Friday, November 4, 2011

Pimpin kami

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Untaian syukur ini diratibkan hanya buat Rabbul Izzati di atas kurniaan kesihatan, kemakmuran, kesejahteraan hidup dan tidak lupa juga di atas nikmat iman dan Islam yang memungkinkan kita untuk terus mencuba untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Ya, nikmat paling besar iaitu apabila kita berpeluang bertemu dengan Allah azza wa jalla di akhirat kelak. Allah, layakkah? Saat soalan ini diajukan terngiang-ngiang kata-kata Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki di dalam satu majlis ilmu yang pernah saya hadiri.

Katanya kita perlu bersangka baik dengan Allah, hatta dalam soal penerimaan taubat kita oleh Allah. Juga diaplikasi dalam hal yang sebegini. Walaupun kita rasa tidak layak, namun kita harus optimis dan yakin bahawa Allah memperkenankan doa hamba di dalam keadaan hamba berada dalam kesusahan dan kemudharatan. InsyaAllah, ini adalah antara faktor mustajabnya doa kita.

Sudah pasti doa memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Mukmin. Bermula daripada makanan dan minuman yang halal, doa yang bersungguh-sungguh, dan berbuat baik sesama manusia, penantian terhadap doa yang dipanjatkan kepada Ilahi Rabbi pastinya membuahkan kemanisan di akhiratnya. Buah taqwa yang akhirnya tinggal lagi untuk dipetik pastinya suatu penantian yang sungguh berbaloi. InsyaALlah.

Tahun 2011 menyaksikan pelbagai agenda politik tanah air yang sungguh menjelikkan. Dan tidak kurang juga ada momen manis untuk dikenang.Isu liwat dan skandal seks, Bersih 2.0, Kebuluran di Somalia, Isu pemeriksaan gereja Methodist, Bajet 2011, Hudud, penggantungan Prof Aziz Bari dari tugasnya sebagai Pensyarah Undang-undang UIAM, dan yang terbaru Himpunan Sejuta Umat. Campur tangan politik kotor memburukkan keadaaan. Di manakah keadilan? Di manakah mereka yang mengaku Islam?Di manakah akal yang waras? Di manakah iman? Di manakah oh di manakah!

Umat Islam itu bersaudara. Tidak dikira beriman seseorang itu selagi dia tidak menyayangi orang lain seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri. Umat Islam ibarat satu badan, dicubit peha kiri, terasa sakitnya peha sebelah kanan. Allahu Allah, barangkali hadis dan ayat Al-Quran yang berkaitan sudah kita maklum, namun sejauh manakah pelaksanaannya. Retorik?. Muhasabah.

Kedangkalan akal manusia barangkali menimbulkan satu mehnah yang membawa kepada kehancuran golongan yang lain. Semua ini tidak lain dan tidak bukan merupakan ujian Allah kepada kita yang sedar dan faham. Sayangnya Allah pada satu umat adalah dengan banyaknya ujian yang didatangkan kepada umatnya. Dunia tidak akan kekal lama, dan esok belum pasti menjadi milik kita. Seruan Al-Asr untuk kita berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran barangkali bisa menjadi pemangkin untuk menyebarkan risalah Islam dalam apa jua cara. Sudah pasti ianya perlu didasari dengan ilmu dan jihad (bersungguh-sungguh) yang kemudiaannya akan menimbulkan pengorbanan.

Politik itu suci. Islam juga mengambil berat soal politik. Dari pembinaan sakhsiyah Islam kepada terbentuknya sebuah kilafah Islam semuanya memerlukan usaha semua umat Islam yang bersungguh-sungguh.Keadaan ini membawa saya kepada satu analogi. Kebetulan terbaca kisah ini di dalam Syarah Hikam. Pada suatu malam sewaktu Perang Badar, serban dan baju baginda terjatuh. Baginda Rasulullah s.a.w berdoa agar Allah menunaikan janji-Nya agar memenangkan mereka di dalam Perang Badr. Selepas berdoa sahabat memujuk agar Rasulullah s.a.w tidak risau kerana janji Allah itu pasti (Lebih kurang begitu ceritanya). Di sini Rasulullah menunjukkan kesempurnaan ilmu apabila Baginda tidak hanya bergantung pada sesuatu yang zahir.

Maka, apa yang dapat disimpulkan, pentingnya untuk kita bersatu menggembleng tenaga dalam soal penyatuan ummat Islam yang akan membawa kepada tertegaknya Islam. Mahukah kita hanya dengan menongkat dagu dan melihat Islam kembali gemilang atau mahu turut serta dalam perjuangan ini. Biar kecil namun ada nilai di sisi Ilahi. Mudah-mudahan.Allahuakbar, semoga Allah mengurniakan kita kekuatan. Mana mungkin kita mampu menadah tangan untuk berdoa dan melaksanakan ibadah tanpa kekuatan dari-Nya.

Mohon doa mendoakan agar kita semua terus thabat dalam perjuangan kecil ini. Benar, kita adalah rantai-rantai mata perjuangan Rasulullah. Namun, mujahadah itu perlu. Perbaiki amalan itu perlu. Perbaiki akhlak itu perlu. Sepanjang masa.

Allahu’alam.

No comments: