Friday, September 30, 2011

Memori HTJ

Makmal Histologi

Pengalaman berpraktikal di Hospital Tuanku Jaafar selama 2 bulan lebih sangat menyeronokkan. Praktikal bermula pada bulan Mei dan berakhir awal bulan Julai yang lalu. Banyak pengalaman ditimba dan lebih seronok apabila kebanyakan teori yang dipelajari sebelum ini lebih difahami.

Seperti biasa sistem punch card, masuk kerja pukul 8 pagi dan balik pada pukul 5 petang. Saya merupakan pelajar praktikal terawal yang sampai, tetapi dek kerana menunggu pihak pengurusan kami "lewat" pada hari pertama. Berdebar-debar pada hari pertama. Pada pukul 8.15 pagi kami dibawa untuk punch card masing-masing dan warna merah jelas kelihatan.^_^

Alhamdulillah hari pertama ditempatkan di Makmal Mikrobiologi. 3 minggu berkhidmat dan antara semua makmal, pengalaman di Makmal Mikrobiologi lebih menyeronokkan. Sesuatu yang realiti dan boleh dilihat dengan mata kasar. Pegawai Sains yang senior kerap datang bertanya kami soalan-soalan yang menguji minda. Ada juga yang tidak dapat jawab, menunggu esok hari untuk memberi jawapan. Doktor pakar di bahagian ini juga turut sama membuat kerja bersama-sama.

Kenangan sekolah menengah kembali menggamit memori apabila seorang pelajar IMR menggelar saya dengan gelaran Ustazah. Niroshan sudah biasa berkawan dengan orang Melayu Islam. Banyak soalan yang ditanyakan. Dalam diam saya mengagumi dia kerana berfikiran seakan-akan orang Islam, saya mendoakan agar dia diberikan hidayah oleh Allah suatu hari nanti.

Segala ilmu dan pengalaman saya hargai dan segala tunjuk ajar hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.Paling tidak saya mengerti lumrah bekerja di hospital. Kerenah doktor, juruteknologi makmal perubatan dan pesakit. Peluang membantu doktor menjalankan Bone Marrow Aspiration, Fine Needle Aspiration dan melawat pesakit di wad adalah suatu pengalaman yang cukup berharga.

Sakit itu tiada siapa yang pinta. Yang pasti itu adalah ujian. Lima perkara sebelum lima perkara. Bayangkan jika sakit ibadah kita tidak seperti biasa. Justeru, manfaatkan masa sihat untuk beribadah semaksimum mungkin. InsyaALlah. Lumrah manusia itu bila sudah terhantuk baru terngadah. Manusia itu sendiri bersifat lupa dan tergesa-gesa.

Peranan doktor dalam arena dakwah sungguh besar, bukan sahaja doktor malah mereka yang di sekeliling pesakit.Semoga Allah beri kekuatan kepada kalian untuk terus berbakti bukan hanya sebagai seorang doktor biasa.

Ampunkan kami Ya Allah. Kurniakan kami ilmu yang berguna, tambahkan ilmu pengetahuan kami dan bantu kami memahami ilmu-Mu Ya Allah.

Terima Kasih warga Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Tuesday, September 27, 2011

Allah HEBAT kan?


Bawang putih?

Kenapa pula saya post entri berkaitan bawang putih?

Sebelum itu, saya mahu mengimbas kembali pertanyaan saya kepada Ustaz Razak semasa kelas UNGS First Year Second Semester. Ingat lagi ye ingatan saya. Huhu. Ustaz bercerita soal ubat-ubatan kita pada zaman sekarang. Saya pula kemudiannya mengajukan soalan mengenai konspirasi Yahudi dan menyentuh mengenai pegambilan bawang putih yang banyak dalam makanan sebagai langkah menjaga kesihatan tubuh badan atau lebih tepat lagi membantu sistem pertahanan badan dari serangan penyakit. Ustaz tidak menafikannya dan beliau menyarankan agar banyak memakan buah-buahan. Ya, itu yang sebaiknya. Rindu pula kelas UNGS dengan Ustaz Razak dan Ustaz Ibrahim Shogar. Dua-dua ustaz yang sangat peramah di luar mahupun di dalam kelas.

Sebentar tadi ada kelas Herbal Medicine bersama Dr. Deny. She's an Indonesian tetapi sudah 3 tahun menetap di Malaysia. Suaminya lecturer di Kuliyyah Pharmacy. Belajar mengenai herba untuk penyakit yang berkaitan dengan sistem kardiovaskular. Salah satu perkara yang menarik untuk dikongsikan adalah mengenai bawang putih atau nama saintifiknya Allium Sativum.

Bawang putih merupakan ramuan yang tidak asing lagi dalam masakan kita. Kalau ingin tahu bawang putih yang kita hiris dan tumbuk jika dicampurkan dalam masakan tidak membantu dari segi kesihatan. Ini kerana, Allicin merupakan komponen aktif telah dibebaskan sewaktu proses menghiris atau menumbuknya dan ianya telah bertindak dengan udara. Lalu tidak menghasilkan kesan apa-apa jika dicampur dalam masakan sekadar penaik bau.

Penat je cakap dengan mak letak bawang putih banyak-banyak. Hehe. Ok ilmu baru. Terima kasih Allah. Jadi seeloknya kita makan bawang putih itu begitu sahaja. Terus meresap di dalam mulut. (Hehe, berani cuba?). Atau pun boleh makan jeruk bawang putih. Dr cakap sehari 4mg sahaja kuantiti yang boleh diambil. Dr sendiri tidak suka makan begitu sahaja, jadi alternatifnya ambil kapsul bawang putih yang ada di pasaran. Anything that is excessive can give harm to our body kan.

Banyak khasiat bawang putih yang memberi sangat banyak benefit pada kesihatan tubuh badan kita. Bukan sahaja bawang putih malah ciptaan-ciptaan Allah yang lain pun sungguh banyak kebaikannya kepada ummat sejagat. Saintis rancak membuat kajian untuk membuktikannya. Hebat betul Allah. Mahu hamba-Nya berfikir dan dari situ akan timbul rasa syukur dan takzim! Subhanallah. Nikmat sungguh banyak, cuma kita yang kadang-kadang tidak mahu berfikir, hanya tahu menyumbat makanan di dalam mulut. Lazatnya hanya di mulut, bila sudah di dalam perut sudah hilang kelazatannya. Itulah ibaratnya dunia ini. Kelazatan sementara dan penghapus kelazatannya adalah MATI.


Allah Maha Hebat!

Thursday, September 22, 2011

Kunci syurga mak


Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Mudah kan perempuan mahu menempati syurga Allah dan mudah juga ke neraka-Nya. Sebelum ini entri mengenai mak, kali ini entri ini khas buat abah. Kami sama-sama lahir pada bulan Disember. Dan insyaAllah Disember ini abah bakal menamatkan khidmatnya di sektor kerajaan. InsyaAllah. You are reaching 58 years old abah!:)

Abah jangan segan ya ct tulis mengenai abah. Ini adalah memori. Ini adalah ruang untuk anakmu mencurahkan segala isi hati yang terbuku dan juga segala pengalaman yang ditempuh. Tidak lupa sebagai medium berkongsi ilmu. Bila menyelongkar entri-entri dahulu, diri rasa seronok. Membaca kembali tulisan-tulisan, pengalaman-pengalaman dan ilmu-ilmu. Nanti kalau sempat ada anak di dunia ini, bolehlah baca tulisan ummi ye. Haha. Jauhnya menyimpang. InsyaALlah doakanlah saya ya sahabat-sahabat^_^

Mari kembali kepada topik asal. Nama penuh abah Kamaruddin b. Mohd Taib. Anak ke-2 dari 4 orang adik beradik. Adik abah yang perempuan pun sama bilangan anak dengan abah, iaitu 11 orang kesemuanya.Alhamdulillah. Seronok adik beradik ramai, boleh buat games, boleh berusrah dan boleh buat pasukan bola juga. Tapi setakat ini belum pernah buat pasukan bola:). Seribu satu kerenah. Tetapi itu satu lumrah. Mungkin mak dan abah pening dengan kami masa kecil-kecil dulu kan. Yelah, beza setahun.

Erm, masih ingat lagi kami berempat (gambar di atas kecuali baby yang kecil), beratur minta abah buatkan susu. Selepas satu botol susu siap, satu lagi datang, satu lagi pergi baring sambil minum susu. Dah habis susu datang balik dapur. Abah masih buat susu anak-anaknya. Subhanallah. Paling tidak dapat dilupakan bila hendak ke tadika. Menangis minta abah mandikan. Kalau bab-bab mandi abah yang kena mandikan. Kalau tidak nyaring bunyi yang keluar dari mulut kami.

Abah hantar pergi sekolah semasa sekolah rendah. Waktu ini kami ada van. Seronok naik van, boleh tidur luas-luas. Hehe. Abah bawa perlahan. Air mata dah meleleh sebab dah lambat ke sekolah. Hawa pula kalau ke sekolah mesti tidur dalam perjalanan kan Hawa:)

Satu sifat abah yang ct kagum sehingga sekarang adalah sifat penyabar abah. Kadang-kadang sifat itu yang buat ct mengalirkan air mata. I'm proud with you abah!Tidak perlu ct ceritakan sebab abah pun tahu kan. Abah semakin tua, uban di rambut jelas kelihatan. Ct juga kagum sebab abah bela janggut. Hehe. Itu yang ct paling suka. Teringat semasa peristiwa 11 September. Yang berjanggut dianggap terrorist, extremist dan lain-lain. Abah nak ke luar negara pun kami risau. Yelah, takut orang jahat buat yang bukan-bukan. Pernah sekali sewaktu trim janggut abah, terpotong agak pendek dari yang biasa. Abah marah. Hehe. InsyaALlah sunnah yang satu ini dan sunnah-sunnah lain yang abah buat menandakan abah sayang dan cinta pada Rasulullah s.a.w.

Ct bertambah kagum bila abah menceritakan pengalaman abah sewaktu di Tanah Suci Mekah. Abah mesti ingat kan sewaktu abah cerita ct hanya diam dan menangis. I never thought that abah. Your wishes to ALlah were such an amazing one that i would never expect that and Alhamdulillah He gives what you want. Allah knows what's the best for His servant. Terima kasih abah untuk segala-galanya. Ramai orang diuji dengan kehilangan insan yang tersayang dan ct tidak pasti dan tidak tahu langsung bila tibanya giliran abah dan mak. Ataukah ct yang akan pergi dahulu?Kita tidak tahu.Apa yang kita mampu laksanakan tugas sebagai hamba Allah sebaik mungkin. InsyaALlah!



Sewaktu tahun kedua (tahun akhir di matrik), ct dapat panggilan telefon dari mak. Mak disahkan pregnant. Sangat terkejut, tak sangka dan gembira. Kami akan mendapat adik. Akhirnya Adam lahir sebagai penyeri keluarga kami. Semua orang pasti mahu pulang ke rumah dengan segera untuk melihatnya, bermain-main dengan Adam. Walaupun mak disyorkan untuk tidak mengandung lagi, tetapi atas pantauan doktor dan kuasa Allah mak mengandung lagi dan anak mak sihat walafiat. ALhamdulillah. Abah setia menunggu di hospital dan abah pasti orang yang paling gembira!


Tidak mampu nak menulis lagi. Sebak rasanya. Ct buat entri ini khas buat abah. Terima kasih sebab follow blog anak abah ini. Semua blog anak-anak abah follow. Terima kasih sekali lagi. Tidak terbalas jasa mak dan abah membesarkan kami semua 11 beradik. Ct pun tidak sangka yang sekarang abah sudah hampir mencecah angka 60 tahun. InsyaAllah. Semoga abah terus istiqamah dengan amalan. Diberkati umurmu sehingga saat ini. Semoga menjadi hamba ALlah yang soleh. Ameen Ya Rabb! Nanti lepas abah pencen, insyaALlah kita pergi umrah sama-sama ya!:)

Entri ini juga khas buat adinda-adindaku Nur, Hawa dan Nabilah.

Akhirul kalam, semoga Allah ampunkan dosa-dosa kami jika berlebih-lebih dalam sesuatu urusan.

p/s: Rasa entri ini antara yang pelik dari entri-entri sebelum ini. Allah yang menggerakkan hati.This is my territory, so, nothing's weird!:D


Wednesday, September 21, 2011

"Ini kekuatan kita"

Terngiang-ngiang kata-kata Allahyarhamah Prof Dr Khalijah Salleh di atas sewaktu saya menerima berita bahawa beliau sedang tenat dan akhirnya kini sudah pergi buat selama-lamanya. Beliau merupakan wanita pertama yang mempelopori pemakaian tudung di Malaysia. Semoga ini dapat dijadikan saham buatnya di akhirat kelak. InsyaAllah.

Sewaktu 3 generasi Helwa jemaah berkumpul pada Tamrin Helwa 3G yang lalu, saya sempat meluangkan masa bersama arwah sewaktu usai sesi LDK. Arwah sedang sakit sewaktu menghadiri program tersebut namun jasadnya tetap digagahkan demi bersama kami semua. Subhanallah! It's time to change ct!

"Saya cakap dengan husband saya jangan halang saya pergi. Ini kekuatan kita".

Barangkali itu adalah kata-kata azimat buat saya. Kali terakhir mendengar kata-kata tersebut dari arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah. Perjalanan masih jauh, ajal pasti datang bertamu. Irhamna Ya Allah Ya Rahman Ya Rahiim. Ikuti kisah di bawah yang dinukilkan oleh Prof Rosnani Hashim, Mantan Ketua Helwa ABIM mengenai kisah Allahyarhamah Prof Dr.Khalijah Salleh. Tersentuh membacanya!

Pada jam 10 pagi Sabtu 17 September 2011 bersamaan 19 Syawal 1432, gugurlah serikandi yang amat dikasihi, Profesor Dr Khalijah Salleh, bekas pensyarah Jabatan Fizik, UKM dan paling utama mantan Ketua Helwa ABIM, kalau tidak silap Ketua Helwa yang pertama, yang juga di antara pengasas ABIMHELWA. Pemergian Allahyarhamah K Jah (nama gelaran beliau di kalangan Helwa ABIM) memang diratapi oleh seluruh warga ABIM, baik wanita mahupun lelaki.

Sepanjang hari-hari terakhir beliau yang dirawat di HUKM, pelawat tidak putus-putus mengunjungi beliau. Ketabahan beliau menghadapi saat terakhir itu sukar dilupakan. K Jah seperti biasa amat bersemangat dan mentally alert. Dia kenal dan tahu siapa pelawatnya dan dalam keadaan yang sakit, masih ingin berbicara dengan senyuman manisnya yang menjadi trademarknya. Melihat beliau ketika itu sukar untuk percaya beliau sedang menanti saat-saat terakhir.

Saya mengenali K Jah kali pertama di Kolej Tunku Kurshiah Seremban. Beliau datang ke Kolej untuk memberi ceramah motivasi atas undangan Murid Tua (inilah istilah lama untuk alumni). Beliau diperkenalkan sebagai wanita Melayu pertama meraih ijazah sarjana muda bidang fizik. Memang K Jah seorang yang boleh menaikkan semangat pendengarnya. Sejak itu jiwa saya turut berkobar-kobar mahu meneladaninya. Menjadi perintis Melayu dalam apa jua bidang yang mungkin semata-mata ingin membuktikan orang Melayu juga mampu.

Dan akhirnya saya ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang matematik yang ketika itu memang kurang diceburi oleh anak Melayu malahan dicemuh bahawa bangsa Melayu lemah matematik dan sains. Begitulah kesan K Jah pada diri saya ketika itu yang masih di bangku sekolah menengah. Saya pernah bertemu K Jah di University of California Davis ketika beliau meneruskan pengajiannya di peringkat tertinggi. Dan ditakdirkan Allah, kami bertemu lagi dalam jemaah yang kita kasihi iaitu ABIM - saya masih bertatih mengikut jejak langkahnya.


Alhamdulillah, kami terus bersama dan jurang adik dan kakak semakin tipis - sama-sama selaku ahli profesional Muslim yang ingin memajukan umat Islam menerusi da'wah dan juga bidang keilmuan. K Jah seorang pejuang profesional yang amat passionate dalam apa sahaja yang beliau lakukan. Beliau amat passionate dengan ABIM, ilmu dan pendidikan. Beliau tidak akan menolak sebarang undangan Helwa mahu pun Biro Pendidikan ABIM dalam aspek pengongsian ilmu khususnya cinta pertamanya - sains Islam. Di akhir fasa perjuangannya, Allahyarhamah amat prihatin tentang keperluan memasyarakatkan sains di kalangan orang Melayu dan pentingnya hubungan sains dan aqidah. Sains sebagai ayat-ayat Allah swt. Walaupun sudah didiagnos dengan kanser, selagi beliau boleh berdiri, bercakap dan kuat, beliau masih meneruskan perjuangannya - hatta ke Indonesia - berbicara tentang sains Islam sebagai memenuhi undangan IIIT Indonesia. Beliau masih menghadiri majlis Helwa di awal tahun 2011 walaupun kekuatannya sudah mula merosot.

Usaha K Jah bukan sahaja untuk ABIM malahan semua organisasi Islam seperti Yadim dan IKIM. Kegigihannya dalam bidang sains terbukti bila K Jah dilantik sebagai felo oleh Akademi Sains Malaysia. Beliau tidak lupa mengundang saya pada hari bersejarah perlantikannya itu yang beliau gunakan untuk membentangkan mesej cinta pertamanya.

K Jah memang seorang serikandi dan wanita mithali. Selain daripada kerjayanya, da'wah dan aktiviti sosialnya, K Jah juga merupakan isteri dan ibu yang berjaya.


Pada malam jumaat yang lepas iaitu jam 3.19 pagi, kita dikejutkan oleh sms daripada K Jah. Pesannya ringkas sekali:

Tk dear all. Help baca Yassin now. I may be leaving now. Salam maaf zahir n batin.

Benar-benar sms - ringkas dan padat. K Jah seolah-olah sudah tahu bila beliau akan pergi. Ini mengingatkan kita cara Imam al-Ghazzali sudah maklum beliau akan meninggalkan dunia yang fana ini dan memakai kain kafannya. Masha'Allah. Kata-kata K Jah memang benar - beliau berangkat meninggalkan kita terutama ahli keluarganya yang dikasihi pada hari Sabtu. Sejak menziarahi K Jah di HUKM saya bacakan surah Yassin beberapa kali diiringi doa: Ya Allah, jika takdirnya sembuh, sembuhkkanlah K Jah dan jika takdirnya pergi menghadapiMu, mudahkanlah pemergiannya. Allah lebih menyayanginya dan mengetahui rahsia-rahsia kita.

Kini saya cuma dapat menenangkan diri dan perasaan bahawa K Jah pergi dalam keadaan husnul khatimah dan kejayaan muflihun. Innalillahi wa inna ilayhi rajiun. Semuga Allah mengampunkan Allahyarhamah K Jah dan menghimpunkan ruhnya bersama golongan abrar.K Jah sudah pergi namun kita mestilah teruskan usahanya dalam bidang keilmuan dan pendidikan untuk memantapkan sains Islam dan aqidah umat. Inilah sekurang-kurangnya kita dapat lakukan sebagai mengenang jasanya yang tidak ternilai.wabillahi tawfiq walhidayat.


Allahu 'alam.Al-fatihah.


Tuesday, September 13, 2011

5 situasi

Adam kecil balik boleh tak?

Situasi 1

Adam nak minum air.

Anas: Abang dah baca doa belum?

Adam: Belum..(sambil tergelak)...sudah baca doa.

Anas: Ok dah boleh minum

Adam: Along tak amin lagi la.

Situasi 2

Adam: Nape mak marah abang tadi?

Mak: Bila mak marah Abang?

Adam: Ada..tadi mak marah abang. Mak tak sayang abang ke?

Mak: Mestilah mak sayang abang.

Situasi 3

Siti: Abang kena buat baik tau, Allah tak suka orang buat jahat.

Adam: Allah kat mana?

Siti: Allah kat atas langit

Adam: Mana?Tak de pun.

Siti: Allah nampak kita tapi kita tak boleh nampak Allah

Adam: Yelah

Situasi 4

Siti: Abang, jom tolong akak masak

Adam: Jom! (Dengan penuh semangat mengikut ke dapur)

Siti: Ok, mula-mula abang potong bawang putih nie.

Adam: Tergelak-gelak sambil cakap “Abang mana pandai masak”.

Situasi 5

Mak: Abang sayang mak tak?

Adam: Sayang mak sangat-sangat


Thursday, September 8, 2011

Sayang-sayang kamu


“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa ang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

(At-Tahrim:6)


Subhanallah. Ayat ini barangkali menggerunkan diri. Selain permulaan ayat dalam Surah As-Saff, ayat ini cukup membuatkan diri gerun dan sudah tentu ayat-ayat Allah itu harus kita geruni, kagumi dan mengambil pedoman dengan tindakan yang segera. Allahuakbar. Mohon kekuatan pada Yang Satu.Bina Islam di dalam diri sendiri dan kemudian mempengaruhi keluarga, rakan-rakan dan juga yang terdekat.

Doa acap kali dipanjatkan agar keluarga yang terbina akan menjadi orang-orang yang soleh dan solehah. Barangkali doa kita dimakbulkan Allah pada generasi yang seterusnya. Barangkali doa itu Allah tunjukkan pada anak kita, cucu kita atau cicit kita. InsyaAllah. Yang pasti usah berhenti berdoa dan bersangka baik dengan Allah Rabbul 'Alamin. Kebanyakan tulisan saya adalah untuk diri saya sendiri dan juga ahli keluarga yang membaca bait-bait tulisan saya di laman ini.

Seperti biasa, cuti 5 bulan yang dihabiskan untuk program, praktikal, majlis ilmu, bersama kaum keluarga bakal sampai ke penghujungnya. Akan merindui semuanya. Itu pasti. Maka adakah kita benar-benar mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya yang ada di dunia ini. Tanya diri kita. Asif 'ala kulli ya abi ya ummi. Barakallahulakum!

Salam Aidilfitri. Selamat kembali kepada fitrah. InsyaAllah kita usaha ye sama-sama ke arah kebaikan sokmo!:)


Tuesday, September 6, 2011

Insaf sekejap


Benarkah wujud "insaf sekejap"?Ya. Ia wujud!

Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.

Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.

Saya juga tidak terkecuali.

Kisah Hanzalah

Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulullah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.

Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.

Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.

Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!

Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.

Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa

Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.

Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.

Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!

Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.

Taubat Yang Berulang

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.

Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.

Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.

Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!

Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal

Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.

Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.

Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.

Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.

Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan

Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.

Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.

From: I Luv Islam (sungguh menyentuh hati artikel ini)!

Monday, September 5, 2011

Antara haq dan batil?

Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan bahawa:

“Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu symbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik maka kelompok haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”

Tertarik dengan kenyataan Orientalis tersohor ini. Nah, orang bukan Islam menyatakan sesuatu yang pada dasarnya punya kebenaran jika diteliti dalam masyarakat Islam kita pada hari ini. Barangkali hidayah itu belum bertamu dalam jiwa mereka. Namun ini merupakan salah satu senjata mereka untuk menjatuhkan imej Islam di mata orang bukan Islam.

Bina Islam di dalam diri kamu dan barulah Islam itu akan secara perlahan-lahan terbina di sekeliling kamu.

Menulis untuk memberitahu, menilai diri, mengkoreksi peribadi.

p/s: Semester baru akan bermula. Semoga Allah memberi kekuatan buat jiwa-jiwa yang mahu melihat Islam itu kembali gemilang.