Sunday, August 28, 2011

Last but not least : 18 Ramadhan 1432H


Suasana di rumah keluarga angkat penuh dengan keceriaan dan tidak kurang juga perasaan sedih itu turut datang tanpa diundang. Kagum dengan ayah mertua En.Ismae yang kini menjangkau usia lebih dari 80 tahun. Menurut En.Ismael, abang kepada ayah mertuanya meninggal dunia pada umur 100 tahun lebih.


Kagum dengan ayah mertuanya yang bangun seawal pagi memanifestasi ubudiyyah kepada Sang Pencipta walaupun hanya mampu duduk di atas kerusi. Jika dia punya kudrat dia pasti akan ke masjid menunaikan Solat subuh di sana. Jika tidak dia hanya solat di rumah sahaja. Tidak banyak bicaranya, tetapi senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Lawak jenaka kami disambut oleh Mek dan pastinya mek tidak jemu melayan kami yang punya seribu satu kerenah.


Mek kurang memahami bahasa melayu biasa, kami perlu menggunakan bahasa Kelantan untuk memudahkan komunikasi. Usai mathurat dan usrah, kami meneruskan agenda pagi dengan memetik buah jambu air di laman rumah Mek. En.Ismael meminta kami membawa buah tersebut sebagai bekalan di dalam bas nanti. Kawasan kampung ini diberi nama Krong Pinang. Antara kawasan merah (Red Zone) di daerah Yala. Alhamdulillah semuanya dalam lindungan Allah. Kami selamat. Lahawlawala quwwata illabillah. Betulkan niat setiap masa. Andai mati kita di sini, ianya bukan suatu yang sia-sia. InsyaAllah.


Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Seperti tidak mahu kembali ke Malaysia. Namun kami akur. Hari ini hari terakhir kami. Usai mengucapkan terima kasih dan bersalaman, kami terus menuju ke Pejabat Yayasan untuk sesi resolusi. Antara yang dibincangkan adalah mengenai masalah dalaman (Thailand) dan luaran (Malaysia) dalam menangani isu di Selatan Thailand yang kian parah.


Resolusi dari OIC dan badan-badan lain masih tidak terlaksana dan selepas hampir 2 jam perbincangan, akhirnya kami membuat keputusan untuk membantu dari segi pendidikan. Ini merupakan masalah utama umat Islam di sini, terutamanya anak-anak muda. Semua jalan penyelesaian kurang idealistic dan tidak semua yang mampu kami lakukan. Sesuatu yang idealistik seperti bantuan dari segi pendidikan ini insyaAllah jika diteruskan untuk jangka masa panjang mampu membuahkan hasil.





Dari segi pendidikan agama di tiga daerah ini sudah cukup baik, tinggal lagi pendidikan seperti bahasa yang perlu diberi perhatian selain mereka perlu mendalami beberapa bidang ilmu yang lain dalam usaha membantu masyarakat Islam di sana supaya tidak ‘buta’ dalam menangani isu yang mereka hadapi. Dan yang paling penting supaya mereka tidak lagi ditindas dengan sewenang-wenangnya jika mereka sudah punya ilmu di dada.


Mohon doa mendoakan. Umat Islam ibarat satu badan, jika dicubit peha kiri, terasa sakit di peha kanan, dan tidak dikira beriman seseorang itu selagi tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri. Usah seronok di alam sendiri, sekurang-kurangnya doa mampu mengubah.Jika ditanya di akhirat kelak, insyaAllah kita ada jawapannya!

1 comment:

Shidiq-Aimi said...

"dekat dimata melekat dihati" wow.. ayat yg menarik huhu