Sunday, July 1, 2012

Tenang kau di sana


Lewat petang semalam saya buka laman muka buku. Mahu mengemaskini maklumat dan info program yang akan datang di group. Tiba-tiba anak mata lantas fokus ke arah status seorang adik junior yang sama-sama berpraktikal di Hospital Tunku Jaafar Seremban pada tahun lepas;

" Melihat arwah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan, cukup memberi kesan pada diri. Cuaca yang cukup redup dan tenang mengiringi pemergian arwah, hujan mengiringi perpisahan kita di dunia ini, selamat tinggal sahabatku, doa ku kirim agar kau tenang di sana. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, ku pohon agar dikau dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah buat sahabatku Zulfakar Zainal Abdi"

Saya agak tersentak apabila melihat ayat terakhir. Zulfakar. Adakah Zulfakar yang sama-sama berpraktikal bersama kami? Mana tahu ada rakannya yang lain bernama Zulfakar. Tekaan saya tepat. Itulah Zulfakar. Adik yang baru sahaja menamatkan pelajarannya di IMR. Sahabat-sahabat IMR banyak membantu saya sewaktu berpraktikal. Al maklumlah, di IMR mereka memang dilatih untuk bekerja. Semua test dan machine di hujung jari sahaja.

Al-Fatihah. Seorang sahabat memaklumkan bahawa arwah kemalangan sewaktu hendak membeli goreng pisang. Keadaan di dalam kubur, munkar dan nakir yang siap sedia melaksanakan tugas menyoal hamba Allah, fitnah kubur yang menimpa dan macam-macam lagi. Kadang-kadang selalu fikir mengenai perkara ini tetapi sejauh mana kuat mujahadah masih belum dapat saya kenal pasti. Allahu Allah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasmu dan membantu arwah di alam barzakh. Alam sementara yang pasti akan kita lalui saat menanti peralihan ke alam yg kekal abadi yakni alam akhirat. Sungguh mati itu penghapus segala kelazatan.

Andai hari ini kita masih berseronok dan melebih-lebihkan dunia seperti dunia ini akan kekal, ketahuilah malaikat maut sentiasa bersedia mencabut nyawa hamba-hamba Allah. Ingat mati bukan bermakna akan melemahkan prestasi kehidupan kita malah lebih meningkatkan prestasi. Bukankah ibadah itu apa-apa sahaja pekerjaan dunia yang dilakukan kerana Allah semata-mata? Kerana kita mahu redha-Nya. Mahu Dia pimpin kita dalam setiap urusan kehidupan. 

Malu sungguh pada-Nya. Hari ini saya dan kamu masih hidup. Pasti ada sebab mengapa ALlah masih memberi peluang. Tepuk dada tanya iman saya sendiri. Entah bila giliran saya Ya Allah. Tuntun aku ke jalan-Mu Ya Rabb. Sungguh aku lemah dan tidak berdaya.

Allahumma firglahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Ameen!

No comments: