"Ya Thoybah Ya Thoybah...Ya Dawal Ayaana… Isytaqnalik...Wal Hawa Nadaana"
Sampai sahaja di perkarangan Surau Sobirin, Taman Tunku Jaafar, Seremban, jelas kedengaran qasidah Ya Thoybah...Rasa berdegup pantas jantung dan kaki terus laju melangkah menuju ke arah surau meninggalkan abang di belakang. Qasidah ini mula-mula didengari sewaktu berprogram di Maahad As-Sofa, Rembau. Di situlah saya mula berjinak-jinak dengan qasidah dan lebih mencintai majlis-majlis ilmu sedemikian. Yang diserikan dengan ulama-ulama. Sungguh terasa auranya. Berada di dalam majlis ilmu pada malam itu terasa meremang bulu roma. Allah..seronok juga dapat berkenalan dengan mak-cik2 yang ada pada malam itu.
Majlis bermula dengan alunan qasidah dan kemudiannya kemunculan yang dinanti-nantikan semua, Sheikh Nuruddin Al-Banjari. Subhanallah, rasa gembira dapat menatap wajah orang soleh ini, sejuk mata memandang dan tidak sabar mendengar bait kata-kata nasihat dari beliau. Sudah lama diri merindui majlis seperti ini. Alhamdulillah, Dia jua yang menggerakkan hati ini. Syukur.
Sheikh Nuruddin menyampaikan mengenai kelebihan lafaz "Aamin". Katanya walaupun bacaan yang dibaca oleh imam sudah cukup cantik dan merdu suaranya, tetapi masih ramai lagi yang tidak mahu meng "amin" kan bacaan. Lafaz "aamin" itu sudah merangkumi kebahagiaan, taufik, sejahtera, qanaah..segala-galanya tersirat di dalam lafaz yang satu itu. Para sahabat sentiasa berkejar-kejar untuk solat jemaah, sehinggakan apabila mereka yang tidak sempat mengikut takbiratulihram yang pertama akan menyedekahkan 60 ekor unta yang sarat dengan barang dagangan. MasyaAllah tabarakallah!!!
Kekuatan beribadah yang sampai ke tahap itu sekali? Bagaimana dengan kita?Bayangkan jika berjemaah di masjid dan tidak sempat masuk takbiratulihram pertama, adakah kita punya niat seperti itu. Mahu bersedekah RM 100 pada masjid sebagai contoh. Banyak betul kelemahan kita berbanding para sahabat. Iman dan ibadat yang sungguh mantap! Kadang-kadang bila kita kerap meghayati sirah Nabi pasti kita punya kekuatan untuk melaksanakan ibadat-ibadat sebagai menzahirkan rasacinta kita kepada Allah s.w.t bukan?InsyaAllah, doalah Allah bagi kekuatan pada kita. Kita hanya ummat akhir zaman yang sentiasa cuba memperbaiki diri.
Kelmarin pula, saya berpeluang berada dalam majlis yang dihadiri tokoh ulama Syria yang disegani, Sheikh Wahbah Zuhaily. Selama ini hanya berpeluang menatapnya di dalam internet sahaja, tidak sangka Allah beri peluang sekali lagi bertemu dengan orang yang dekat dengan Allah ini. Sheikh Wahbah banyak memberi kata-kata amanat khas buat mereka yang mengaku pejuang Islam. Allah sangdat sedikit apa yang saya lakukan. Beliau sangat bersemangat pada usia seperti ini. Ini adalah pengakuan beliau sendiri. Jauh beza jika ingin dibandingkan dengan usianya yang dahulu. Ditambah dengan melihat anak-anak muda yang penuh semangat, beliau bertambah-tambah semangat. Alhamdulillah.
Antara pesanan yang paling saya ingat dan tersimpan rapi dalam ingatan adalah pesanan beliau mengenai kejayaan Islam. Tiga syarat penting untuk memastikan kejatuhan kejayaan di tangan Islam. Pengorbanan, ikhlas dan sanggup menyumbang tenaga, wang dan masa demi Islam. Ya, demi Islam. Ramai di antara kita yang kadang-kadang berkira-kira. Nah, itu kan untuk Islam. Mengapa perlu berfikir panjang. Ayat ini selalu muncul dalam kotak fikiran setiap kali syaitan datang menganggu. Kata-kata semangat untuk diri!
Banyak sungguh ujian ummat ini. Ummat yang sangat dibimbangkan kekasih Allah. Sahabat-sahabat, leraikan segala persengketaan, mari bersatu di atas dasar akidah yang satu. Semoga Allah redha dengan segala usaha kerana-Nya. Semoga tulisan ini menjadi bukti di akhirat nanti. Ampunkan aku Ya Allah!
Mahu sangat-sangat jumpa Habib Ali dan gurunya Habib Umar. Semoga Allah makbulkan! InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment