Thursday, August 25, 2011

Palestin Asia Tenggara II

16 Ramadhan 1432H

Alhamdulillah hampir lebih 24 jam kami berada di bumi Selatan Thailand. Sepanjang misi ini, peserta wanita ditempatkan di sebuah rumah keluarga angkat. Lauk daging dan ikan singgang beserta teh suam menemani sahur kami. Penuh sederhana tetapi cukup untuk memberikan kami tenaga.Tepat jam 8 kami sudah terpacak di pintu utama rumah. Sebelum ke pejabat Yayasan, kami mengambil peluang melawat kawasan di sekitar kampung. Menoreh getah dan mengembala binatang menjadi pekerjaan utama penduduk di kampung Sungai Lemuk. Bau semulajadi haiwan-haiwan ternakan dan getah menjadi teman setia pagi kami.

Dengan berlatar belakangkan pemandangan bukit yang hijau dan menenangkan, menjadikan seolah-olah tiada langsung keganasan berlaku di situ. Tetapi itu sekadar taktik pihak berkuasa mengaburi mata-mata orang sekitar. Keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera cukup bertaktik. Mereka melakukan pembunuhan dalam angka yang sedikit tetapi berterusan.

Tembakan dilepaskan di kawasan-kawasan pedalaman tanpa sebarang liputan menjadikan seolah olah tiada apa apa yang berlaku di sana.Usai melawat kawasan kampung berdekatan dengan rumah keluarga angkat, kami sempat singgah di sebuah nusery yang diberi nama Raudhah. Tidak juah dari kampong tempat kami menginap.Perjumpaan bersama pengetua Raudhah yang merupakan lulusan Universiti Madinah, membuatkan kami kagum dengan ketabahan dan semangat juang beliau membela nasib umat Islam dari sekecil-kecil usia. Berusia lebih dari 25 tahun, Raudhah telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya.

Untuk pengetahuan kalian, Raudhah sudah beberapa kali diarahkan tutup oleh pihak kerajaan tetapi pengetua Raudhah tetap berdegil meneruskan niat murni beliau. Kedegilan beliau berbaloi kerana beliau menjaya mempertahankan Raudhah dan juga berjaya mendapatkan dana dari pelbagai Institusi antarabangsa seperti Arab Saudi dan Arab Emirates dan antara dana terbesar adalah dari hasil dari kebun beliau sendiri yang akhirnya digunakan untuk menampung keperluan makanan di Raudhah. Di akhir pertemuan kami, beliau menzahirkan rasa gembira yang tidak terhingga diatas ziarah kami. Kami berharap itu bukanlah pertemuan terakhir kami.

Jam 10 pagi kami tiba di Yayasan. Agak terkejut kerana sudah ramai anak-anak yatim bersama keluarga masing-masing. Tanpa melengah-lengahkan masa kami terus menolong menguruskan pembahagian baju raya untuk anak-anak yatim tersebut. Kedatangan pemberita dari stesen TV Yala membuatkan suasana menjadi lebih meriah. Wakil Malaysian Relief Agency (MRA) menyampaikan sumbangan kepada para ibu tunggal dan anak anak yatim.

Wajah-wajah yang mahukan keadilan buat suami mereka

Kami berkesempatan berkumpul bersama ibu dan isteri-isteri mangsa bedilan pihak tentera. Cukup sedih dan sayu mendengarkan pengalaman daripada keluarga-keluarga mangsa. Suami yang sepatutnya pergi ke masjid menunaikan ibadah hilang tanpa khabar berita. Anak-anak muda yang ditahan dan diseksa oleh pihak tentera akhirnya dibunuh tanpa belas kasihan. Hati ibu mana yang tidak hancur melihatkan anak harapan keluarga dibunuh dengan kejam.

Pemuda-pemuda tersebut dibunuh atas alasan mereka dianggap sebagai pengganas yang mengecam keselamatan negara. Alasan hina yang biasa digunakan oleh musuh musuh islam. Jika dilihat latar belakang mangsa, kebanyakan mereka adalah petani-petani tempatan yang tidak pernah menjalani sebarang latihan ketenteraan bahkan jahil dalam menggunakan senjata api. Lantaran itu betapa perlunya kita bersyukur tinggal di negara ini yang aman damai tanpa sebarang pergolakan besar.Selepas waktu zohor, kami meneruskan perjalanan ke sebuah kampung di Wilayah Pattani. Kampung Jambu Tiga ini masih diisyhtiharkan sebagai kawasan merah (Red Zone). Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Penduduk kampung sedang bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa sewaktu kami sampai di kampung tersebut.

Berkongsi pengalaman diseksa tentera Thai

Selepas waktu asar kami mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung dan tiga orang pemuda yang baru sahaja dilepaskan dari penjara. Antara jenis seksaan yang pemuda itu hadapi adalah “water body”. Kepala mangsa dibungkus menggunakan plastik membuatkan mangsa hampir lemas disebabkan oleh kekurangan oksigen. Immunity Law yang hanya diaplikasi di tiga wilayah Selatan Thai ini membuatkan kami terpana sebentar. Immunity Law membolehkan tentera dan askar membunuh, memukul dan menyeksa umat Islam di tiga wilayah ini tanpa sebarang dakwaan akan dikenakan ke atas mereka.

Antara kejadian kejadian yang menyayat hati ialah seramai 24 orang ditangkap sewaktu sedang beriktikaf di masjid. Ada di antara mangsa tahanan yang sudah kembali ke rahmatullah kerana dibunuh,ada yang masih dalam tahanan dan ada yang sudah dibebaskan tetapi dengan pantauan. Kebanyakan pemuda-pemuda di kampung tersebut masih di bawah pantauan pihak tentera.

Syahid itu adalah sebaik-baik kematian bagi mereka yang berjuang. Dalam redha mereka tidak pernah berputus asa dalam mencari keadilan walaupun jika dilihatkan keadilan itu sangat jauh dari kehidupan mereka. Usai sesi perjumpaan kami melawat 2 buah rumah keluarga mangsa untuk beramah mesra. Hari ini diserikan dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk Kampung Jambu Tiga. Hasil perkongsian semua member makna dan erti yang mendalam. Asyhkuru Ya Rabbi!

2 comments:

fb said...

Pengalaman yg menarik dari cik siti... terima kasih kerana sudi berkonsi... :)

**singkang?!! sedap nyer!!! lame x makan.. nak masak lah nanti

NURILHAM said...

syukran sbb sudi kongsi pengalaman..
teruskan berkongsi pengalaman di sana..
mudah2an ad rezeki utk sampai ke sana..teringin nk jumpa ngan adik2 Ayata..