Monday, November 26, 2012

1 Muharam 1434H Segamat



Adik-adik yang ditugaskan untuk mencungkil rahsia kejayaan Haji Mat

Hari itu 1 Muharam 1434H. Alhamdulillah wa syukrillah.

Allah memberi peluang untuk hamba ini terus bernafas. Pasti ianya bukan suatu yang sia-sia. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa hamba yang hamba sedar mahupun tidak. Allah tidak pernah rugi malah kita yang rugi jika setiap saat dalam hidup ini kita lalai dalam mengingati-Nya. Kerana apa? Kerana dia TUAN dan kita hanyalah HAMBA. Berbeza pula dengan kuli kerana KULI dibayar gaji. HAMBA pula tidak. Betapa kerdilnya kita di sisi Allah.

Siapalah kita untuk ingkar akan perintah Dia. Lihat sahaja makhluk Allah seperti langit, bumi dan pokok-pokok.  Bayangkanlah jika mereka bertindak sebaliknya dan enggan melaksanakan tugas masing-masing? Pasti hancur alam ini. Itu semua sunnatullah. Dia yang punya kuasa mengatur segala-galanya. Hatta jasad ini juga dalam kawalannya. Diuji dan terus diuji dengan nikmat dunia.

Mengembalikan manusia kepada fitrah bukan suatu tugas yang mudah. Lihat sahaja Rasulullah yang berdakwah berpuluh-puluh tahun tahun tetapi hanya sedikit yang mahu mengikut dakwah Baginda sehinggalah dakwah Baginda berkembang dek kerana peranan sahabat-sahabat.


Selawat dan Salam buat Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat dan kaum kerabat Baginda.

Apalah ertinya andai kita punya ilmu untuk dibangga-banggakan, kedudukan yang dibangga-banggakan, rumah mewah bak istana dan kereta berpuluh-puluh ribu andai semua itu bukan untuk diinfaqkan ke jalan Allah.

Bayangkan rumah bak istana raja terrsergam indah dan tidak jauh dari rumah tersebut terdapat sebuah rumah sekangkang kera dan di dalamnya tinggal sepasang suami isteri yang diuji dengan memiliki anugerah 5 orang anak istimewa yang berbagai-bagai kerenah. Hanya sekeping hati yang cekal sahaja yang mampu berhadapan dengan ujian ini. Subhanallah, Allah Maha Adil. Diberinya ujian tertentu kepada hamba yang mampu dan layak menghadapinya!

Di sebuah rumah lain yang besar bak istana, seorang pak cik yang dahulunya hanya bersekolah hingga darjah 6 dan hidup susah setelah kematian kedua ibu bapanya sejak berumur 6 tahun. Nasi sudah tidak rupa seperti nasi. Ilmu tukangan dan niat mahu mendapatkan ilmu dan bukan gaji membawanya kepada kejayaan pada hari ini. Hartanya digunakan ke jalan Allah, membantu mereka yang memerlukan. Solat di awal waktu di masjid lima kali sehari tidak pernah ditinggalkan. Katanya, beliau mahu malaikat mengaminkan doanya. Allahu Allah.



Adik-adik Smart Regeneration Camp 2012  sedang khusyuk mendengar taklimat sebelum bergerak ke lapangan masing-masing mengikut sasaran individu dan tempat yang telah ditetapkan



Haji Mat berkongsi bahawa ustazahnya pernah memberi nasihat bahawa sehingga ke hari ini beliau masih mengingatinya dan istiqamah mengamalkannya.

“Ustazah pak cik cakap kalau kamu ada cita-cita yang baik dan mahu Allah kabulkan, puasalah sunat Isnin dan Khamis 7 minggu berturut-turut, insyaAllah Dia makbulkan”. Tinggal lagi kit mahu atau tidak kan? Sama ada kita sudah cukup kuat bermujahadah atau tidak.

Allahu Allah. Pertemuan dengan keluarga ini memberi seribu satu inspirasi.

Kejarlah ILMU dan bukan GAJI!

Sentiasa INGAT ALLAH dalam susah dan senang!

Kehidupan di atas pokok selama bertahun-tahun, hidup dhaif, pelbagai ragam anak-anak  istimewa dan si jiwa yang tabah harungi liku-liku hidup. Allah terima kasih untuk sebuah pengalaman berharga.

Semoga akan lahir lebih ramai pemuda seperti Muhammad Al-Fateh dan Sallahudin Al-Ayubi.  Kemenangan Islam pasti akan datang, tetapi biarlah kita juga tergolong dalam golongan yang menyumbang ke arah kebangkitan Islam walaupun sedikit.

“Ya Allah kau kurniakanlah kami keistiqamahan dalam melaksanakan ketaatan kepada-Mu”




No comments: