Wednesday, January 18, 2012

2008-2011


Alhamdulillah wa syukrillah...

Apabila rindu pasti saya akan membelek-belek gambar keluarga dan juga gambar-gambar Aidilfitri sepanjang tahun 2008 hingga 2011. Satu persatu wajah adinda, kekanda, ayahanda dan bonda diteliti, dari wajah keanak-anakan ke wajah matang^_^.

Mak, abah alhamdulillah kita masih lagi hidup di muka Bumi tidak lain dan tidak bukan untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya. Memanifestasi syukur melalui amal ibadah dan setiap apa yang kita lakukan pastikan kita niatkan kerana-Nya. Alhamdulillah terima kasih Allah. Subhanallah, kita ini sebenarnya sentiasa berada dalam dakapan kasih sayang Allah.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan. Ayat yang sentiasa diulang di dalam surah Ar-Rahman. Betapa Allahu Rabbul'alamin sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya dalam kehidupan kita sehari-harian.

Saat ini UIAM Kuantan ini 'dipenuhi' dengan pelajar Tahun Akhir yang sibuk dengan Projek Tahun Akhir. Buat sahabat-sahabat, rancanglah masa sebaik-baiknya ye. Tetapi di dalam merancang jangan pula lupa bahawa Allah juga merancang. Usah merasakan segala kemudahan melakukan sesuatu atau usaha kita itu adalah hasil daripada usaha kita. Jangan pula kita leka. Jangan berbangga andai kita tidak menjaga ibadah tetapi mampu sahaja bekerja kuat. Allahu Allah. Jangan sahabat, jangan. Itu istidraj namanya. Na'uzubillahminzalik.

Sudah pasti kita tidak mahu menjadi seperti Qarun bukan?

Selawat dan salam buat Rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w, usaha Baginda yang tidak pernah putus. Biarpun ujian kuat melanda Baginda tetap teguh, demi ummat, demi Islam dan demi cintanya kepada Sang Pencipta. Jika kita mampu mentelaah buku-buku akademik, menonton filem atau drama, mengapa tidak luangkan sedikit masa mengulangkaji sirah Nabawiyyah? Sepatutnya lebih kerap.

Akhir zaman ini satu persatu fitnah akan dibentangkan di depan mata. Sedih juga apabila golongan yang berusia di kampung mudah terpengaruh dengan media massa yang dikuasai pemerintah. Negara Islam adalah negara yang mempunyai suluk yang soleh yakni perjalanan yang diredhai Allah sesuai dengan peranannya sebagai sebuah negara Islam. Janji Allah pasti berlaku. Sedikit masa lagi. Tetapi kita perlu menyumbang untuk Islam walaupun sedikit.

Gerun juga bila memikirkan di akhirat kelak, apabila Allah akan bertanya mengenai apa yang telah kita lakukan sewaktu muda? Sudah ada jawapannya? Mari tepuk dada tanya iman kita. Saya kira entri ini dipelbagaikan, rasa ingin diluahkan apa yang ingin saya luahkan.

Semester depan ini punya perancangan yang lebih baik untuk rakan-rakan sebilik tersayang, diri sendiri, akademi, kerjaya dan juga keluarga. Semoga Allah bantu. Dan kekuatan seorang dai'e itu terletak pada solat malamnya. InsyaAllah, kita sama-sama doakan Allah kuatkan hati kita kerana Allah yang bagi segala kekuatan kan. Jadi kita minta pada-Nya ok?

Semoga dipimpin segala urusan FYP, urusan menulis thesis, membaca segala journal, urusan gerakan, usrah, akademik dan semua urusan kerana-Nya. Malu minta dimudahkan tetapi cukup sekadar dipimpin dan diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan hidup yang pastinya datang dengan bermacam-macam cara.

Bakal melangkah ke semester akhir tahun Empat. Subhanallah, masa sungguh cepat berlalu, usia semakin meningkat. Semoga sentiasa mempertingkatkan amal, memperbaiki ibadah dan memperbanyakkan taubat!

Terima kasih Allah, terima kasih. Terima mak abah, terima kasih adik beradik, terima kasih sahabat-sahabat, terima kasih guru-guru. Terima kasih semua!:)

Semoga selamat sampai rumah Jumaat ini, insyaAllah. Tidak sabar mahu pulang menatap wajah-wajah mereka.

Tuesday, January 17, 2012

Janji Tuhan pasti berlaku


Oh alangkah indah hidup ini
Bila Islam gemilang kembali
Cahaya iman menyuluh tiap sanubari
Kebenaran mewarnai bumi
Kalam Allah memimpin manusia
Sunnah Rasul memandu langkahnya
Isi alam mendapat rahmat dan berkatnya

Kebatilan tiada tempatnya
Telah lama dinantikan
Bara Islam marak semula
Manusia kegelapan
Merindukan cahaya pembela
Pasti datang saat itu
Janji Tuhan pasti berlaku
Di dunia bahagia
Syurga tempat kekal selamanya

Kuiiringkan doa dan harapan
Daulah Islam bersinar semula
Selamatkan kami umat di akhir zaman
Dengan iman yang terpelihara


Alhamdulillah akhirnya lagu ini menjadi lagu tema pilihan untuk Ahad ini. InsyaAllah.Hasbunallahu wani'mal wakeel...

Di sana syahid


"Jangan Anda meminta penyelesaian dan jalan keluar dari Amerika, Eropah dan tali barutnya Liga Arab dan Turki. Barat tidak akan mengulurkan tangannya kepada Anda kecuali pada cara sejauh mana Anda melepaskan diri dari hukum-hukum agama Islam. Sungguh Anda tidak ragu untuk berkorban dan bersabar di jalan Allah dan Anda mengharapkan orang-orang yang terbunuh diantara Anda menjadi syuhada di sisi Allah."

Parti yang istiqomah berjuang untuk melanjutkan kehidupan Islam melalui penegakkan Khilafah ini mengingatkan, "Berilah khabar gembira kepada mereka dengan keredhaan Allah kepada mereka dan syurga jika mereka menunaikan kewajiban menolong agama mereka dan menolong para aktivis yang berjuang untuk menegakkan al-Khilafah ar-Rasyidah."

sumber: Arrayah.info

Monday, January 9, 2012

Menangani perpecahan jemaah cara Nabi Harun a.s

Sekiranya anda pernah melawat Semenanjung Sinai, iaitu sebuah wilayah bersejarah yang pernah ditakluk oleh Rejim Zionist pada tahun 1967, pastinya anda turut dijemput untuk mendengar salah sebuah kisah yang turut terakam di dalam Al Quran, iaitu kisah kederhakaan Bani Israel yang menyembah patung anak lembu ciptaan Samiri (salah seorang pengikut Nabi Musa A.S). Sehingga kini patung emas tersebut dikatakan masih kelihatan melalui imbasan di lereng dinding Semenanjung Sinai. Objek yang menyerupai seekor anak lembu itu agak besar dan lengkap berkepala, badan dan kaki. Jika dilihat sekilas pandang mungkin ada yang tidak menyedari objek tersebut menyerupai seekor anak lembu, sementelahan warnanya pula hampir sama dengan warna gunung-gunung di sekelilingnya.



Anak patung lembu itu di dalam sebutan Arabnya - Al ‘ijil - kerana - Li isti’jalihim - membawa maksud tergesa-gesa, yakni tergesa-gesa dalam ibadah. Adapun apa yang dilakukan Samiri adalah lahir dari sikap tergesa-gesanya menunggu kepulangan Nabi Musa turun dari Thur Sina, dan sikap intima' Samiri dalam pimpinan jemaah lebih berasaskan kepada intima' syakhsiyy, bukannya intima' jama'ie. Samiri menghormati Nabi Musa tetapi tidak kepada Nabi Harun.


Lokasi imbasan yang memperlihatkan objek anak lembu tersebut tidak jauh daripada gereja St. Catherine yang terletak di kaki bukit Thur Sina. Patung yang direka khas oleh Samiri itu sebenarnya terakam sebuah kisah yang menjadi simbolik kepada sebuah kesetiaan, amanah dan keingkaran terhadap jemaah yang terus berserah diri dan patuh kepada arahan Allah Taala. Keributan yang dilakukan oleh Samiri menyebabkan berbilangnya jemaah Bani Israel ketika itu.



Kisah Nabi Musa adalah antara kisah-kisah yang paling banyak diceritakan di dalam Al Quran. Oleh itu sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Sebelum onar Samiri bercampera dan menunjukkan 'taring'nya, Nabi Musa A.S diarah untuk bermunajat kepada Allah di puncak Thur Sina selama 40 hari bersama 70 orang pengikutnya dari setiap 12 kabilah Bani Israel. Oleh kerana itu, urusan menjaga kaum Bani Israel yang berbaki di kaki Thur Sina diserahkan kepada saudara seperjuangannya, Nabi Harun A.S.


"Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi (menjadi 40), lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menuju Thur Sina); Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan" - Surah Al A’raf:142, Al Quranul Karim



Apabila Nabi Musa A.S berpergian selama 40 hari, ketika itulah telah berlaku sesuatu yang tidak diduga. Bani Israel terpengaruh dakyah yang diciptakan seorang lelaki bernama Samiri, sedangkan ketika itu Nabi Harun masih mengepalai kaum Bani Israel setelah diamanahkan oleh Nabi Musa A.S. Nabi Harun menegur perbuatan Samiri, namun teguran tersebut tidak diendahkannya disebabkan Samiri turut memiliki pengaruh yang didokong oleh pengikut-pengikutnya yang tidak kurang ramainya. Malah Samiri mendakwa di hadapan Nabi Harun, andainya Nabi Musa kembali Thur Sina pasti dia akan merelakan perbuatannya.



"Sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu; Wahai kaumku, Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu adapun Tuhan kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; Oleh itu, ikutlah aku dan taatlah akan perintahku"- Surah Taha:90, Al Quranul Karim


"Mereka menjawab; Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahNya sehingga Nabi Musa kembali kepada kami" - Surah Taha:91, Al Quranul Karim


Maka, berlakulah perpecahan di kalangan kaum Bani Israel menjadi dua kelompok. Kelompok pertama masih setia menuruti ajaran Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Manakala kelompok kedua pula mengikut kata Samiri yang telah sesat. Penentangan Samiri bersama pengikutnya yang menyangka bahawa Nabi Musa akan menyebelahi mereka, menyebabkan Nabi Harun men'diam'kan diri dari menjadi punca persengketaan yang berlaku, dan menunggu sehingga Nabi Musa A.S kembali semula ke pangkuan mereka. Justeru, Nabi Harun A.S sebenarnya telah memilih suatu langkah yang bijaksana, sekalipun pada pengamatan cetek akal manusia akan mengira sikap"diam" Nabi Harun itu tidak menyelesaikan masalah.


Nabi Harun A.S telah menasihati Samiri dan kaum Bani Israel yang kembali kepada kesesatan, tetapi hal ini tidak diendahkan oleh mereka. Dengan sebab itu, Baginda Harun 'diam' dan berharap agar Nabi Musa A.S sendiri menasihati kaumnya, memandangkan kesan nasihat Nabi Musa A.S lebih berbekas terhadap mereka. Nabi Harun A.S juga bimbang fragmen yang berlaku itu boleh menambahkan dan me'luas'kan perpecahan di kalangan Bani Israel.


Manusia Beriman Belum Tentu Tahan Menerima Ujian Allah


Sebelum Nabi Musa kembali menemui saudaranya Nabi Harun dan kaumnya Bani Israel yang menunggu di lereng bukit Thur Sina, Allah Taala telah memperingatkan kepada Musa tentang perkara buruk yang bakal berlaku.



"(Setelah selesainya urusan itu - yakni di Thur Sina) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa; Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaum-mu satu fitnah ujian sepeninggalanmu dan mereka telah disesatkan oleh Samiri" - Surah Taha:85, Al Quranul Karim


Lalu kepulangan Nabi Musa A.S dikejutkan oleh penyelewengan akidah yang sangat besar. Nabi Musa A.S tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya sehingga Baginda melemparkan lembaran-lembaran Tauratnya, dan menarik rambut saudaranya Harun.


"Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya Dengan marah dan dukacita, berkatalah ia; Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan ia (Musa) meletakkan lembaran-lembaran (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadaNya. Nabi Harun berkata; Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israel) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim" - Surah Al A’raf:150


Antara jawapan Nabi Harun lagi ketika ditanya Musa mengapa beliau membiarkan kesesatan yang berlaku.


"Nabi Harun menjawab, Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku bahawa` aku-lah yang telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau mendakwaku tidak berhati-hati mengambil berat pesanan (mu)" - Surah Taha:94, Al Quranul Karim


Sebagai utusan Allah Taala yang dimuliakan, Baginda tidak memusuhi mahupun berdendam terhadap saudaranya Harun. Kemudian Baginda Musa bertenang dan terus memohon keampunan Allah Taala. Sikap lapang dada ini menyebabkan keterikatan ukhuwwah kembali tumbuh dan utuh tanpa sedikit pun tercemar dengan sikap permusuhan. Lantas Musa mendoakan saudaranya Harun, "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku (Nabi Harun), dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala Yang lain Mengasihani". [ Rujuk surah Al A'raf ayat seterusnya 151 ]


Sesungguhnya Allah Taala Maha Menerima Taubat hamba-hambaNya yang berdosa. Tiada yang lebih berharga seisi alam ini melainkan keampunan dan keredhaan dari Yang Maha Mencipta. Apabila kita merasa diri terjerumus ke lembah kehinaan dan belenggu dosa, kesilapan sikap dan kesalahan pendirian, maka pohonlah keampunan kepada Allah Taala. Tidak kira kita berada di taraf apapun, sama ada orang bawahan ataupun pemimpin atasan, P.hd kah dia, CEO kah dia mahupun professor serba tahu sekalipun pohonlah ampun kepada Allah dan kembalilah kepada kebenaran.


Pengajaran Dari Kisah Nabi Musa, Nabi Harun & Samiri


Kisah Nabi Musa A.S telah menghidangkan kepada kita sesuatu peristiwa yang patut dijadikan teladan, lebih-lebih jika kita berstatus pemimpin dan ketua bagi sebuah jemaah. Kisah patung anak lembu Samiri bukan kisah dongeng, tetapi ia adalah kenyataan yang direkodkan di dalam Al Quran buat tatapan kita semua, terutamanya umat Nabi Muhammad S.A.W sehingga hari kiamat. Di mana, ada di kalangan umat manusia yang pada awalnya beriman kepada Allah akhirnya tenggelam setelah diuji oleh Allah Taala. Oleh kerana itu, thabat-lah dan tetap-lah pendirian kita di dalam cahaya iman sama ada di waktu senang mahupun susah.


Ada orang merasa dirinya beriman ketika rasa senang, tetapi sebaliknya bila ditimpa ujian dan kesusahan daripada Allah, tidak mendapat perhatian manusia di sekelilingnya dan sebagainya, hatinya mula resah gelisah dan menafikan keyakinannya terhadap perjuangan yang sebelum ini dilaung-laungkannya. Samiri adalah dari kaum Bani Israel yang sebelum ini beriman kepada Allah, di mengakui kerasulan Nabi Musa, tetapi intima' Samiri ialah intima' syakhsiyy. Lalu, apabila Nabi Musa mengarahkan Nabi Harun menggantikan kedudukannya memimpin Bani Israel, Samiri mula mencipta pengaruh untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Harun A.S.


Kerana itu apabila Nabi Musa mengetahui onar perpecahan ini berpunca dari perbuatan Samiri, Nabi Musa menyumpah Samiri dengan penuh kemarahan, "Sedarkah (perbuatanmu) wahai Samiri?!!

"Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah (bagaimana) aku dihasut oleh hawa nafsuku", jawab Samiri.


Kemudian Nabi Musa berkata lagi kepada Samiri, "Jika demikian, pergilah (berambuslah engkau) kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini; {Jangan sentuhku - yakni mencipta alasan untuk melepaskan diri} dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya". [ Rujuk surah Taha ayat 95 hingga 97 ]


Cara Nabi Harun Menangani Perpecahan


Menjaga kesatuan ummah adalah satu perkara yang amat kritikal dalam agama, apatah lagi menjaga kesatuan dalam jemaah yang menjadikan Islam sebagai syiar perjuangan mereka. Dr. Yusuf Al Qaradhawi menyebut bahawa betapa pentingnya kesatuan ummah ini dijaga sehingga harus dibiarkan berlakunya kerosakan besar lain yang bersifat sementara, asalkan kesatuan dapat dijaga. Hal yang disebut oleh Dr. Yusuf Al Qaradhawi ini merujuk kepada kisah Nabi Harun A.S.


Inilah iktibar yang dapat kita ambil daripada Al Quran berhubung kisah Nabi Harun yang bersikap tawaqquf selepas arahannya dibantah oleh Samiri dan Bani Israel yang menyembah patung anak lembu. Sekiranya Nabi Harun tetap melawan Samiri, boleh jadi hal yang merumitkan lagi bakal berlaku. Di sana akan timbul pula perpecahan dan pertikain yang lebih besar berdasarkan pengikut-pengikut yang mempercayai setiap

ketokohan pimpinan mereka, maka akan timbullah 5 kelompok :

  1. Nabi Harun dan pengikutnya.
  2. Samiri dan pengikutnya.
  3. Nabi Musa dan 70 orang pengikutnya.
  4. Golongan "atas pagar" (yakni golongan tidak bersama Nabi Musa dan Nabi Harun) tetapi mencipta jemaah sendiri.
  5. Golongan "atas pagar" (yakni golongan tidak bersama Nabi Musa dan Nabi Harun) tetapi TIDAK mencipta jemaah sendiri (buat hal sendiri).


Nabi Harun membiarkan kesesatan Samiri dan menunggu kepulangan Nabi Musa agar dapat menangani kebiadaban Samiri secara bersama (bergabung tenaga). Maka yang terhasil dari sikap Nabi Harun ini ialah kesatuan pengikut-pengikut yang beriman di kaki bukit Thur Sina yang bersama Nabi Harun dengan 70 orang pengikut Nabi Musa menentang pengikut-pengikut Samiri.


Menerusi tindakan Nabi Harun ini dapat kita lihat bahawa tindakannya mendiamkan penyembahan anak lembu oleh Bani Israel adalah bertujuan untuk menjaga kesatuan jamaah selama ketiadaan Nabi Musa A.S. Nabi Harun A.S melihat bahawa kesesatan akidah yang berlaku itu hanya bersifat sementara sahaja, iaitu selama pemergian Nabi Musa A.S. Nabi Harun meyakini bahawa setelah Nabi Musa A.S kembali, mereka berdua akan dapat mengatasi krisis akidah tersebut melalui kerjasama antara keduanya.


Diam Nabi Harun bukan bererti lemah, diam Nabi Harun bukan bererti kalah. Lebih baik diam dari mencipta perpecahan yang lebih parah!


Kisah ini mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku kepada realiti gerakan Islam hari ini, tetapi panduan yang Allah berikan di dalam Al Quran adalah sikap dan disiplin yang sama mestilah kita contohi dari kisah ini. WAllahua'alam.



Rujukan : Dr. Solah Sowi, At Thawabit wal Mutaghaiyyiraat



Thursday, January 5, 2012

Allah always with you


Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Malu pada-Nya. Masih lagi hidup. Alhamdulillah. Semoga saya terus berusaha untuk jadi hamba yang terbaik. Peringatan. Dengan artikel ini saya bukan berpolitik. Tetapi cuba memahami politik. Politik itu suci. Terpulang kepada yang mencorakkanya.

Sosok terhebat baginda Rasulullah s.a.w beserta dengan pertolongan para sahabat, Islam tersebar hampir di keseluruhan dunia ini. Subhanallah wa MasyaAllah! It's part of our role as a Muslim which we are now living in a country so called Muslim country:)

Ayuh, teruskan pembacaan kalian. Semoga hati ini terus disinari nur Ilahi. Mudahan-mudahan. Doa dan terus berdoa. Selesai baca sampai habis doa dan solat hajat ya. Tanpa putus, insyaAllah.

Here we go...The journey begins. Basmallah..

Langkah demi langkah menuju tanggal 9 Januari 2012, apabila direnung kembali Deklarasi Permatang Pauh 1998, apa yang diperjuangkan oleh generasi reformasi masih relevan hari ini. Bahawa diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil. Bahawa gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Saya cintakan Malaysia. Kita semua cintakan tanah air kesayangan ini. Kita menghormati undang-undang dan sistem kehakiman yang membawa kebaikan dan keadilan kepada semua. Menghadirkan diri di mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari 2012 tidak bermaksud kita tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman.

Sebaliknya, atas semangat cintakan perlembagaan, undang-undang dan sistem kehakiman negara, kita hadirkan diri untuk menyaksikan dengan kaca mata sendiri sejauh mana prinsip keadilan diangkat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dalam kes fitnah II dan bukannya diperkosakan sistem kehakiman negara.

Sekian banyak berita yang terkandung dalam akhbar harian yang menjadi tatapan kita saban hari. Apakah akhirnya memenjarakan kita dengan ketidakupayaan memahami hubung kait sistem kehakiman dan kuasa politk yang dominan? Perhimpunan 901 bukan sekadar kerana seorang manusia berusia 65 tahun yang pernah ditelanjangkan, dibelasah sehingga mata berdarah, dipenjarakan dan diaibkan berkali-kali, tetapi berkait rapat dengan kerosakan sistem kehakiman dan institusi keadilan sehingga mampu memenjarakan kita dan memperdayakan kita dengan persepsi yang dilakarkan oleh jentera media kawalan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jangan kita lupa semasa membaca akhbar atau menonton berita televisyen, dalam dunia kontemporari, institusi media merupakan sebahagian daripada institusi keadilan.