Saturday, October 22, 2011

Tholaba


Bagaimana dengan solat kita hari ini?

Sengaja dilewatkan atau tepat pada waktunya? Siapa kita jika mahu Allah menunggu? Kita bukan sesiapa. Kita hanya manusia yang alpa dan leka yang diciptakan dari setitis air mani yang hina.

Bagaimana dengan tahajjud kita? Manifestasi syukur yang pasti dinanti-nantikan oleh si pemburu cinta Ilahi Rabbi.

Ya benar, solat yang satu ini jika dilaksanakan secara istiqamah, khusyuk dan ikhlas mampu membantu mencegah kanser. Tetapi itu bukan tujuan asal kita. Prioriti kita adalah mahu melahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t yang tiada henti memberi nikmat.

Ditenggelami dingin malam dan keenakan tidur di atas katil dan bantal yang empuk pasti sahaja membuatkan syaitan menang dalam pertarungan ini. Betapa besarnya nafsu yang harus dilawan. Bersyukurlah sekiranya mujahadah kita mampu menepis ujian ini.

Pasti sahaja kita maklum dengan janji-janji Allah bagi mereka yang menunaikan solat 2 rakaat di sepertiga malam ini. Hakikatnya kita sudah biasa dengan peringatan tersebut. Namun langkah lebih serius perlu diambil. Sudah banyak nikmat yang diberi. Pancaindera yang lengkap, kesihatan yang baik, kemakmuran negara dan banyak lagi nikmat yang tidak terkira.

Kekuatan dai'e itu pada solat malamnya. Apalah gunanya bait-bait kata indah tanpa punya usaha memperbaiki kekuatan dalaman?

Semoga Allah kurniakan kita taufik dan hidayah-Nya. Kita pasti mahukan pahala-Nya kerana kita adalah orang awam. Ibadat kita sebagai medan untuk kita menunjukkan rasa cinta dan syukur kita kepada Yang Maha Satu.

Didik diri lazimi istighfar dan zikrullah agat hati itu terus hidup. InsyaALlah. Teruskan berharap pada Allah. Dia sentiasa ada untuk kita.

Khusyuk itu juga timbul bila ada unsur tholaba (meminta). Bermanja-manjalah dengan Pencipta selagi punya waktu.

No comments: