Antara Politik Demokrasi Dan Politik Islam Mana Akhlak Kita?
Sebelum saya meneruskan tulisan ini terlebih dahulu saya ingin menjelaskan bahawa saya bukan orang terlibat di dalam politik kepartian. Apa yang boleh saya sebutkan ialah saya hanya menyokong parti Islam sahaja. Oleh itu apabila saya menulis saya tidak akan menyebelahi mana-mana pihak kerana saya tidak berparti.
Melihat kepada suasana politik masa kini, akhlak Islam sudah tidak diambil berat oleh ahli-ahli politik sama ada daripada kalangan kerajaan mahupun daripada pembankang. Ahli-ahli politik menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Walaupun cara tersebut bercanggah dengan syariat Islam akan tetapi demi mengikut hawa nafsu yang haram tadi boleh menjadi halal. Sedangkan di dalam Islam haram tetap haram dan halal tetap halal tidak akan berubah sesutu hukum tersebut kecuali mempunyai nas yang kukuh untuk mengubahnya.
Amat memalukan apabila seseorang pemimpin tersebut melakukan tindakan yang agak kasar, mencerca pihak lawan hanya kerana berdendam politik. Sedangkan pada waktu yang sama pemimpin tersebut membaca al-Quran dan hadis nabi SAW, tiba-tiba selepas membaca kalam Allah SWT dan Rasulullah perkataan hina terkeluar daripada mulutnya. Adakah ini contoh ajaran Islam dan adakah ini boleh dicontohi oleh orang kafir? Politk Islam itu mendidik manusia untuk bertaqwa kepada Allah SWT, mencintai agama Allah SWT, dan bukannya mendidik manusia mencerca dan sebagainya. Akan tetapi apa yang kita lihat pada hari ini politik Islam yang dicanang kotor dan tidak menepati politik Rasulullah.
Kembali kepada sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat tidak ada manusia zaman kini yang menerima ujian seberat mereka. Akan tetapi seberat manapun ujian yang diterima Rasulullah dan para sahabat tidak pernah merncerca pihak lawan kerana menolak ajakan untuk memeluk agama Islam. Nabi Musa a.s tidak pernah mencerca Firaun yang menentangnya walaupun mampu untuk berbuat demikian.
Ketika mana Rasulullah SAW pergi ke Thaif untuk berdakwah menyampaikan Islam, penduduk Thaif bukan setakat tidak beriman akan tetapi turut melontarkan batu kepada Rasulullah sehinga badannya berdarah. Ketika itu turun malaikat memohon kepada Rasulullah untuk membinasakan penduduk Thaif akan tetapi Rasulullah berkata jangan, mungkin selepas ini anak cucu mereka akan beriman dan pada masa kita nampak kebenaran kata-kata Rasulullah.
Kembali kepada politik semasa malaysia, amat kotor dan memalukan. Ramai yang mengaku sebagai pejuang Islam memakai serban, kopiah putih dan membaca ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah selepas itu memaki hamun, mencerca dan sebagainya. Bukan setakat menghina Islam akan tetapi turut mengundang negetif orang bukan Islam kepada agama Islam. Adakah golongan ini layak dipanggil pejuang dan layak memimpin umat sekiranya dirinya sendiri bersikap seperti ini. Umat Islam terpecah kepada beberapa puak yang mengaku pejuang Islam, yang pertama puak Melayu UMNO, yang kedua Melayu PAS, yang ketiga Melayu Tabligh, yang keempat, Melayu Arqam, yang kelima Melayu Salafi. Kenapa perkara ini boleh terjadi di dalam agama kita. Masalahnya disini ialah antara kumpulan ini mereka saling menyalahkan orang lain tidak betul.
Diharapkan agar tokoh ulama dan pemimpin politik dapat bertemu untuk berbincang tentang masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam masa kini. Aapalah salahnya atas nama Islam ketepikan dahulu fahaman politik yang berbeza untuk kebaikan umat Islam. Amat menghairankan satu bangsa satu agama akan tetapi mereka tidak boleh bersatu atas nama Islam. Sedangkan orang kafir yang bergama Kristian akan tetapi daripada pelbagai bangsa dan keturunan boleh bersatu atas nama agama mereka.
Seruan kepada ulama-ulama, sampaikan dan bercakap benarlah dengan perkara yang hak. Tidak perlulah mengampu kepada sesiapa pun kerana semua ini tidak bermakna. Mungkin di dunia kita akan mendapat habuan akan tetapi ingatlah kita semua akan mati dan akan ditanya oleh Allah SWT akan peranan kita di dalam memecahbelahkan umat Islam.
Akhir kalam, diharapkan agar biarlah kita berpolitik kerana dakwah dan bukan berdakwah kerana politik. Jagalah imej kita sebagai umat yang terbaik dan jangan cemarkan dengan perkara-perkara yang tidak diajarkan oleh Islam. Inilah sebenarnya bida'ah yang manusia menyelubungi manusia termasuk para ulama dan pemerintah.
Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah
No comments:
Post a Comment