Tuesday, February 1, 2011

Bala atau ujian?


Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut Ayat 2-3:


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?"

Keadaan genting yang menimpa penduduk negeri Mesir di saat dan ketika ini mendapat perhatian seluruh dunia. Suratkabar melaporkan seramai 2 juta lautan manusia berdemo untuk menggesa Hosni Mubarak agar mengundurkan diri daripada pemerintahan negara itu. Perasaan bercampur baur apabila mengenangkan rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang kini dilanda musibah.

Seharusnya musibah itu dilihat sebagai satu ujian dan bukannya bala. Allahu Allah, sedih dan pilu tatkala membaca berita mengenai keadaan di sana. Mereka terpaksa mengikat perut dan mengambil keputusan untuk berpuasa dek kerana kehabisan stok makanan dan mereka juga tidak dapat mengeluarkan wang lantaran bank ditutup. Barangkali mereka juga ketakutan mendengar bunyi tembakan dan bom berdekatan tempat tinggal mereka. Tidak dapat saya bayangkan jika Malaysia mengalami nasib yang sama.

Di saat itu lah saya dan seisi keluarga menikmati makanan yang sedap-sedap, tidak pernah kurang dan meniti hidup tanpa rasa susah. Jika ada pun tidaklah sesusah mereka di Palestin. Nikmat yang cukup ini merupakan suatu ujian buat kita dan semuanya akan dipersoalkan kelak. Telah terbukti bahawa dengan ujian kelaparan, kekurangan harta dan jiwa menjadikan ummat terdahulu lebih beriman kepada Allah Yang Satu.


Dikatakan bahawa ujian berupa harta kekayaan adalah lebih dasyat daripada ujian bencana. Mari kita lihat sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi :

"Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."

Bagaimana kita mampu menghadapi ujia-ujian Allah ini dan bukan sekadar omongan kosong. Apabila lalai segera beristighfar. Mereka di sana susah. Kita di sini senang. Lantas apakah sumbangan kita sehingga saat ini. Teruskan berdoa agar Allah sentiasa menguatkan iman mereka yang kini ditimpa musibah. Semuanya adalah ujian, siri-siri tarbiyyah yang telah diatur Ilahi, untuk menguji siapa di antara kita yang beriman dan paling baik amalnya. Allahu Allah.

"Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya."
(Al-Kahfi:7-8).

Mohon semua untuk tetap terus istiqamah mendoakan ummat Islam seluruh dunia, dan bukan hanya pada saat-saat sebegini, malah setiap kali usai solat fardhu. Benar, kita berada di akhir zaman dan pelbagai peristiwa akhir zaman daripada hadis-hadis sahih telah ter"realisasi". Benar, dan tidak lain dan tidak bukan semuanya adalah ujian dari Allah s.w.t. Untuk menguji ummat ini. Semuanya sudah tertulis. Mohon diperkuatkan iman. Ayuh sama-sama, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Setiap saat yang berlalu juga adalah ujian!


"Ya Allah kuatkan ummat Islam di seluruh dunia untuk menempuh segala ujian yang mendatang dan tambahkanlah iman di dalam dada kami, jangan jadikan kami leka dengan arus duniawi ini Ya Allah, pimpin kami ke jalan-Mu Ya Allah.Nastargfiruka wa Natubuilaik Ya Allah"


The_Caliph
Rasah Kemayan
16: 22 pm

No comments: