat sahaja Rasulullah yang berdakwah berpuluh-puluh tahun tahun tetapi hanya sedikit yang mahu mengikut dakwah Baginda sehinggalah dakwah Baginda berkembang dek kerana peranan sahabat-sahabat.


Selawat dan Salam buat Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat dan kaum kerabat Baginda.

Apalah ertinya andai kita punya ilmu untuk dibangga-banggakan, kedudukan yang dibangga-banggakan, rumah mewah bak istana dan kereta berpuluh-puluh ribu andai semua itu bukan untuk diinfaqkan ke jalan Allah.

Bayangkan rumah bak istana raja terrsergam indah dan tidak jauh dari rumah tersebut terdapat sebuah rumah sekangkang kera dan di dalamnya tinggal sepasang suami isteri yang diuji dengan memiliki anugerah 5 orang anak istimewa yang berbagai-bagai kerenah. Hanya sekeping hati yang cekal sahaja yang mampu berhadapan dengan ujian ini. Subhanallah, Allah Maha Adil. Diberinya ujian tertentu kepada hamba yang mampu dan layak menghadapinya!

Di sebuah rumah lain yang besar bak istana, seorang pak cik yang dahulunya hanya bersekolah hingga darjah 6 dan hidup susah setelah kematian kedua ibu bapanya sejak berumur 6 tahun. Nasi sudah tidak rupa seperti nasi. Ilmu tukangan dan niat mahu mendapatkan ilmu dan bukan gaji membawanya kepada kejayaan pada hari ini. Hartanya digunakan ke jalan Allah, membantu mereka yang memerlukan. Solat di awal waktu di masjid lima kali sehari tidak pernah ditinggalkan. Katanya, beliau mahu malaikat mengaminkan doanya. Allahu Allah.



Adik-adik Smart Regeneration Camp 2012  sedang khusyuk mendengar taklimat sebelum bergerak ke lapangan masing-masing mengikut sasaran individu dan tempat yang telah ditetapkan



Haji Mat berkongsi bahawa ustazahnya pernah memberi nasihat bahawa sehingga ke hari ini beliau masih mengingatinya dan istiqamah mengamalkannya.

“Ustazah pak cik cakap kalau kamu ada cita-cita yang baik dan mahu Allah kabulkan, puasalah sunat Isnin dan Khamis 7 minggu berturut-turut, insyaAllah Dia makbulkan”. Tinggal lagi kit mahu atau tidak kan? Sama ada kita sudah cukup kuat bermujahadah atau tidak.

Allahu Allah. Pertemuan dengan keluarga ini memberi seribu satu inspirasi.

Kejarlah ILMU dan bukan GAJI!

Sentiasa INGAT ALLAH dalam susah dan senang!

Kehidupan di atas pokok selama bertahun-tahun, hidup dhaif, pelbagai ragam anak-anak  istimewa dan si jiwa yang tabah harungi liku-liku hidup. Allah terima kasih untuk sebuah pengalaman berharga.

Semoga akan lahir lebih ramai pemuda seperti Muhammad Al-Fateh dan Sallahudin Al-Ayubi.  Kemenangan Islam pasti akan datang, tetapi biarlah kita juga tergolong dalam golongan yang menyumbang ke arah kebangkitan Islam walaupun sedikit.

“Ya Allah kau kurniakanlah kami keistiqamahan dalam melaksanakan ketaatan kepada-Mu”




"I love you teacher"




The door opens.

I step forward and smile.

Yes, there’s Zing Wong.  Every Monday and Wednesday evening he will wait for his teacher and open the door for her.

It was nice teaching somebody. It was great to share and spread the knowledge. Though is not that biggie thing but still for a 6 years old boy it’s more than that.

It’s kind of easy for me as I don’t have to do any revisions before I start teaching. Facing with my research from morning till evening and Alhamdulillah I do not have to do revisions before teaching. It’s holiday and no tuition for PMR and SPM students.

Deep down in my heart, I am dreaming of sharing all those things with the Muslims children.  But at this moment, Allah gives me great chance to invite others towards the beauty of Islam.

Every time I finished teaching and going back to hostel, I am wondering about Zing Wong’s future, about his family future. Why I am so afraid of inviting them towards fitrah. Allah, I am not that strong. But In shaa Allah slowly I will try my best to show the best akhlaq. Dakwah bil hal! InshaAllah!

For the last two weeks, I used to say..“Zing Wong, please do your very best and try to finish your homework and I’ll give you chocolate next week ok?”

With his broad smile he replied to me “Yeah….I also will give chocolate ok teacher?”
“You don’t have to Zing Wong”….

He always said that “I love you teacher”. Four words are enough to make me feel released. Alhamdulillah. And at that moment, I’m thinking of my liltle brothers and sisters at home.
And the next following week I bring chocolate for Zing Wong as I promised. Right after I give him the chocolate, he gives me the nice drawing together with Kit Kat and jelly.

No words to describe my feeling at that time. I still remember when I wear purple tudung, he loves it and he draws my face when I’m teaching him. But the drawing is not that nice compare to this one. Zing Wong…you are very innocent and pure.

The evening starts with something yummy!:)

“Ok Zing Wong, let’s start with Bahasa Melayu first ok?, Today we gonna learn Bahasa Melayu for 2 hours and on Wednesday we gonna have Mathematics and English ok?”
“Ok teacher!!!!” He looks excited.

“Ok, but before that you may eat your chocolate”…

“Ermm, so yummy teacher!!!”

Zing Wong then opened my beg and try to find his chocolate that he gives to me.

“Teacher, eat this and tell me whether it’s yummy or not”…He’s laughing.

He’s just 6 years old and going to be 7 next year. Only know a little bit of Malay words and able to speak English, but not that fluent. His mother is housewife and it’s hard to communicate with her because she only knows Chinese and 10% English. Zing Wong always be the middle person for me and his mother. 

His father works as businessman but always care for his children. He never refuses to accept a Muslim teacher for his son. Luckily his father knows English very well and can speak Indonesian too. Thank you Mr Raymond!

Thanks Zing Wong for the nice drawing. I really appreciate it! I promised him to put his drawing in my blog.

May Allah bring you towards Islam. If I’m not the one who directly invites you towards Islam, I’m hoping and praying that Allah will help you one day in trigerring yourself to find the true religion. Amiin Ya Rabb!

To my little brothers and sisters, I love you all so much. Be nice towards others and appreciate whatever knowledge you got. In shaa Allah, may Allah bless us in our journey towards gaining His knowledge.

Our pure intention is very essential aspect in determining our next journey!


Monday, November 19, 2012

Yahudi Kalah Selepas Revolusi 25 Januari ?




"Aku harap sinar baru di Mesir tidak akan menjadi kegelapan kepada Israel", itulah kata-kata terakhir, Benjamin Ben-Eliezer, bekas menteri rejim Zionis Israel, dalam ucapannya kepada radio tentera rejim itu, tidak akan ada kerehatan semua rakyat Israel selepas ini, Mubarak telah diguling dan tidak akan bangun semula, Republik Arab Mesir tidak lagi menjadi sekutu strategik rejim Israel atau lebih tepat lagi ejen tentera Zionis-Amerika Syarikat. 

Tak kira siapa pun yang akan naik menjadi presiden baru Mesir, kemungkinan-kemungkinan buruk pastinya akan menjadi igauan rejim itu, sekiranya menang Shafiq atau Musa, pastinya sebuah revolusi akan meletus kembali kerana apa yang rakyat inginkan hanyalah pemimpin yang memihak kepada rakyat bukan musuh mereka, sama ada Ikhwan Muslimin menang atau tidak masyarakat akan tetap memilih untuk tidak tidak bergantung kepada Amerika, kerana mereka semua sedar bahawa cara terbaik untuk mendapat sokongan masyarakat umum adalah dengan membebaskan negara dari cengkaman Yahudi. 

Bukan Israel sahaja yang menonton keputusan pilihanraya, malah negara-negara Arab cukup takut dengan perkembangan penguasaan kelompok Islam ke atas Mesir, kerana mereka amat mengetahui sekiranya kelompok tersebut memerintah akan tersungkurlah rejim-rejim yang memerintah dan tidak akan ada lagi individu yang zalim atau keluarga tertentu sahaja yang akan memerintah selepasnya.

Jika kuasa besar rejim Zionis Israel kalah besar pada kali ini, maka rakyat Palestin akan menang besar, seandainya kelompok Islam menang, isu Palestin akan menjadi isu utama negara-negara Arab amnya, dan bagi negara Mesir ia adalah isu asas yang tidak boleh bertolak ansur, kerana mereka telah menjadi sebahagian dari isu tersebut, berjayanya Mesir maka akan berjaya semua dunia Arab, sekiranya lemah maka akan lemah semua dunia Arab, Mesir hanya akan kembali menjadi lemah seandainya mereka kembali kepada sisa-sisa perjuangan rejim Mubarak yang diwarisi dari Abdul Naser dan Anwar Sadat atau mereka yang seperti mereka. 

Kesimpulannya, kegelapan bagi Israel adalah satu kepastian dan ia semakin hamipr dan ia benar-benar semakin hampir, Mesir sedang berada di ambang kebangkitan sebenar yang belum pernah di tempuh sebelum ini, kerana apa ? Kerana Mesir sebelum ini telah pun mengukir sejarah agungnya, mendapat penyaksian khusus dari Nabi Muhammad s.a.w, sememangnya terkenal menonjol dari kalangan bangsa Arab dan dunia, khususnya pengkongsian pembebasan negara-negara Arab, yang penuh dengan liberalisasi, rasuah dan penaklukan Barat, akhirnya kita sebagai umat Islam mestilah teguh percaya bahawa Islam akan kembali gemilang dan percayalah rejim Zionis Israel akan runtuh seruntuhnya, adakah kita masih ragu-ragu dengan kenyataan ini ? 

Thanks AmanPalestin for those info.

Jom sama-sama kuatkan munajat demi umat Islam yang tertindas!

Khaibar Khaibar Ya Yahud! Jaisyu Muhammad Saufa Ya'ud!!



Wednesday, October 31, 2012

Answer their call

Bencana alam.

Peperangan di sana sini.

Pembunuhan, gejala sosial yang kian runcing. Jika disenaraikan masalah-masalah dunia pasti tidak akan pernah habis. Bukan sekadar melihatnya sebagai suatu tanda kiamat yang dijanjikan-Nya tetapi bertanya pada diri kita apa usaha kita sebagai umat Islam.

Pergaduhan ummat kian parah. Bagai bukan lagi orang Islam. Tiada lagi rasa gentar dengan kalam Allah, gentar dengan seksaan Ilahi  di akhirat kelak. Allah Allah..

Apabila ulama sudah tidak lag bersuara, hati mula bimbang dengan ulama su’, ulama yang mempergunakan agama. Nau’zubillah min zalik. Gelisah resah hati tatkala ilmuwan dan tokoh Islam satu persatu meninggalkan dunia yang fana. Bumi seakan redha dengan pemergian mereka, manusia yang alpa terus hanyut, manusia yang sedar mungkin selesa dengan keadaan mereka.

Jika benar ini ujian-Nya dan sudah pasti ujian dari Yang Esa, pasti Dia mahu melihat dan mahu menapis mereka yang benar-benar beriman. Apakah kita tergolong dalam golongan tersebut?
Syria, Lebanon, Iraq, Palestin, Sri Lanka, Selatan Thailand, Myanmar dan seluruh umat Islam di dunia. Doa sentiasa ada buat kalian.

Anak itu mencari-cari ibunya. Di satu sudut lagi anak kecil itu menangis sambil menggoncang-goncang tubuh ibunya. “Ibu, ibu bangunlah ibu..Ibu, adik takut!”. Allahu air mata mula membasahi pipi.

Pipinya bersalut dengan debu-debu tanah, pakaiannya compang camping, badan pula kurus sehingga menampakkan tulang di badan dan kakinya. Pastinya sudah lama tidak menjamah makanan, mungkin hanya meneguk air yang jarang-jarang sekali ada. Hanya berkaki ayam. Matanya sudah cukup untuk menceritakan segalanya.

Malam dan siangnya serupa. Gelap atau cerah tetap menanti sebuah harapan. Kecil sungguh cita-cita andai malamnya hanya memikirkan hal diri sendiri. Bukankah duduk sejenak memikirkan masalah ummat lebih baik daripada beribadah siang dan malam tanpa secebis ingatan buat ummat. Ingatan buat ummat ini juga ibadah!
Azam ditanam, kelak pasti musuh akan dihancurkan. 

Tiada lagi azam seperti anak-anak di Malaysia yang diasak dengan permainan video, hiburan dan juga gula-gula. Pastikan apabila kalian sudah mempunyai anak, didik anak tersebut sejak kecil untuk kenal siapa Allah dan Rasul. Didik mereka dengan Al-Quran. Minimakan hiburan sebaik mungkin, biar cintanya kepada Allah, Rasul dan para sahabat sudah berputik sejak kecil sehingga tidak punya nafsu buas dengan dunia. Matlamatnya akhirat!

Ya Allah, kau lindungilah mereka, kau jauhkan aku dari keselesaan yang melampau, tambahkan rasa syukurku Ya Allah, jangan kau palingkan diri ini dariMu Ya Allah. Bantulah umat Islam seluruh dunia, kuatkan hati mereka untuk hadapi dugaanMu Ya Rahman. Sungguh, Engkau lebih tahu dan aku sama sekali tidak tahu Ya Allah.

Ya Allah andai aku leka kau tegurlah, Kau sedarkanlah aku YA Allah. Ampunkan dosa-dosa kami dan janganlah kau hijab doa kami, jangan kau haling hidayah dari sampai kepada orang lain dek kerana dosa kami. Tuntun kami ke jalanMu Ya Allah.

Ummat kian parah. Semoga ilmu yang dituntut ini membawa kepada cinta kepada-Nya. Sungguh saya rindu turun ke lapangan mendidik masyarakat dan yang pasti didikan kepada keluarga terdekat juga harus diberi perhatian.

Israel, Yahudi dan yang sekutu dengannya. Ketahuilah bahawa kalian pasti menerima balasan di akhirat kelak. Benci kalian kerana Allah!

Tuesday, October 2, 2012

Tuhan beri aku Cinta



Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Dah berselawat hari ini? Dah baca doa bangun tidur? Dah istighfar?

Malu kan? Kalau kita kerap mengatakan bahawa kita cinta Nabi tetapi kita ralat sekali dalam berselawat dan mengamalkan sunnahnya. Sudah pasti cinta kita itu dusta.

Kalau sepasang kekasih asyik sekali bercinta, pasti tidak lekang ingatannya kepada sang pujaan hati siang dan malam. Bagai tidak keruan. Wah, cinta apakah ini? Kita masih tidak layak mendapat cinta manusia andai cinta Allah belum menjadi cita-cita utama. ‘Ala kulli hal, saya bukan Doktor Cinta. Doktor hati untuk diri sendiri dan bagi yang memerlukan boleh kot ^_^. InsyaAllah.

Subhanallah, tahun ini tahun 2012 dan sudah semakin hampir ke penghujungnya. Entah apa corak kehidupan pada masa akan datang yang telah Allah rencanakan buat saya. Apa jua yang Allah hadir pastinya terselit seribu hikmah, tinggal lagi diri untuk muhasabah dan redha dengan ujian.

Saya sering kali diajukan soalan sebegini oleh rakan-rakan satu office dan tidak kurang juga warga di sini;

“Kenapa awak boleh ambil engineering pula?”

“Kenapa tak ambil bidang yang sama?”

“Kenapa tak buat phD terus?” (Fast track)

“Kenapa tak pilih Dr bla bla kenapa buat bawah Dr dot dot?”

Kesimpulannya mudah.

Saya hanya melemparkan senyuman dan sedikit “penat” untuk menjawab soalan-soalan di atas. Lagi 
seronok jawab soalan examJ

Jawapan mudah saya “ Ini yang Allah takdirkan”. Full stop.

Analoginya cukup mudah. Muallaf yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam. Ada yang berpuluh-puluh tahun hidup dalam agama selain Islam, tetapi apabila hidayah-Nya datang bertamu, mula mempelajari dan mempraktikkan Islam.

Apa pun bidang yang kita pelajari usah kita lupa itu semua ilmu Allah. Syukur pada Allah untuk sebuah kefahaman. Dan kefahaman dalam beragama itu yang paling penting dalam hidup seorang Muslim.

Setinggi mana pun kita belajar hatta sampai Phd itu semua hanya gelaran di dunia. Ulama-ulama zaman silam ilmunya sangat tinggi. Umurnya pendek tetapi memiliki ingatan yang hebat, akhlak yang mantap, adab yang tinggi. Muhasabah diri kita. Apa sebenarnya yang kita kejar?

Pernah tak dengar ustaz cakap orang yang jahil adalah orang yang tidak tahu ilmu agama. Renung-renungkan.Biarlah semua yang saya lakukan ini kerana Allah. Belajar kerana Allah. Berukhwah kerana Allah, cinta kerana Allah dan segalanya-galanya kerana Dia! Sungguh-sungguh doa agar Allah pelihara niat yang satu ini. Jika kita mengeluh dan sebagainya, kembali kepada niat yang asal.

Cakap-cakap orang yang negatif cuba kita neutralkan dengan fikiran-fikiran yang positif. InsyaAllah kita akan senang bekerja.

Last but not least, mari kita panjatkan doa yang tidak pernah henti agar Allah s.w.t sentiasa beri kita kecintaan kepada Rasul-Nya, sahabat-sahabat dan orang-orang soleh. Semoga dengan kecintaan kepada mereka yang hebat dalam menegakkan Islam ini, menumbuhkan cinta yang lebih mendalam terhadap pencipta kita yakni Allah.

Allah Allah. Terima kasih untuk segalanya.

Mak Abah terima kasih untuk segalanya. Sejak dari dalam kandungan sehingga sekarang.



Wednesday, September 19, 2012

Kerana Tuhan untuk Manusia




Alhamdulillah wa syukru lillah.

Sejujurnya, saya rindu untuk menulis. Meninggalkan beberapa perkara di laman ini. Saya hanya mampu membelek-belek dan membaca kembali peringatan-peringatan yang ditulis khas untuk diri sendiri. Pastinya apabila kita membaca tulisan orang yang kita kenal, pembacaan kita akan lebih cerap.

Sudah hampir dua minggu lebih saya di UTM. Menahan suhu yang bisa membuatkan tangan kaku dan sejuknya hingga menusuk ke tulang. Barangkali ini juga ujian kesyukuran. As simple as ABC. Jadi, tidak perlu mengeluh. Oh ye saya bukan berada di dalam peti ais ye. Kini saya ditempatkan di bilik lama pensyarah bersama seorang pelajar Phd, Kak Atiyyah namanya. Memandangkan, Dr Fadhil selaku supervisor saya telah berpindah ke bangunan baru, beliau dengan berbesar hati memberi kami biliknya. Terima kasih Dr! Bilik ini perlu dikemas lagi kerana banyak juga barang-barang Dr yang sudah tidak digunakan lagi dan menanti masa untuk dikitar semula.

Saya sememangnya tahu kewujudan UTM tetapi saya tidak pernah langsung perasan perkataan yang terdapat pada logo UTM.

"Kerana Tuhan untuk manusia"

Menarik bukan? Sewaktu pertemuan pertama kali dengan supervisor, beliau menekankan perkara ini kepada saya. Saya sudah cukup gembira dengan itu. Bertambah keyakinan saya terhadap beliau dalam erti kata beliau bukan buat kerja hanya kerana mahu menempa nama atau mendapatkan ganjaran, tetapi kerana Allah dan kelebihannya untuk dinikmati orang lain. InsyaAllah.

Di sini peratusan pelajar luar negara sangat tinggi berbanding dengan universiti-universiti penyelidikan yang lain. Kebanyakannya pelajar Iran. Huhu. Alhamdulillah setiap pagi saya ke office dengan menaiki bas yang hanya memakan masa tidak sampai 5 minit. Jika tersilap bas saya akan turun di mana bas tersebut berhenti dan cuba cari jalan shortcut. Sehingga pernah terkantoi dengan seorang pensyarah kerana memanjat tangki air (rendah je pun) di belakang fakulti lain dek kerana nak ikut jalan shortcut. Hehe. Seronok!

Sudah pasti suasananya sedikit lain dengan UIA. Mungkin di sini saya masih dapat melihat cara pemakaian yang sama dengan pelajar-pelajar UIA. Bas yang sangat banyak dan setiap 15 minit pasti ada. Alhamdulillah.  Pelajar Cina dan India membuatkan saya terasa kembali zaman sekolah. Perpustakaan dan beberapa perkara lain yang budayanya sama seperti UIA dari segi keislamikannya. Alhamdulillah. Jika di UIA kempen "No Dating" mungkin giat dijalankan dengan menampal notis atau banner, tetapi di sini bebas di sana sini pelajar lelaki dan perempuan berdua-duaan kecuali yang sudah berkahwin.

Saya cukup bertuah kerana Allah memberi saya tempat yang cukup strategik. Kafe, Perpustakaan, Masjid dan Fakulti yang dekat dengan Kolej Penempatan saya. Kafe Kolej ditutup sejak sem lepas gara-gara berdekatan dengan kolej terdapat sebuah kafe yang selalu dikunjungi ramai, jadi mahu atau tidak kami perlu ke sana untuk membeli makanan. 'Ala kulli hal Alhamdulilah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Untuk semester pertama ini saya tidak bercadang mahu membawa kereta memandangkan beberapa perkara yang saya merasakan tidak sampai ke tahap wajib. Tetapi lesen P yang baru dimiliki ini tidak harus dibiarkan sahaja. Bimbang keyakinan untuk memandu itu hilang. Adakah saya perlu selalu sewa kereta?:)

Saya menanti untuk berusrah dengan WADAH Johor, seorang kenalan memberitahu ada beberapa pensyarah WADAH di sini. Dan saya juga sedang berusaha untuk berusrah dengan adik-adik undergraduate. Mereka sangat peramah dan mereka sangat mudah didekati. Ini suatu peluang untuk saya. Doakan! Mudah-mudahan kami semua akan menjadi lebih baik. Itu suatu yang tidak mustahil.

Terima kasih mak abah yang bersusah payah dari sejak ct dilahirkan hinggalah sekarang! Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga amanah ini terlaksana dengan baik. Amiiin!


Saturday, September 1, 2012

Syukru lillah





Alhamdulillah.

Tahun 2012. Subhanallah. Masa begitu cepat sekali berlalu. Sejam dirasakan seperti satu minit. Setahun bagai sebulan mungkin. Keberkatan waktu semakin ditarik Allah. Umat akhir zaman yang sentiasa dirindui baginda Rasulullah s.a.w ini berada di dalam ujian yang hebat.

Ujian kiri dan kanan. Depan dan belakang. Datang dengan bermacam-macam cara. Tinggal lagi iman sebagai penentu untuk lepas setiap halangan dan ujian yang Allah hadirkan. Dia hadirkan untuk kita kembali memahami erti dan makna kita berada di Bumi Allah dan kembali kepada sebab kita diciptakan? 

Hati kita pastinya sayu melihat satu persatu berita mengenai saudara seislam kita yang ditindas dan dibunuh. Seperti tiada nilai. Ini benar-benar ujian. Syukur setinggi-tinggi syukur, kita di sini sungguh senang. Masih mampu tersenyum, bergelak ketawa dan bergurau senda, malah menikmati  makanan yang enak-enak sehingga ke tahap membazir!

Alhamdulillah usai menamatkan pengajian dia UIA Kuantan tercinta. Dan insyaAllah perjalanan seterusnya ALlah telah rencanakan buat hamba-Nya. Semoga rahmat-Nya mengiringi setiap langkah. Mohon doa sahabat-sahabat. Apa pun yang kita lakukan niatkan kerana Allah. Menuntut ilmu tidak akan pernah terhenti selagi kita masih bernyawa. Teruskan berdoa untuk umat Islam usai sahaja solat fardhu. 

Ya Allah, jangan Kau biarkan hamba-Mu ini leka dengan nikmat dunia, tambah rasa cintaku kepada-Mu, kuatkan imanku untuk menempuh ujian akhir zaman ini Ya Rahman, tambahkanlah rasa cinta dan rinduku kepada Rasul-Mu, jadikan aku hamba yang syukurnya tidak pernah henti, pandang aku dengan pandangan rahmat-Mu Ya Allah.

Allahumma Amiin.


Friday, August 3, 2012

"Saya nak jadi soleh"


Bismillahi walhamdulillah.

Syukur. Sekarang kita sudah berada di fasa kedua Ramadhan. Sudah pasti saya dan kalian semua tidak mahu jauh dari rahmat Allah. Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan. Hikmah dirahsiakan malam Lailatul Qadar agar hamba-hambaNya gigih beribadat kerana-Nya semata-mata. Allahumma ainni'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik. Amiin.

Dah lama ingin mengemaskini entri tapi tertangguh seketika. Selesai beberapa program. Syukur cuti selepas habis pengajian ijazah sarjana muda dapat bersama-sama dengan sahabat-sahabat PPINS merangka dan melaksanakan beberapa agenda. 

Ingin berkongsi mengenai program Kem Anak Soleh yang diadakan di Port Dickson pada 17-19 Julai yang lalu. Terpanggil untuk berkongsi sebab bagi saya ianya unik! Pengalaman yang sama saya lalui dengan peserta yang lebih kurang umurnya tiga tahun lepas. Menariknya, mad'u kali ini terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 18 - 30 tahun. Dah macam rupa ayah orang dah. Huhu. Perasaan malu mereka ketepikan semata-mata untuk menambah ilmu. 



Saya rasa saya cukup bertuah kerana salah seorang peserta di dalam kumpulan saya merupakan seorang pelakon tambahan. Dan muka dia memang saya pernah jumpa dalam program sebelum ini. Tabik! Dia mesra dengan panggilan Yan dan paling banyak bercakap dan mengeluarkan pendapat. Yang penting peranan fasi sebagai provokator. Di dalam program ini kami memberi penekanan mengenai kalimah syahadah, rukun iman, perihal solat, mandi wajib dan puasa ditekankan. Di samping pengenalan al-mathurat, qiyammulail dan peri penting menjadi anak soleh.




Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa di tepi pantai. Seronok sebab bukan selalu ke pantai. Saya sengaja membiarkan mereka memilih tempat untuk membuat LDK. Ada seorang yang telah bekerja di Klinik Kesihatan dan nampak sangat diam. Barangkali mereka sudah dapat mengagak bahawa saya lebih muda daripada mereka. Paling muda adik Tingkatan 6 rendah.

"Kak, boleh tak warna rambut?"

Saya terus teringat sesi soal jawab dengan ustazah sewaktu program yang lalu. Lalu saya kongsikan bersama mereka.

" Perempuan kalau warna rambut sudah pasti air tidak mengalir dan mandi wajib dan solat tidak sah, jadi penyelesainya kena sentiasa potong rambut sependek yang mungkin tetapi tidak menyerupai lelaki"

Adik tersebut seakan kelat mukanya. Seperti tidak dapat menerimanya dan nampak riak wajahnya yang serba salah dengan perbuatannya yang lalu. Saya menyambung;

"Jangan risau dik, kan Allah tu Maha Penyanyang. Dia akan terima taubat kita selagi mana kita tidak berlaku syirik dan selagi kiamat belum berlaku".

Dia tersenyum tetapi masih dalam kerisauan.



Sejujurnya saya lebih suka bersama-sama dengan adik-adik yang bermasalah. Lebih jelas masyarakat kita sebenarnya sangat memerlukan bantuan. Sebagai contoh, pelajar-pelajar sekolah agama tinggal lagi untuk diasah biar kelak mereka pula turun mengeluarkan masyarakat dari kegelapan kepada kecerahan (zulumati ilannur). Sangat menggembirakan sekiranya ada yang berubah usai sahaja program dan melaksanakan apa yang telah mereka pelajari. Semoga dosa-dosa yang ada pada diri tidak menghalang hidayah Allah untuk sampai kepada mereka.


Semoga kalian jadi anak soleh. Perubahan sedikit demi sedikit. Allah melihat pada hati kalian dan buka pada rupa paras. 


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib suatu kaum itu sendiri kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka"
                                                         
                                                            (Ar-Rad:11)


Tiba-tiba saya teringat pula filem Sang Murabbi. Mereka yang bergelar dai'e dan terlibat dengan gerakan saya kira wajib menontonnya. Teringat kata-kata pelakon yang memainkan watak ibu kepada Ustaz Rahmat Abdullah. Beliau mengingatkan Ustaz Rahmat agar tidak lupa menasihati adiknya dan usah sibuk menasihati orang.

InsyaAllah, saya sedang usahakan itu juga. Usaha juga islah diri dan bantu orang lain. Hanya Allah yang mampu menilai.



Thursday, July 19, 2012

Bisa yang terakhir


Allahumma bariklaana fi Sya'ban wa balighna ila Ramadhan. Amiin Ya Allah.

Selangkah kita dekat seribu langkah Dia dekat dengan kita. Sungguh Allah itu sangat baik.

Ramadhan kini tiba lagi. Semoga benih keikhlasan membuahkan amal yang diterima Ilahi. InsyaAllah.

Mohon maaf untuk segala-galanya, semoga amal kita diterima dan perbanyakkan munajat agar kita peroleh syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w dan diampunkan dosa-dosa kita yang lalu.

Ahlan Ya Ramadhan.


Islah nafsak wad'u ghayrak

Islah nafsak wad'u ghayrak.

Perbaikilah diri kamu dan pada masa yang sama ajak orang lain.









"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika sekiranya kamu benar-benar orang-orang yang beriman."
 (3:139)


Wednesday, July 4, 2012

Usrati habibati



Saya rindu usrah.

Saya rindu anak-anak usrah yang sekarang sudah membawa haluan masing-masing meneruskan pengajian di universiti tempatan dan anak-anak usrah yang ditinggalkan di Bumi Kuantan. Doakan akak kembali! InsyaAllah, sangat mahu ke sana dan meneruskan pengajian di sana jika diizinkan Allah.

Intan, Shima, Hawa, Nisa, Fiqah dan Mira. Mesej-mesej ingatan terus menjadi penghubung antara kita. Semoga Allah mempertemukan kita suatu hari nanti. Mereka ini semua insan-insan yang dahagakan ilmu. Yang sentiasa mahu memperbaiki diri. Bangga dengan kalian. Jom sama-sama perbaiki diri!

Ana, Pipah, Kak Ira dan Ina. Kalian orang hebat. InsyaAllah kalian boleh pergi jauh dan mampu bimbing adik-adik yang lain. Yang penting kalian kena sentiasa kuat dan minta kepada Dia sebab Dia kan sumber segala kekuatan. Perginya kami bukan bermakna kami sudah tidak bersama kalian, tetapi ukhwah kita tetap akan kekal insyaAllah mudah-mudahan sehingga ke syurga kelak. Ameen Ya Rabb.


Tidak dilupai sahabat-sahabat seusrah; Athirah, Imtinan, Wan, Dodi, Kak Joh, Kak Syibi, Nab, Zai, Awa, Dila, Tikah. Kalian masing-masing punya kelebihan tersendiri. Di mana sahaja kalian berada doa tetap ada buat sahabat-sahabat agar dipermudahkan urusan. Kahwin nanti jangan lupa jemput!:)

Usrah memang awesome. Bertambah awesome dengan ahli-ahlinya. Huhu. Alhamdulillah syukur Ya Allah atas nikmat ini.

Budayakan usrah kerana itu salah satu sunnah Rasulullah yang bermula di rumah Al-Arqam Abi Al-Arqam. Usrah untuk menimba ilmu, menyemai ukhwah, mengisi perut (huhu), berkongsi ilmu dan bermacam-macam lagi. 

Yang berkesempatan boleh mulakan usrah dalam keluarga masing-masing. Usrah kan keluarga^_^

Sunday, July 1, 2012

Tenang kau di sana


Lewat petang semalam saya buka laman muka buku. Mahu mengemaskini maklumat dan info program yang akan datang di group. Tiba-tiba anak mata lantas fokus ke arah status seorang adik junior yang sama-sama berpraktikal di Hospital Tunku Jaafar Seremban pada tahun lepas;

" Melihat arwah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan, cukup memberi kesan pada diri. Cuaca yang cukup redup dan tenang mengiringi pemergian arwah, hujan mengiringi perpisahan kita di dunia ini, selamat tinggal sahabatku, doa ku kirim agar kau tenang di sana. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, ku pohon agar dikau dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah buat sahabatku Zulfakar Zainal Abdi"

Saya agak tersentak apabila melihat ayat terakhir. Zulfakar. Adakah Zulfakar yang sama-sama berpraktikal bersama kami? Mana tahu ada rakannya yang lain bernama Zulfakar. Tekaan saya tepat. Itulah Zulfakar. Adik yang baru sahaja menamatkan pelajarannya di IMR. Sahabat-sahabat IMR banyak membantu saya sewaktu berpraktikal. Al maklumlah, di IMR mereka memang dilatih untuk bekerja. Semua test dan machine di hujung jari sahaja.

Al-Fatihah. Seorang sahabat memaklumkan bahawa arwah kemalangan sewaktu hendak membeli goreng pisang. Keadaan di dalam kubur, munkar dan nakir yang siap sedia melaksanakan tugas menyoal hamba Allah, fitnah kubur yang menimpa dan macam-macam lagi. Kadang-kadang selalu fikir mengenai perkara ini tetapi sejauh mana kuat mujahadah masih belum dapat saya kenal pasti. Allahu Allah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasmu dan membantu arwah di alam barzakh. Alam sementara yang pasti akan kita lalui saat menanti peralihan ke alam yg kekal abadi yakni alam akhirat. Sungguh mati itu penghapus segala kelazatan.

Andai hari ini kita masih berseronok dan melebih-lebihkan dunia seperti dunia ini akan kekal, ketahuilah malaikat maut sentiasa bersedia mencabut nyawa hamba-hamba Allah. Ingat mati bukan bermakna akan melemahkan prestasi kehidupan kita malah lebih meningkatkan prestasi. Bukankah ibadah itu apa-apa sahaja pekerjaan dunia yang dilakukan kerana Allah semata-mata? Kerana kita mahu redha-Nya. Mahu Dia pimpin kita dalam setiap urusan kehidupan. 

Malu sungguh pada-Nya. Hari ini saya dan kamu masih hidup. Pasti ada sebab mengapa ALlah masih memberi peluang. Tepuk dada tanya iman saya sendiri. Entah bila giliran saya Ya Allah. Tuntun aku ke jalan-Mu Ya Rabb. Sungguh aku lemah dan tidak berdaya.

Allahumma firglahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Ameen!

Wednesday, June 27, 2012

So soon


Basyar Assad dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada Dr Muhammad Morsy sebagai Presiden Mesir yang baru.

Respon Dr Morsy terhadap ucapan tahniah tersebut :


"Kami menolak ucapan tahniah kamu dan tidak pernah mengiktiraf kamu"


Sumber : El-Arabiy

Air mata dan darah yang mengalir punya makna. Doa dan terus berdoa untukmu wahai saudaraku T_T. Ayuh jadi penyumbang ke arah kebangkitan Islam. Jika tidak banyak sedikit sudah mencukupi. Biarlah semuanya lillahita'ala.

Monday, June 25, 2012

He's coming!


Jom sahabat-sahabat. Semoga Allah bagi kita kelapangan waktu. Apa jua majlis ilmu niatkan kita mahu pergi. Usaha ke arah itu dan insyaAllah Dia akan bagi.

Tidak sabar!

Monday, June 18, 2012

Happiness


Dua kegembiraan.

Pertama.

Pagi tadi diumumkan kemenangan Ikhwanul Muslimin di dalam pilihan raya Mesir 2012 dengan pertolongan Allah s.w.t melalui Presiden Dr. Muhammad Mursi. Seorang hafiz Quran. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Beliau berjanji dengan Allah dan rakyat Mesir untuk menjadi khadam kepada semua, berada atas padang yang sama buat seluruh rakyat, Islam atau Kristian tidak mengira sama ada mereka mengundi beliau atau tidak. 

Kedua.



Cuba teka.



Dapat teka?



Teka la.



Ok, tak dapat teka kan?



Kegembiraan kedua sebab dapat cari maksud qasidah Solatun bissalamil mubin. Suka!^_^. Pertama kali mendengarnya sewaktu Talaqqi Ustaz Uwais. Bersama-sama berqasidah dengan anak-anak murid Ustaz. Sempat lagi ustaz berseloroh mengatakan kalau qasidah Mawlid dapat RM 10 000, tetapi kalau kami percuma sahaja. Faham kan maksudnya? Maksudnya tidak berapa nak sedap. Huhu.

Oh ye. Seronok kalau kita berqasidah sambil kita memahami maksud qasidah bukan semborono berqasidah. Salah satu cara kita ingat pada kekasih Allah.Hari ini dah berapa kali asyik pasang qasidah ini. Kalian boleh google maksud qasidah ini.

Selawat serta salam ku persembahkan kepadamu wahai kekasihku, sebagai bukti keteguhanku, wahai Nabi s.a.w kekasihku.

Layakkah kita menganggap Muhammad s.a.w sebagai kekasih? Rasa jauh lagi tetapi saya akan usaha Ya Rasulullah! T_T

Boleh pergi di sini untuk mendengarnya.



Wednesday, June 13, 2012

Tears



No words can describe this picture. May Allah protect you and your little brother. Ameen Ya Rabb! Allah Allah Allah, give him the strength, keep them safe with your love and blessings.

Dua dunia berbeza



Seronok melihat tikus ini. Hidupnya hanya berzikir, beribadah. Mereka bahagia. Saya rindu mereka. Mereka telah tiada. Berbual-bual dengan tikus ada baiknya daripada berbual-bual dengan manusia yang kadang-kadang penuh dengan kata nista dan umpat keji. Allahu Allah. Mohon jauh daripada semua itu.

Alhamdulillah wa syukrillah. Usai membentangkan Projek Tahun Akhir. Terima kasih kepada Dr. Muhammad dan Dr. Munirah di atas komen-komen yang sangat memberangsangkan. Kadang-kadang manusia mudah menerima pujian tetapi lupa semua pujian itu pada akhirnya dikembalikan kepada Allah. Kerana Dia asbab segala-galanya. Sungguh kita ini manusia yang sungguh lemah di sisi-Nya.

Subhanallah, tatkala tafsir Quran dibuka mata terus melirik pada ayat ini;

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah bahawa Dia mengirimkan angin sebagai pembawa berita gembira dan agar kamu rasakan sebahagian dari rahmat-Nya dan agar kapal dapat berlayar dengan perintah-Nya dan (juga) dan agar kamu dapat mencari sebahagian dari kurnianya agar kamu bersyukur.

(Ar-Rum : 46)

Tatkala saya sedang mengemaskini thesis yang telah diperiksa oleh pemeriksa thesis, fikiran ligat memikirkan keadaan di Myanmar dan Syria. Apalah agaknya yang mereka sedang lakukan dan hadapi saat ini. Lantas Al-Quran dicapai. Hati berbunga-bunga dengan petunjuk Allah yang satu ini. Yakin bahawa mereka yang terpilih untuk berjuang dengan rejim yang tidak berperikemanusiaan akan tumbang akhirnya. Mereka syahid di jalan Allah. Haruman syurga pasti akan dapat dicium. Apalah ertinya hidup tanpa iman dan kasih sayang Allah.

Hampir setiap hari ada sahaja umat Islam yang mati. Sudah beribu-ribu malah mungkin hampir mencecah puluhan ribu. Ya Allah. Engkau Yang Lebih Mengetahui. Kadang-kadang rasa seperti mahu berhenti buat semua perkara. Mahu ke sana. Bosan dengan politik jijik dan kotor tanah air. Bosan dengan pemimpin yang bermuka-muka dan bermewah-mewah.

Sahabat-sahabat, usah leka dengan dunia kita. Di sini kita menjamah makanan yang enak-enak, senyum dan bergelak ketawa, sibuk dengan dunia sementara, tetapi peruntukkan sedikit waktu untuk kita mendoakan mereka, peruntukkan waktu untuk munajat kepada-Nya, waktu untuk kita bermuhasabah.

Syria, Myanmar, Palestin, Selatan Thailand kami bersamamu bersatu di dalam doa. Tidak banyak yang mampu dilakukan. Teruskan berdoa dan sebarkan maklumat-maklumat yang berkaitan agar orang lain tahu dan cakna dengan isu besar yang melanda umat Islam saat ini.

Ihzimhum wansurna 'alaihim!


Peringatan yang paling dekat adalah buat diri yang menulis. Ini saksi di Padang Masyar kelak. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dan kalian semua!



Wednesday, June 6, 2012

Pasca peperiksaan





 Anak kecil yang tiada noda. Seronok kan? (Comel gak abang den, tapi time kecil la.haha)



Ketika mula menerima wahyu, Baginda resah gelisah. Masakan tidak, satu amanah besar akan terbeban di bahunya. Di bahu yang cukup mulia. Bergembiralah para sahabat yang dapat bersama-sama dengan Rasulullah, berjuang bersama Baginda, makan dan tidur bersama-sama. Apalah ertinya kita sebagai seorang hamba, seorang sahabat dan seorang khalifatullah. Apa yang sudah saya sumbangkan untuk agama mulia ini? Tanya soalan itu pada diri kita. Layakkah syafaat Baginda buat diri kita?Allahu Allah…

Kelegaan sedikit menjengah kehidupan saat ini. Usai kertas terakhir semalam saya terus mengucap panjang tatkala melangkah keluar daripada dewan. Astargfirullah.Bimbang, takut dan gembira bercampur menjadi satu. Apakah ilmu selama ini benar-benar saya rasai dan apakah benar-benar ibrah dikutip. Mudah-mudahan. Jika tidak sebanyak para ilmuwan Islam, paling kurang ada ilmu yang sampai ke jiwa dan merasai kebesaran Allah sebagai Tuhan yang menciptakan sekecil-kecil zarah sehingga ke sebesar-besar langit dan Bumi. Subhanallah.

Perbincangan petang tadi bersama seorang sahabat sedikit sebanyak mengingatkan kembali diri yang kadang-kadang alpa. Alpa dengan niat. Kerana niat itu tunjang dalam setiap amalan. Sesuai dengan hadis pertama yang disusun oleh Imam Nawawi dalam hadis 40.

Detik dan saat ini, terngiang-ngiang kata-kata Prof Razali Nawawi, antara sosok seorang pejuang yang sangat saya kagumi kata-kata dan tindakannya.

“Transform pemikiran kita, tindakan kita, pakaian kita, kata-kata kita, jadikan Allah sebagai tempat rujukan dalam segala hal, selalu bertanya pada Allah, isthikarah, adakah apa yang kita buat betul atau tidak”

Kata-kata ini tersimpan rapi di dalam pemikiran saya. Bukan itu sahaja, gaya penyampaian beliau juga masih saya ingat. Terima kasih Allah sebab selalu hadirkan insan-insan yang punya pengalaman-pengalaman berharga. Pernah saya kongsikan bersama sahabat-sahabat lain. Tetapi tidak pasti sejauh mana kata-kata yang kita sampaikan ada sahabat-sahabat yang ingat dan buat tindakan. Semacam perintah Allah kepada hamba-Nya, lalu hamba-Nya terus terpukul dengan teguran lantas terus bertindak. Indahnya!

Sedikit coretan pasca kertas akhir semester yang indah ini. Semester-semester yang pasti akan dirindui. Ada buah tangan untuk sahabat-sahabat yang selalu melawat blog ini. Nanti saya ‘bagi”. InsyaAllah.

Doakan saya dapat bentangkan Projek Tahun Akhir dengan baik ya. Doa kalian sangat dibutuhkan (tetiba Indon)^_^.