Sunday, August 28, 2011

Last but not least : 18 Ramadhan 1432H


Suasana di rumah keluarga angkat penuh dengan keceriaan dan tidak kurang juga perasaan sedih itu turut datang tanpa diundang. Kagum dengan ayah mertua En.Ismae yang kini menjangkau usia lebih dari 80 tahun. Menurut En.Ismael, abang kepada ayah mertuanya meninggal dunia pada umur 100 tahun lebih.


Kagum dengan ayah mertuanya yang bangun seawal pagi memanifestasi ubudiyyah kepada Sang Pencipta walaupun hanya mampu duduk di atas kerusi. Jika dia punya kudrat dia pasti akan ke masjid menunaikan Solat subuh di sana. Jika tidak dia hanya solat di rumah sahaja. Tidak banyak bicaranya, tetapi senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Lawak jenaka kami disambut oleh Mek dan pastinya mek tidak jemu melayan kami yang punya seribu satu kerenah.


Mek kurang memahami bahasa melayu biasa, kami perlu menggunakan bahasa Kelantan untuk memudahkan komunikasi. Usai mathurat dan usrah, kami meneruskan agenda pagi dengan memetik buah jambu air di laman rumah Mek. En.Ismael meminta kami membawa buah tersebut sebagai bekalan di dalam bas nanti. Kawasan kampung ini diberi nama Krong Pinang. Antara kawasan merah (Red Zone) di daerah Yala. Alhamdulillah semuanya dalam lindungan Allah. Kami selamat. Lahawlawala quwwata illabillah. Betulkan niat setiap masa. Andai mati kita di sini, ianya bukan suatu yang sia-sia. InsyaAllah.


Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Seperti tidak mahu kembali ke Malaysia. Namun kami akur. Hari ini hari terakhir kami. Usai mengucapkan terima kasih dan bersalaman, kami terus menuju ke Pejabat Yayasan untuk sesi resolusi. Antara yang dibincangkan adalah mengenai masalah dalaman (Thailand) dan luaran (Malaysia) dalam menangani isu di Selatan Thailand yang kian parah.


Resolusi dari OIC dan badan-badan lain masih tidak terlaksana dan selepas hampir 2 jam perbincangan, akhirnya kami membuat keputusan untuk membantu dari segi pendidikan. Ini merupakan masalah utama umat Islam di sini, terutamanya anak-anak muda. Semua jalan penyelesaian kurang idealistic dan tidak semua yang mampu kami lakukan. Sesuatu yang idealistik seperti bantuan dari segi pendidikan ini insyaAllah jika diteruskan untuk jangka masa panjang mampu membuahkan hasil.





Dari segi pendidikan agama di tiga daerah ini sudah cukup baik, tinggal lagi pendidikan seperti bahasa yang perlu diberi perhatian selain mereka perlu mendalami beberapa bidang ilmu yang lain dalam usaha membantu masyarakat Islam di sana supaya tidak ‘buta’ dalam menangani isu yang mereka hadapi. Dan yang paling penting supaya mereka tidak lagi ditindas dengan sewenang-wenangnya jika mereka sudah punya ilmu di dada.


Mohon doa mendoakan. Umat Islam ibarat satu badan, jika dicubit peha kiri, terasa sakit di peha kanan, dan tidak dikira beriman seseorang itu selagi tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri. Usah seronok di alam sendiri, sekurang-kurangnya doa mampu mengubah.Jika ditanya di akhirat kelak, insyaAllah kita ada jawapannya!

Thursday, August 25, 2011

Palestin Asia Tenggara III

Mek-mek yang berjiwa kental dan tidak gentar dengan ugutan tentera-tentera yang zalim

Muslimin menginap di Kampung Raja Kayu bersama keluarga Cimusa Sama. Anaknya, Musyrif yang sedang menuntut di Tahun Pertama Univeristi Muhammadiyyah, Indonesia tidak ketinggalan untuk menyertai misi kami. Cimusa juga merupakan tulang belakang kepada gerak kerja Yayasan Fehrd, Yala. Kemudahan yang terhad membuatkan kami berfikir akan rasa syukur kita dengan nikmat yang kita kecapi di tanah air sendiri. Mereka masih dalam kekurangan, dan kita masih lagi tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Dalam kekurangan mereka menerima tetamu dan barangkali qanaah itu sudah semakin pudar dalam diri kita yang suka merungut dengan apa yang ada. Sifat manusia yang tidak pernah puas.Astargfirullahal’azim.

Kembara kami diteruskan dengan lawatan ke Kampung Gajah Mati yang terletak di daerah Narathiwat untuk bertemu dengan mangsa tembakan di Masjid Gajah Mati. Kampung ini tidak punya seorang pun penduduk lelaki dek kerana melarikan diri dan ada di antaranya sudah mati dibunuh para askar. Kagum dengan semangat ibu-ibu di sini. Dek kerana faktor usia,masih ada lagi askar yang menghormati mereka. Alhamdulillah.


Kesan bedilan peluru askar yang terdapat pada pintu masjid

Usai mengagihkan sumbangan keperluan asas, kami terus menuju ke Kampung Air Tempayan. Di sini terletaknya Masjid Al-Furqan yang menyaksikan kejadian tembakan ke arah jemaah masjid yang sedang menunaikan Solat Isyak.Penghulu kampung merupakan mangsa yang terselamat. Beliau berdiri betul-betul di belakang imam dan kemudian segera merangkak ke dalam bilik bilal tanpa menoleh ke belakang. Menurut penduduk kampung, askar menyerbu dari belakang masjid semasa rakaat kedua dan ada jemaah yang ditembak terpaksa berlakon mati untuk mengelak serangan seterusnya oleh pihak askar.

Pintu pagar belakang masjid hanya dibina selepas kejadian tersebut. Selain itu, kerajaan ada memperuntukan duit untuk “menghapuskan” bukti kesan tembakan di dinding dan lantai. Jelas kelihatan, tinggalan tembakan di pintu masjid. Agak teruja juga melihatnya. Motif serangan dipercayai kerana seorang askar mereka telah dibunuh di ladang getah. Alasan biasa umat Islam pasti dipersalahkan dan kesannya mereka ditembak beramai-ramai sewaktu sedang menunaikan solat secara jemaah.


Jenazah jemaah para masjid yanag disemadikan di dalam satu kawasan

Proses mendapatkan pampasan untuk keluarga mangsa agak leceh kerana mereka perlu mendapatkan tandatangan ketua askar, ketua wilayah dan juga ketua polis. Perkongsian cerita dengan salah seorang mangsa menyatakan bahawa dia terkena tembakan di tulang punggung dan buku lali dengan sekali tembakan, lalu terus berlakon mati untuk mengelak dari serangan kedua askar tersebut. Selepas 3 minit kejadian berlaku, askar terus mengundurkan diri dan penduduk kampung terus mengerumuni perkarangan masjid Al-Furqan. Isteri-isteri para jemaah antara mereka yang terkejut dengan kejadian ini. Dalam sekelip mata, punca mata pencarian keluarga mereka hilang begitu sahaja!


Sejarah Masjid Kerisik

Usai Asar, kami diberi peluang melawat sekitar Masjid Kerisik. Nama Kerisik diambil sempena pasir yang berkilat-kilat yang terdapat di bawah masjid. Krue Se Mosque punya sejarah tersendiri. Jika dilihat pada struktur bangunan, ibarat masjid yang tidak siap, dari luar jelas kelihatan susunan batu merah bata.

Tatkala melangkah kaki ke dalam masjid, dinding putih menandakan bahawa masjid ini sudah siap namun dek kerana kejadian jemaah masjid yang ditembak beramai-ramai pada tahun 2004, kerajaan mengambil inisiatif menutup kesan-kesan tembakan yang terdapat di luar masjid dengan susunan merah bata. Sudah menjadi kebiasaan, apabila menembak keluarga mangsa kerajaan memberi pampas an, namun keadilan suatu yang dinanti-nantikan berbanding duit haram kerajaan yang langsung tidak mencukupi dan tidak mampu menyelamatkan nyawa yang tersayang, yakni nyawa para pejuang Islam di sana.


Krue Se Mosque (Masjid Kerisik) dari pandangan luar


Adik Mokhtar yang tetap ceria menyambut kedatangan kami

Kami dipertemukan dengan adik Mokhtar yang kini berusia 19 tahun. Mangsa yang ditembak dari jarak dekat selepas terjatuh dikejar askar. Kejadian berlaku empat tahun yang lepas. Dua orang kawannya meninggal dunia dan 15 yang lain cedera. Siapa sangka anak-anak yang sedang seronok bermain ditembah sesuka hati. Kejam bukan? Tuduhan tidak berasas yang dilemparkan menjadikan askar-askar ini seperti orang gila yang tidak kenal mangsa.

Mokthar kelihatan gembira menyambut kedatangan kami. Akibat kejadian tersebut, kedua-dua belah matanya buta dan tempurung kepala sebelah kiri hancur. Dalam hati tiada siapa yang tahu. Perit bukan tidak mampu melihat. Semoga Allah kurniakan adik Mokhtar kekuatan dalaman yang memungkinkan dia meneruskan kehidupan ini.Pekerjaan ayahnya sebagai seorang nelayan tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya, dan wang sebanyak 1000000 baht (RM 100000) yang diberi kerajaan masih tidak mencukupi.Pihak kami dan pihak yayasan hanya membantu sekadar apa yang termampu.


Dalam perjalanan pulang dengan menaiki pickup truck, diri banyak termenung dan berfikir. Sungguh, ini ujian mereka. Menghadapi manusia buas yang tidak berperikemanusiaan. Terima kasih Allah atas segala-galanya. Semoga saya dan sahabat-sahabat cuba yang terbaik untuk menjadi sebenar-benar hamba yang lafaz syukur tidak pernah lekang di bibir dan semuanya diterjemah dengan amal.

Palestin Asia Tenggara II

16 Ramadhan 1432H

Alhamdulillah hampir lebih 24 jam kami berada di bumi Selatan Thailand. Sepanjang misi ini, peserta wanita ditempatkan di sebuah rumah keluarga angkat. Lauk daging dan ikan singgang beserta teh suam menemani sahur kami. Penuh sederhana tetapi cukup untuk memberikan kami tenaga.Tepat jam 8 kami sudah terpacak di pintu utama rumah. Sebelum ke pejabat Yayasan, kami mengambil peluang melawat kawasan di sekitar kampung. Menoreh getah dan mengembala binatang menjadi pekerjaan utama penduduk di kampung Sungai Lemuk. Bau semulajadi haiwan-haiwan ternakan dan getah menjadi teman setia pagi kami.

Dengan berlatar belakangkan pemandangan bukit yang hijau dan menenangkan, menjadikan seolah-olah tiada langsung keganasan berlaku di situ. Tetapi itu sekadar taktik pihak berkuasa mengaburi mata-mata orang sekitar. Keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera cukup bertaktik. Mereka melakukan pembunuhan dalam angka yang sedikit tetapi berterusan.

Tembakan dilepaskan di kawasan-kawasan pedalaman tanpa sebarang liputan menjadikan seolah olah tiada apa apa yang berlaku di sana.Usai melawat kawasan kampung berdekatan dengan rumah keluarga angkat, kami sempat singgah di sebuah nusery yang diberi nama Raudhah. Tidak juah dari kampong tempat kami menginap.Perjumpaan bersama pengetua Raudhah yang merupakan lulusan Universiti Madinah, membuatkan kami kagum dengan ketabahan dan semangat juang beliau membela nasib umat Islam dari sekecil-kecil usia. Berusia lebih dari 25 tahun, Raudhah telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya.

Untuk pengetahuan kalian, Raudhah sudah beberapa kali diarahkan tutup oleh pihak kerajaan tetapi pengetua Raudhah tetap berdegil meneruskan niat murni beliau. Kedegilan beliau berbaloi kerana beliau menjaya mempertahankan Raudhah dan juga berjaya mendapatkan dana dari pelbagai Institusi antarabangsa seperti Arab Saudi dan Arab Emirates dan antara dana terbesar adalah dari hasil dari kebun beliau sendiri yang akhirnya digunakan untuk menampung keperluan makanan di Raudhah. Di akhir pertemuan kami, beliau menzahirkan rasa gembira yang tidak terhingga diatas ziarah kami. Kami berharap itu bukanlah pertemuan terakhir kami.

Jam 10 pagi kami tiba di Yayasan. Agak terkejut kerana sudah ramai anak-anak yatim bersama keluarga masing-masing. Tanpa melengah-lengahkan masa kami terus menolong menguruskan pembahagian baju raya untuk anak-anak yatim tersebut. Kedatangan pemberita dari stesen TV Yala membuatkan suasana menjadi lebih meriah. Wakil Malaysian Relief Agency (MRA) menyampaikan sumbangan kepada para ibu tunggal dan anak anak yatim.

Wajah-wajah yang mahukan keadilan buat suami mereka

Kami berkesempatan berkumpul bersama ibu dan isteri-isteri mangsa bedilan pihak tentera. Cukup sedih dan sayu mendengarkan pengalaman daripada keluarga-keluarga mangsa. Suami yang sepatutnya pergi ke masjid menunaikan ibadah hilang tanpa khabar berita. Anak-anak muda yang ditahan dan diseksa oleh pihak tentera akhirnya dibunuh tanpa belas kasihan. Hati ibu mana yang tidak hancur melihatkan anak harapan keluarga dibunuh dengan kejam.

Pemuda-pemuda tersebut dibunuh atas alasan mereka dianggap sebagai pengganas yang mengecam keselamatan negara. Alasan hina yang biasa digunakan oleh musuh musuh islam. Jika dilihat latar belakang mangsa, kebanyakan mereka adalah petani-petani tempatan yang tidak pernah menjalani sebarang latihan ketenteraan bahkan jahil dalam menggunakan senjata api. Lantaran itu betapa perlunya kita bersyukur tinggal di negara ini yang aman damai tanpa sebarang pergolakan besar.Selepas waktu zohor, kami meneruskan perjalanan ke sebuah kampung di Wilayah Pattani. Kampung Jambu Tiga ini masih diisyhtiharkan sebagai kawasan merah (Red Zone). Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Penduduk kampung sedang bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa sewaktu kami sampai di kampung tersebut.

Berkongsi pengalaman diseksa tentera Thai

Selepas waktu asar kami mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung dan tiga orang pemuda yang baru sahaja dilepaskan dari penjara. Antara jenis seksaan yang pemuda itu hadapi adalah “water body”. Kepala mangsa dibungkus menggunakan plastik membuatkan mangsa hampir lemas disebabkan oleh kekurangan oksigen. Immunity Law yang hanya diaplikasi di tiga wilayah Selatan Thai ini membuatkan kami terpana sebentar. Immunity Law membolehkan tentera dan askar membunuh, memukul dan menyeksa umat Islam di tiga wilayah ini tanpa sebarang dakwaan akan dikenakan ke atas mereka.

Antara kejadian kejadian yang menyayat hati ialah seramai 24 orang ditangkap sewaktu sedang beriktikaf di masjid. Ada di antara mangsa tahanan yang sudah kembali ke rahmatullah kerana dibunuh,ada yang masih dalam tahanan dan ada yang sudah dibebaskan tetapi dengan pantauan. Kebanyakan pemuda-pemuda di kampung tersebut masih di bawah pantauan pihak tentera.

Syahid itu adalah sebaik-baik kematian bagi mereka yang berjuang. Dalam redha mereka tidak pernah berputus asa dalam mencari keadilan walaupun jika dilihatkan keadilan itu sangat jauh dari kehidupan mereka. Usai sesi perjumpaan kami melawat 2 buah rumah keluarga mangsa untuk beramah mesra. Hari ini diserikan dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk Kampung Jambu Tiga. Hasil perkongsian semua member makna dan erti yang mendalam. Asyhkuru Ya Rabbi!

Monday, August 22, 2011

Palestin Asia Tenggara (15-18 Ramadhan 1432 H)


Sebahagian daripada anak-anak yatim yang kehilangan bapa sangat gembira menerima baju raya masing-masing

15 Ramadhan 1432 H

Menurut En.Ismae dari tahun 2004 hingga sekarang 5000 orang telah mati. Sewaktu kedatangan kami ke sana, keadaan nampak seperti biasa, tetapi pada hakikatnya ramai yang mati. Setiap hari pasti ada sahaja yang akan mati. Bezanya, kami tiada di tempat kejadian. Pos-pos askar pasti akan ditemui sepanjang perjalanan, tentera lengkap dengan senjata. Walaupun mereka mengukir senyuman pada kami, tetapi merekalah yang mencetuskan haru biru umat Islam di sana. Merekalah pengganas yang sebenarnya. Adakah tok imam dan keluarga, pelajar-pelajar sekolah agama dan madrasah serta mereka yang melaksanakan kewajipan sebagai seorang Islam digelar pengganas?Atau mereka yang membunuh, mendera dan menyeksa serta melatih orang lain hebat menggunakan senjata untuk membunuh oang yang tidak bersalah itu bukan pengganas?

Kedatangan kami di Pejabat Yayasan Fehrd, Yala disambut mesra oleh Sawanee, Khadeejah dan Adilan. Khadeejah banyak membuka cerita mengenai pelajar Islam di wilayah-wilayah Selatan Thai. Dia merupakan adik ipar kepada En.Ismae yang juga merupakan pengerusi yayasan. Khadeejah kini sedang menuntut di Tahun Ketiga dalam bidang perubatan di Rusia. Seusia dengan saya. Saya yakin, dia dan beberapa lagi sahabat merupakan harapan umat Islam di sana. Hanya dengan ilmu mampu mengubah nasib masyarakat Islam di sana. InsyaAllah dengan berkat pertolongan Allah, musuh pasti dapat dikalahkan. Bezannya cepat atau lambat!

Kampung Susuk yang terletak di wilayah Songkla merupakan kejadian pertama yang menyaksikan 19 orang anak muda dalam lingkungan umur 19-25 tahun mati syahid dan dikuburkan di dalam satu kawasan. Anak-anak kecil yang keluar membawa sejadah dan telekung ditembak sewenang-wenangnya. Menurut En.Ismael pada tahun 2007, sebanyak 400 orang mayat ditemui di dalam kubang di kubur Cina yang terletak di wilayah Pattani. Mungkinkah di antara 400 orang mayat itu merupakan suami kepada mek-mek yang kehilangan suami mereka sekian lama yang tidak ditemui sehingga sekarang?Allahu’alam. Ayah-ayah dan ibu-ibu bukan tidak berusaha menuntut keadilan demi anak mereka, tetapi semuanya menemui titik kegagalan. Bukan mudah berhadapan dengan kerajaan bukan Islam dan tentera-tentera yang menggila. Keadilan yang pasti di akhirat kelak! Palestin Asia Tenggara, itu yang mereka gelarkan bagi 3 wilayah Selatan Thai yang sedang bergolak. Yala, Pattani dan Narathiwat. Zaman ini media dikuasai oleh pemerintah, maka kebenaran itu terhijab.

To be continued.

Saturday, August 13, 2011

Ujian hidup


Ketika Hidupku Tertekan
Mengaburi Pedoman
Kepada-Nya Akan Ku Pergi
Untuk Mencari Bimbingan

Ku Serah Takdir di Tangan-Nya
Mengukir Perjalanan
Walau Ujian Hidup Melanda
Ku tabah Menerima Kerana

Walaupun Tak DiKurnia Kemasyuran
Walaupun Tak DiLimpah Kemewahan
Hatiku Tetap Akan Memuji
Namu Mu Selalu Ya Rabbi

Walaupun Tak Diberi Kemakmuran
Akan ku Memanjangkan Kesabaran
Ku tetap syukur Pada Ilahi
Kerana Mengurniakan Nyawa Ini

Ku Serah Takdir di Tangan-Nya
Mengukir Perjalanan
Walau Ujian Hidup Melanda
Ku tabah Menerima Kerana

Dia Di Hati Selalu
Memberikanku Petunjuk
Apabila Pemandagan Samar

Biarpun Hidup Digoda
Ujian dan Pancaroba
Pasti Ada Hikmah Di Akhirnya

Walaupun Tak DiKurnia Kemasyuran
Walaupun Tak DiLimpah Kemewahan
Hatiku Tetap Akan Memuji
Namu Mu Selalu Ya Rabbi

Walaupun Tak Diberi Kemakmuran
Akan ku Memanjangkan Kesabaran
Ku tetap syukur Pada Ilahi
Kerana Mengurniakan Nyawa Ini


Thursday, August 11, 2011

Semoga kakak sejahtera di sana


UIAM PJ, 2006

Mula mengenali erti usrah. Dan Allah takdirkan juga pertemuan dengan Arwah Kak Siti Hajar. Saat itu umurnya 2 tahun lebih tua daripada saya. Seorang yang periang dan banyak ilmu!

Teringat pula perbincangan di dalam usrah. Naqibah Study Circle bersuara "Eh, macam akk pulak naqibah"..diikuti dengan gelak tawa semua ahli dalam study circle. Semuanya bermula apabila pelbagai ilmu yang dikongsi oleh Kak Hajar. Saya sendiri terpegun dan kagum mendengarnya. Bisik hati kecil saya, "Banyaknya ilmu akak ni"...

Setiap kali usrah bermula pasti saya dan Kak Hajar antara yang terawal sampai. Banyak soalan saya bertanya. Tetapi bukan soal ilmu agama tetapi kehidupan arwah sendiri. Bagaimana dia boleh masuk ke matrikulasi ini dan di mana dia menuntut ilmu sebelum ini.

Ditakdirkan Allah, rakan sebilik satu kelas dengan arwah di dalam jurusan Bahasa Arab. Banyak juga cerita yang saya dengar daripada rakan sebilik. Saya bertambah kagum dengannya.


UIAM Kuantan, 2008

Saya dikejutkan dengan pemergian arwah Kak Hajar. Mendengar berita ini saya seakan-akan tidak percaya. Kaku sebentar sebelum duduk termenung agak lama. Dengar-dengar pula cerita arwah kena buatan orang. Kata mereka arwah akan rasa sakit-sakit di badan pada waktu malam seperti dicakar. Allahu Allah. Tidak dapat saya bayangkan. Baru-baru ini saya terjumpa kisah arwah yang pada awalnya diuji dengan Rheumatoid Arthritis tetapi kemudiaanya semakin pulih. Penyakit ganjil pula yang muncul.

Syukur, Kak Hajar pergi menghadap Ilahi di dalam bulan yang penuh barokah. Bulan Ramadhan. Usai solat Tarawikh 4 rakat di Musolla CF Sister, ada seorang muslimat bercerita mengenai Kak Hajar. Suasana sedikit suram tetapi kemudiaan kata-kata semangat meniti di bibirnya. Beruntung bagi mereka yang pergi di dalam bulan Ramadhan.

Semoga roh arwah Kak Hajar dicucuri rahmat Ilahi dan ditempatkan di kalangan para solihin dan muttaqin. Semoga semangat juang di dalam diri Kak Hajar juga sentiasa mekar di dalam diri saya. Ikuti kisah ayah Arwah Kak Hajar di saat-saat pemergian puteri sulungnya. Semoga menjadi iktibar buat kita yang masih lagi hidup di bumi Allah s.w.t.




Wednesday, August 10, 2011

We will not go down


Mendengarkan lagu dendangan Micheal Heart bertajuk "We will not go down" mengingatkan kembali saya kepada buku From Beirut to Jerusalem. Buku tulisan seorang penulis berbangsa Cina ini begitu sinonim dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Kem Sabra-Shatila.

Mungkin gambar di atas sudah cukup meruntunkan hati-hati mereka yang punya "hati". Janji Allah itu benar. Allah tidak memerlukan kepada mereka yang tidak mahu berjuang bersama kerana janjinya pasti berlaku. Ya, mungkin tidak merujuk kepada kita yang sama sekali tidak berjihad dengan menggunakan senjata. Jihad kita mungkin lebih kepada jihad penulisan ataupun kekuatan anggota badan untuk menyampaikan risalah kebenaran.

Subhanallah, saat kita sedang menjamah makanan yang lazat-lazat rakyat nun jauh di Somalia sedang kebuluran. Umat Islam digesa menghulurkan bantuan makanan dengan segera. Bagaimana dengan negara-negara Islam di sekitarnya. Saya tertanya-tanya di manakah negara-negara Islam yang lain, sehinggakan negara bukan Islam yang turun memberi bantuan makanan. Ya Allah, Kau tetapkanlah iman mereka sebagaiman Kau tetapkan iman para sahabat.

Negara kita mungkin disibukkan dengan isu-isu murtad, perbalahan sesama umat Islam yang juga terdiri daripada golongan agamawan dan berpendidikan tinggi. Mengapa tidak kita semua bersatu atas dasar akidah Islamiyyah yang satu? Apakah punca kepada permasalahan ini? Ini tidak lain dan tidak bukan ujian Allah kepada kita yang bergelar Islam.

Apakah saat ini negara luar sedang mentertawakan negara kita? Mungkin kita hanya "syok snediri" tanpa menyedari serangan halus Yahudi laknatullah yang mahukan umat Islam saling bertelagah! Yahudi sendiri mahu menghapuskan semua agama di dunia dan mereka menganggap mereka adalah umat yang terbaik. Subhanallah, bilangan mereka lebih sedikit daripada umat Islam dan kekuatan itu mereka bina melalui pendidikan. Menguasai hampir kesemua bidang ilmu! Itulah rahsia mereka. Ayuh wahai diri, jangan sekadar rancak menulis! Umat Islam kian parah!

Semoga kita ini bukannya berjuang hangat-hangat tahi ayam. Tafsirlah perkataan perjuangan itu dengan kemampuan anda sendiri. Saya tinggalkan bait lagu "We will not go down" untuk kalian. Sedih bukan bila yang sibuk dan bersemangat mempertahankan Palestin adalah dari kalangan yang bukan Islam sendiri!



A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they're dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who's wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight


Thursday, August 4, 2011

Kalimatan Habibatan

Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:

"2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangandan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: SubhanAllahi wa bihamdih,SubhanAllahil-`Azim"

(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Bagi kaum hawa, kalau tengah memasak, menyidai kain, menyapu, atau berjalan-jalan, boleh amalkan. Yang kaum Adam pun sama. Orang Utara kata, biaq masuk dalam ati. InsyaAllah. Feel the difference.

Monday, August 1, 2011

1 Ramadhan 1432H


Alhamdulillah. Berlalu sudah 1 Ramadhan 1432 H. Masih lagi bernafas sehingga ke saat ini. Seinfiniti syukur. Ya Allah bantulah kami dalam memperelokkan ibadah kami kepada-Mu, sentiasa mengingati-Mu dan mensyukuri nikmat-Mu.

Seronok rasanya bila memasak beramai-ramai di dapur bersama mak dan adik-adik. Pasti sewaktu juadah berbuka dihidangkan teringat pula rakyat Somalia yang sedang mengalami fenomena kebuluran yang sangat dasyat. Lalu apakah cara terbaik untuk mendidik adik-adik untuk tidak membazir di meja makan.

Waktu berbuka adalah antara waktu yang paling menggembirakan seperti yang dijanjikan Allah s.w.t. Dan yang paling menggembirakan apabila kita dapat menatap wajah Pencipta Yang Maha Agung. Makanan di depan mata sungguh enak, mungkin di sini nafsu kita kadang-kadang cukup teruji. Lalu laju sahaja menyantap makanan dengan kuantiti yang agak banyak. Padahnya kekenyangan dan tidak habis. Sempat berpesan pada adik supaya kurangkan kuantiti makanan dan jangan terlalu ikutkan nafsu.

Ramadhan pasti memberi kemanisan apabila kita bukan sekadar berplapar dan dahaga tetapi cuba mendidik nafsu dan menanam sifat-sifat mahmudah di dalam diri. Peluang Ramadhan kali ini berpuasa bersama keluarga. Syukur. Jika dahulu berpuasa bersama rakan-rakan di kampus. Benar saya rindu ke kuliah, usrah dan majlis-majlis ilmu dan ifthar di Taman Ilmu dan Budi. Tetapi saya lebih gembira berada dekat dengan keluarga di bulan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan masa sebaiknya yang sudah Allah beri pada kita.

Mungkin ada yang sering meninggalkan keluarga dek kerana komitmen yang banyak. Tetapi harus diingat keluarga juga adalah penting. InsyaAllah doa pada Allah s.w.t supaya keluarga kita akan menjadi keluarga yang taat dan patuh pada perintah Allah. Bersangka baik dengan Dia.

Seronok melihat perkembangan adik bongsu yang sungguh petah dan rajin ke sekolah walaupun baru berusia 4 tahun. Seperti tahun-tahun lepas, sewaktu Adam masih bayi dia turut berjaga untuk sahur dengan mata tertutup tetapi tangan di dalam pinggan. Hehe. Comel!

Ramadhan Kareem untuk semua. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan kita yang terbaik dari konteks seorang hamba Allah yang mendambakan redha-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan. insyaAllah. Kita tidak sempurna tetapi kita boleh cuba yang terbaik untuk jadi hamba-Nya yang terbaik!