Monday, August 22, 2011

Palestin Asia Tenggara (15-18 Ramadhan 1432 H)


Sebahagian daripada anak-anak yatim yang kehilangan bapa sangat gembira menerima baju raya masing-masing

15 Ramadhan 1432 H

Menurut En.Ismae dari tahun 2004 hingga sekarang 5000 orang telah mati. Sewaktu kedatangan kami ke sana, keadaan nampak seperti biasa, tetapi pada hakikatnya ramai yang mati. Setiap hari pasti ada sahaja yang akan mati. Bezanya, kami tiada di tempat kejadian. Pos-pos askar pasti akan ditemui sepanjang perjalanan, tentera lengkap dengan senjata. Walaupun mereka mengukir senyuman pada kami, tetapi merekalah yang mencetuskan haru biru umat Islam di sana. Merekalah pengganas yang sebenarnya. Adakah tok imam dan keluarga, pelajar-pelajar sekolah agama dan madrasah serta mereka yang melaksanakan kewajipan sebagai seorang Islam digelar pengganas?Atau mereka yang membunuh, mendera dan menyeksa serta melatih orang lain hebat menggunakan senjata untuk membunuh oang yang tidak bersalah itu bukan pengganas?

Kedatangan kami di Pejabat Yayasan Fehrd, Yala disambut mesra oleh Sawanee, Khadeejah dan Adilan. Khadeejah banyak membuka cerita mengenai pelajar Islam di wilayah-wilayah Selatan Thai. Dia merupakan adik ipar kepada En.Ismae yang juga merupakan pengerusi yayasan. Khadeejah kini sedang menuntut di Tahun Ketiga dalam bidang perubatan di Rusia. Seusia dengan saya. Saya yakin, dia dan beberapa lagi sahabat merupakan harapan umat Islam di sana. Hanya dengan ilmu mampu mengubah nasib masyarakat Islam di sana. InsyaAllah dengan berkat pertolongan Allah, musuh pasti dapat dikalahkan. Bezannya cepat atau lambat!

Kampung Susuk yang terletak di wilayah Songkla merupakan kejadian pertama yang menyaksikan 19 orang anak muda dalam lingkungan umur 19-25 tahun mati syahid dan dikuburkan di dalam satu kawasan. Anak-anak kecil yang keluar membawa sejadah dan telekung ditembak sewenang-wenangnya. Menurut En.Ismael pada tahun 2007, sebanyak 400 orang mayat ditemui di dalam kubang di kubur Cina yang terletak di wilayah Pattani. Mungkinkah di antara 400 orang mayat itu merupakan suami kepada mek-mek yang kehilangan suami mereka sekian lama yang tidak ditemui sehingga sekarang?Allahu’alam. Ayah-ayah dan ibu-ibu bukan tidak berusaha menuntut keadilan demi anak mereka, tetapi semuanya menemui titik kegagalan. Bukan mudah berhadapan dengan kerajaan bukan Islam dan tentera-tentera yang menggila. Keadilan yang pasti di akhirat kelak! Palestin Asia Tenggara, itu yang mereka gelarkan bagi 3 wilayah Selatan Thai yang sedang bergolak. Yala, Pattani dan Narathiwat. Zaman ini media dikuasai oleh pemerintah, maka kebenaran itu terhijab.

To be continued.