Thursday, August 25, 2011

Palestin Asia Tenggara III

Mek-mek yang berjiwa kental dan tidak gentar dengan ugutan tentera-tentera yang zalim

Muslimin menginap di Kampung Raja Kayu bersama keluarga Cimusa Sama. Anaknya, Musyrif yang sedang menuntut di Tahun Pertama Univeristi Muhammadiyyah, Indonesia tidak ketinggalan untuk menyertai misi kami. Cimusa juga merupakan tulang belakang kepada gerak kerja Yayasan Fehrd, Yala. Kemudahan yang terhad membuatkan kami berfikir akan rasa syukur kita dengan nikmat yang kita kecapi di tanah air sendiri. Mereka masih dalam kekurangan, dan kita masih lagi tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Dalam kekurangan mereka menerima tetamu dan barangkali qanaah itu sudah semakin pudar dalam diri kita yang suka merungut dengan apa yang ada. Sifat manusia yang tidak pernah puas.Astargfirullahal’azim.

Kembara kami diteruskan dengan lawatan ke Kampung Gajah Mati yang terletak di daerah Narathiwat untuk bertemu dengan mangsa tembakan di Masjid Gajah Mati. Kampung ini tidak punya seorang pun penduduk lelaki dek kerana melarikan diri dan ada di antaranya sudah mati dibunuh para askar. Kagum dengan semangat ibu-ibu di sini. Dek kerana faktor usia,masih ada lagi askar yang menghormati mereka. Alhamdulillah.


Kesan bedilan peluru askar yang terdapat pada pintu masjid

Usai mengagihkan sumbangan keperluan asas, kami terus menuju ke Kampung Air Tempayan. Di sini terletaknya Masjid Al-Furqan yang menyaksikan kejadian tembakan ke arah jemaah masjid yang sedang menunaikan Solat Isyak.Penghulu kampung merupakan mangsa yang terselamat. Beliau berdiri betul-betul di belakang imam dan kemudian segera merangkak ke dalam bilik bilal tanpa menoleh ke belakang. Menurut penduduk kampung, askar menyerbu dari belakang masjid semasa rakaat kedua dan ada jemaah yang ditembak terpaksa berlakon mati untuk mengelak serangan seterusnya oleh pihak askar.

Pintu pagar belakang masjid hanya dibina selepas kejadian tersebut. Selain itu, kerajaan ada memperuntukan duit untuk “menghapuskan” bukti kesan tembakan di dinding dan lantai. Jelas kelihatan, tinggalan tembakan di pintu masjid. Agak teruja juga melihatnya. Motif serangan dipercayai kerana seorang askar mereka telah dibunuh di ladang getah. Alasan biasa umat Islam pasti dipersalahkan dan kesannya mereka ditembak beramai-ramai sewaktu sedang menunaikan solat secara jemaah.


Jenazah jemaah para masjid yanag disemadikan di dalam satu kawasan

Proses mendapatkan pampasan untuk keluarga mangsa agak leceh kerana mereka perlu mendapatkan tandatangan ketua askar, ketua wilayah dan juga ketua polis. Perkongsian cerita dengan salah seorang mangsa menyatakan bahawa dia terkena tembakan di tulang punggung dan buku lali dengan sekali tembakan, lalu terus berlakon mati untuk mengelak dari serangan kedua askar tersebut. Selepas 3 minit kejadian berlaku, askar terus mengundurkan diri dan penduduk kampung terus mengerumuni perkarangan masjid Al-Furqan. Isteri-isteri para jemaah antara mereka yang terkejut dengan kejadian ini. Dalam sekelip mata, punca mata pencarian keluarga mereka hilang begitu sahaja!


Sejarah Masjid Kerisik

Usai Asar, kami diberi peluang melawat sekitar Masjid Kerisik. Nama Kerisik diambil sempena pasir yang berkilat-kilat yang terdapat di bawah masjid. Krue Se Mosque punya sejarah tersendiri. Jika dilihat pada struktur bangunan, ibarat masjid yang tidak siap, dari luar jelas kelihatan susunan batu merah bata.

Tatkala melangkah kaki ke dalam masjid, dinding putih menandakan bahawa masjid ini sudah siap namun dek kerana kejadian jemaah masjid yang ditembak beramai-ramai pada tahun 2004, kerajaan mengambil inisiatif menutup kesan-kesan tembakan yang terdapat di luar masjid dengan susunan merah bata. Sudah menjadi kebiasaan, apabila menembak keluarga mangsa kerajaan memberi pampas an, namun keadilan suatu yang dinanti-nantikan berbanding duit haram kerajaan yang langsung tidak mencukupi dan tidak mampu menyelamatkan nyawa yang tersayang, yakni nyawa para pejuang Islam di sana.


Krue Se Mosque (Masjid Kerisik) dari pandangan luar


Adik Mokhtar yang tetap ceria menyambut kedatangan kami

Kami dipertemukan dengan adik Mokhtar yang kini berusia 19 tahun. Mangsa yang ditembak dari jarak dekat selepas terjatuh dikejar askar. Kejadian berlaku empat tahun yang lepas. Dua orang kawannya meninggal dunia dan 15 yang lain cedera. Siapa sangka anak-anak yang sedang seronok bermain ditembah sesuka hati. Kejam bukan? Tuduhan tidak berasas yang dilemparkan menjadikan askar-askar ini seperti orang gila yang tidak kenal mangsa.

Mokthar kelihatan gembira menyambut kedatangan kami. Akibat kejadian tersebut, kedua-dua belah matanya buta dan tempurung kepala sebelah kiri hancur. Dalam hati tiada siapa yang tahu. Perit bukan tidak mampu melihat. Semoga Allah kurniakan adik Mokhtar kekuatan dalaman yang memungkinkan dia meneruskan kehidupan ini.Pekerjaan ayahnya sebagai seorang nelayan tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya, dan wang sebanyak 1000000 baht (RM 100000) yang diberi kerajaan masih tidak mencukupi.Pihak kami dan pihak yayasan hanya membantu sekadar apa yang termampu.


Dalam perjalanan pulang dengan menaiki pickup truck, diri banyak termenung dan berfikir. Sungguh, ini ujian mereka. Menghadapi manusia buas yang tidak berperikemanusiaan. Terima kasih Allah atas segala-galanya. Semoga saya dan sahabat-sahabat cuba yang terbaik untuk menjadi sebenar-benar hamba yang lafaz syukur tidak pernah lekang di bibir dan semuanya diterjemah dengan amal.

4 comments:

Shidiq-Aimi said...

boleh wat buku crita mek siti nie.. bagus2

Shidiq-Aimi said...

lagu untuk muslimah....

http://www.youtube.com/watch?v=AAnXVDNCLEs

[^__^]

caliph_88 said...

Syukran. Ni curi tulang ka?Kang marah bos.

Shidiq-Aimi said...

hehee xde keje pun.. banyak tulang lagi.. xperlu curi..

hehe bos spoting.. asal task siap ikot time hehe