Sunday, August 29, 2010

Sekadar memekik "MERDEKA"?


Apakah yang terlintas di fikiran kita tatkala Tanggal 31 Ogos menjelma setiap tahun?

Adakah punya perbezaan 31 Ogos 1957 dengan 31 Ogos 2010?Mungkin ramai akan menjawab negara kita sudah merdeka, negara kita sudah tidak dijajah, negara kita itu dan ini. Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan yang sebenarnya.

Saat laungan MERDEKA yang pertama kalinya pada tahun 1957, seluruh kampung dan bandar digegarkan dengan laungan keramat ini. Benar, mereka gembira kerana saat itu negara kita ini tidak lagi dijajah. Sudah bebas daripada cengkaman penjajah durjana dan hari itu adalah hari mulia dan bahagia rakyat Malaysia. Hakikatnya, pemikiran umat Islam terus dijajah dan kehidupan kita kini sudah banyak diresapi oleh elemen-elemen Barat yang meresap sedikit demi sedikit seperti sel kanser yang menyerang sel badan dan kemudiannya merebak ke tisu-tisu lain dan yang paling kritikal apabila ia telah menyerang organ di dalam badan.

Apakah ini sudah dikatakan merdeka?Apabila kita tidak mampu melawan unsur-unsur jahiliah yang sudah sebati dan bersarang dalam masyarakat kini?Bukan ingin menidakkan peranan dan sumbangan tokoh-tokoh terdahulu, jauh sekali. Bahkan jasa mereka seharusnya dikenang dan berdoa agar mereka sejahtera di alam sana kerana sumbangan mereka begitu besar dan semuanya diilhamkan oleh Tuhan sekalian alam. Untaian kesyukuran ini hanya kita ratibkan kepada Rabbul 'Izzati atas nikmat yang satu ini.

Memetik kata-kata Tn. Haji Mohd Azam, Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) sewaktu Tamrin Qiyadi Kebangsaan yang lepas, adalah tidak mustahil untuk Malaysia menghadapi kehancuran di masa akan datang andai tiada hikmah-hikmah kebenaran yang kuat, andai tiada pejuang kebenaran, andai juga tiada doa-doa daripada orang-orang soleh dan doa dari kita yang bersungguh-sungguh.

Mengembalikan kegemilangan khilafah Islamiyyah itu bukan suatu yang mustahil andai ummat ini bersatu menggembleng tenaga manjalankan misi "merawat" umat yang kian parah ini.Gelombang dakwah kedua?Adakah kita bersedia menyahut cabaran ini dalam merubah masyarakat hari ini?

Lihat sahaja polisi British yang dipanggil sebagai Creative Destruction of Muslim World yang menyebabkan dunia Arab berpecah-belah, adakah kita sedar akan perkara ini? Penjajahan minda merupakan penjajahan terbesar yang seharusnya kita tepis dengan iman yang dibina dan dipasak teguh dalam diri setiap daripada kita.

Sempena Tanggal 31 Ogos 2010 ini, mari sama-sama kita kembali muhasabah sejauh mana negara kita sudah mencapai kemerdekaan. Dalam konteks apakah sebenarnya kemerdekaan negara yang telah kita capai. Selidiki diri kita sama ada masih lagi berada di bawah pengaruh penjajah atau masih lagi di alam "kanak-kanak". Kemerdekaan bukan sekadar mengibar-ngibar jalur gemilang dengan laungan MERDEKA yang penuh semangat, tetapi kemerdekaan lebih daripada itu.


" Umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti selain Allah s.w.t dan segala tindak tanduknya berpandukan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w"

Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid (Bekas Pengerusi IKIM)



No comments: