Alhamdulillah syukur setinggi syukur buatmu Rabbul ‘Izzah atas setiap kurniaan. Anggota badan yang sempurna, kesenangan hidup, kebahagiaan hidup di dunia dan bagaimana pula dengan kebahagiaan di alam yang kekal itu? Allahu Allah…
Sekadar mahu mencoret sesuatu di laman yang terbiar. Sekarang masing-masing sibuk dengan persediaan Peperiksaan Akhir Semester. Alhamdulillah satu kertas telah selesai semalam. Syukur. Allah sentiasa membantu hamba-Nya. Masih berbaki empat kertas. Semoga Allah membantu. Barangkali ada yang berasa sedih kerana usahanya tidak begitu membuahkan hasil. Dan ada juga yang usahanya sedikit tetapi banyak pula yang Allah beri. Rezeki orang usah kita persoal. Semuanya dating dari Allah. Andai sudah berusaha dengan sebaiknya serah sahaja pada Allah. Kadang-kadang dalam hal seperti ini kita sering lupa akan konsep tawakal. Hanya diaplikasi dalam soal jodoh. Malulah kita di hadapan Pencipta.
Yakinlah dengan bait ayat seribu dinar yang diamalkan. Satu persoalan yang berlegar di ruang minda. Masihkah ada Allah di hatimu tatkala bangun dari tidur? Tatkala usai solat? Jangan terlampau mengejar nota-nota sehingga mengabaikan hubungan dengan Allah. Di sini Allah mahu menguji dan menilai hamba-hamba-Nya. Ingatlah semakin banyak masa yang digunakan untuk “bermanja” dengan-Nya semakin banyak Allah luangkan masa untuk kita. InsyaAllah.
Konteks luangkan masa ini sangat luas. Mungkin Dia membantu kita dengan memberi ketenangan di dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan walaupun pada awalnya kita agak gementar sebelum melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan. Mungkin juga Allah memberi kesenangan, menggerakkan hati dan mengilhamkan kita untuk member jawapan yang terbaik dan kita sangat berpuas hati dengan setiap idea yang dilontarkan. Nah, lihatlah semuanya dari Allah, bukan dari kita! Maka jangan dilupa Allah setiap masa. Apa yang kalian dapat dengan terkejar-kejar membuka nota usai sahaja solat, belajar sehingga lewat pagi. Cuba luangkan masa membaca kitabullah, tahajjud. Dua rakaat yang dilaksanakan hanya kerana Allah semata-mata pasti mendapat ganjaran.
Amalan kita bukanlah penentu kita untuk masuk syurga Allah namun ianya sebagai bukti kesungguhan kita dalam mengejar redha dan rahmat-Nya. Nikmat Allah itu luas, lebih luas dari Bumi nan satu. Carilah rahmat dan kejarlah redha Ilahi sebelum masanya telah tamat. Mohon Allah kuatkan hati dan kita perlu mencari kekuatan itu. Semoga kita juga punya kekuatan melawan nafsu yang bersarang dalam diri.
Mohon maaf atas segala kekhilafan. Salam imtihan dunia wa akhirat.
No comments:
Post a Comment