Saturday, May 28, 2011

Carilah hikmah itu


“Ada sahaja mereka yang berkahwin sesama jemaah tetapi tidak menjadi juga, si isteri tidak membenarkan suaminya ke usrah selepas berkahwin”.

“Jika kita berjaya melalui 4 musim cabaran dakwah dan gerakan sewaktu belajar, setelah bekerja, setelah berkahwin, dan yang terakhir setelah mempunyai anak, insyaAllah kita akan istiqamah!”

Antara butir-butir bicara yang acap kali saya dengar jika ke program-program gerakan atau tatkala berdiskusi bersama sahabat-sahabat seusrah. Jika dilihat dari segi bahasa, futur bermaksud putus selepas bersambung. Mengikut kefahaman diri yang dhaif, futur yang dimaksudkan ini adalah lemah. Lemah dalam meneruskan cita-cita ummat dan agama. Luas maknanya bergantung pada keadaan individu tersebut. Bahasa mudahnya adalah futur dalam perjuangan.

Sabda Rasulullah s.a.w

Orang yang pandai adalah orang yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Ada di antara senior kita yang di zaman kampusnya sungguh lantang bersuara tetapi sesudah tamat belajar, lenyap begitu sahaja. Batang hidungnya susah sekali kelihatan. Sahabat-sahabat tertanya-tanya. Apakah yang sudah terjadi? Diri cukup bimbang andai tergolong dalam golongan yang hanya tahu bercakap tetapi tidak melaksanakan. Nauzubillah min zalik. bBukankah firman Allah dalam surah As-Saff ayat 2-3 sudah cukup menggerunkan kita?

“Wahai orang-orang yang beriman!Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan”

Jangan disalahkan mereka, namun jadikan kisah mereka sebagai pengajaran buat diri kita. Semuanya punya hikmah. Allah s.w.t mahu kita yang masih lagi “hidup” dalam arus gerakan Islam ini supaya terus menyumbang buat agama dan ummat selagi mampu. Terus berusaha melaksanakan segala apa yang kita canang-canangkan pada orang lain. Bukan sekadar melontar bait-bait indah penuh falsafah. Terburu-buru dalam tindakan. Perencanaan yang tidak teratur, pengurusan masa yang tunggang-langgang. Semua itu harus diperbaiki, jika tidak bagaimana kita mahu menunjukkan contoh yang baik pada kader-kader dakwah kita? Bagaimana mahu menjadi tauladan yang baik pada mereka yang tidak menyertai apa-apa gerakan Islam. Seharusnya kita punya kelainan dari segi kekuatan rohani.

Memetik kata-kata Ustaz Badrul Amin, apabila Allah sudah besar di dalam diri, semuanya akan menjadi kecil. Ujian yang datang mampu ditepis dengan iman. Tidak mudah melatah. MasyaAllah, itu yang saya dan sahabat-sahabat mahu bukan? Buat rakan seperjuangan yang dikasihi sekalian, ayuh sama-sama kita pertingkatkan amalan kerohanian yang menjadi tunjang segala permasalahan kehidupan. Pergantungan pada Allah itu sangat penting dalam konteks mereka yang intima’ dalam gerakan Islam. Elemen-elemen lain akan hadir dengan mudah jika kita sudah punya kekuatan dalaman itu. InsyaAllah, semuanya sudah pasti perlu disusuli dengan rukun mujahadah.

Akhirul kalam, sama-sama kita cakna dengan keadaan sekeliling kita. Dunia kian dihambat dengan seribu satu cabaran yang begitu mudah melemahkan iman. Terus berpegang pada Al-Quran dan Sunnah, insyaAllah kita tidak akan sesat. Kerana itulah yang disabdakan Baginda Nabi Muhammad shollallahu’alaihi wassalam. Apa yang penting buat dai’e adalah solat malam dan saling mengingati antara satu sama lain. Jangan lupa, sahabat-sahabat kita juga adalah mad’u kita.

Salam perjuangan dunia wa akhirat.


No comments: