Masa begitu pantas berlalu. Benar kiamat itu semakin hampir. Persoalannya, sudahkah kita bersedia menghadapi maut yang bila-bila bakal bertamu?
Jika YA, Tahniah.
Jika BELUM, ayuh sama-sama persiapkan diri ke arah itu. Orang yang bijak bukan orang yang berjaya mencapai CGPA 4.0 atau bukan mereka yang mempunyai kedudukan dan harta yang tinggi menggunung. Namun, mereka adalah orang yang sentiasa mengingati mati yang sentiasa mempersiapkan diri ke arah itu.
Gerun bukan tatkala memikirkan Hari Pembalasan itu. Sudah tentu ianya tidak terjangkau dek akal fikiran. Saat-saat mencemaskan tatkala buku amalan jatuh di tangan kiri atau tangan, laluan titian Sirat yang mudah atau sukar dan juga saat neraca timbangan amalan dipertontonkan di hadapan mata kita sendiri. Mulut terkunci rapi hanya amalan yang berkata-kata.Di saat itu, anak, isteri, saudara mara dan juga suami tercinta tidak lagi berguna, hanya diri sahaja yang difikirkan setiap masa.
Hisab diri sebelum diri melalui proses penghisaban di akhirat kelak. Para alim ulama' juga dihisab apatah lagi kita yang lompong amalannya sana dan sini. Berapa kalikah kita bertaubat dalam masa sehari?sebulan?setahun?Berapa banyak kalikah kita membazir waktu dengan perkataan atau perbualan yang sia-sia?
Buat rakan dan taulan, pintu taubat masih lagi luas terbuka selagi matahari tidak terbit di sebelah Barat. Bukankah Dia Ar-Rahman dan Ar-Rahim? Sungguh! Lihat sahaja nikmat-nikmat kurniaan-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Lantas, berapa kerapkah kita bersyukur atas nikmat-nikmat kurniaa-Nya?
Tinggal lagi 2 hari sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya. Adakah kita sudah dapat membina taqwa?Masihkah ada sekelumit rasa tidak puas di dalam diri atau tidak sabar mahu menamatkan pengajian di madrasah Ramadhan ini?
Ya Allah temukan diri ini di malam Qadar-Mu, tunjuki hamba ke jalan yang Engkau redhai, ampunkan aku Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun.
Astargfirullah robbal baroya....Astargfirullah minal khotoya...
“Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”
(69:20)
No comments:
Post a Comment