"Katakanlah Pujilah Allah atau Pujilah Ar-Rahman..."
(Surah Al-Isra' ayat 110)
Alhamdulillah, syukur pada Allah yang tidak pernah berhenti memberi dan terus memberi tanpa rasa jemu. Kita manusia mudah berasa jemu, mengeluh dan jarang sekali bersifat qanaah (berasa cukup dengan apa yang ada). Apakah itu tandanya kita sudah cukup bersyukur? Ibadat yang kita lakukan sehari-harian bukan sahaja perintah Dia semata-mata, namun salah satu cara untuk kita memanifestasikan rasa syukur kepada Tuhan sekalian alam. Apa guna ibadat kita jika tiada langsung tersentuh di hati dan juga sering kali bergelumang dengan masalah hati yang tidak pernah sudah dek kerana pengaruh-pengaruh luar dan dalam.
Duhai sahabat, ayuh, Ramadhan kini berlalu begitu cepat sekali bukan? Namun, usah biarkan ia berlalu dengan begitu sahaja tanpa langsung ada perubahan. Celakalah kita andai keluar dari madrasah Ramadhan nanti, dosa-dosa kita tidak diampunkan dan gagal membina taqwa. Lakukan pecutan sementara masih ada. Pecutan mengejar redha dan keampunan Allah s.w.t. Dia Maha Penyanyang. Lalu apakah kita ini masih merasakan masa itu masih panjang?Sempatkah kita memegang segulung ijazah dan mendirikan rumah tangga?Semua itu ketentuan Ilahi. Apa yang pasti, teruskan amal ibadat yang diiringi jasa dan bakti buat umat yang satu ini.
Selamat menempuh ujian dunia yang membawa kepada ujian akhirat. Syukran kathir buat sahabat-sahabat yang hadir ke usrah walaupun esok bakal menghadapi ujian pertengahan semester. Oh ya, saya baru sahaja selesai dua kertas, satu kertas bakal menyusul minggu hadapan dan kertas terakhir selepas Aidilfitri nanti, InsyaAllah.
Akhirul kalam, ayuh teruskan berdoa. Semoga saya dan kalian semua dapat bersama bulan barakah ini sehingga ke akhirnya. Ameen Ya Rabb!
"Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina!"
(Al-Mukmin:60)
No comments:
Post a Comment