Sunday, August 23, 2009

Kau datang lagi

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh kaum kerabat Baginda. Dengan dakwahnya dan para sahabat Islam tersebar luas ke serata alam ini. Alhamdulilah. Setinggi-tinggi kesyukuran saya rafa’kan kepada Ilahi Rabbi kerana Dia mempertemukan saya dengan Ramadhan kali ini, bimbang kalau-kalau nyawa ini dicabut tanpa merasai nikmat Ramadhan kali ini, diri yang masih sedikit amalannya dan moga Allah menerima segala amal ibadat yang dilakukan.Berbaik sangkalah dengan Allah. Teringat kata-kata Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki bahawa, jikalau kita asyik mengatakan Allah tidak akan menerima amalan kita, maka itulah jadinya, sebaliknya kita harus think positively.Astargfirullahal’azim…kalimah yang bisa membantu kita di alam kubur kelak..InsyaAllah.Mudah-mudahan…

Ramadhan bulan yang penuh barakah dan terdapat banyak kelebihan yang terkandung di dalam bulan yang mulia ini. Teringat pula kisah Perang Badar yang cukup terkesan di hati. Dapatkah kita menjadi seperti para pejuang Islam seperti yang digambarkan dalam sejarah Islam ini?Segala-galanya memerlukan mujahadah yang berterusan. Seharusnya kita gunakan peluang yang ada untuk kita cuba sedaya upaya untuk mendapatkan rahmat dan redhaNya.Dialah yang meminjamkan kita segala kudrat yang kita guna pakai setiap hari.Rugi andai tiba sahaja bulan ini, kita hanya sekadar berpuasa untuk memenuhi rukun Islam yang ketiga ini. Adakah hanya dengan berpuasa dan berbuka kemudian membuat aktiviti-aktiviti lain seperti biasa. Rugilah kita andai menjadi golongan seperti ini.Sentaklah emosi dan rasa dengan menghayati apa sebenarnya hikmah puasa sebulan di bulan Ramadhan diwajibkan ke atas umat Islam.

Barangkali ada yang begitu susah untuk bangun menunaikn solat tahajjud ataupun qiamullail pada hari biasa, namun pada bulan Ramadhan ini seharusnya kita gunakan sebaiknya peluang yang ada untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta dengan kerap membaca Al-Quran , bertadarus, Tahajjud, memperbanyakkan sedekah dan pelbagai lagi amalan-amalan sunat yang dilakukan secara ikhlas semata-mata ingin mendapatkan keredhaanNya.Jauhi sifat riak dalam beribadat dan sentiasa ada perasaan malu, takut dan berharap pada Allah s.w.t.Harus diingat pokok pangkalnya segalanya perlulah dilakukan atas dasar iman yakni keranaNya.

Jadilah kita hamba yang senantiasa rindu akanNya dan menjadikan akhirat sebagai matlamat utama kita dan bukan hanya sibuk dengan urusan dunia yang penuh dengan tipu daya syaitan.Doalah semoga Dia menerima segala amalan kita dan cuba memperbaiki diri dari sehari ke sehari.


Allahu’alam