Saturday, October 15, 2011

Di celahan KAHS

Membaca, membaca, membaca dan menulis. Petikan kata-kata A.Samad Said.

Bengkel Penulis Muda yang berlangsung semalam sedikit sebanyak membantu saya untuk teruskan penulisan. Saya kira, bagi mereka yang pandai menulis dalam erti kata, dapat menyampaikan kata-kata yang mudah difahami dan susunan yang baik mampu menyampaikan idea dan juga informasi kepada pembaca dengan baik. Tulisan itu tidak semestinya mempunyai ayat-ayat bombastik.

Menulis dari hati dan insyaALlah sampai ke hati.

Zaman ini zaman teknologi. Kini tidak perlu menggunakan pen untuk menulis. Cukup sekadar punya sebuah laptop atau notebook. Barangkali method dakwah melalui penulisan cukup berkesan, tambahan anak-anak muda kini dilanda fenomena media baru seperti Facebook dan Twitter. Perkongsian di laman-laman sosial mungkin membantu. Seruan Baginda Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan darinya walaupun satu ayat barangkali menjadi pemangkin buat mereka yang suka menulis. Mungkin itu cara mereka. Kemampuan setiap dari kita berbeda.

Teruskan membaca. Dan di akhirnya pasti akan ada sesuatu untuk ditulis. Saudari Rebecca Ilham sungguh provokatif dan cukup member inspirasi untuk menulis. Slot Jom Menulis selepas Zuhur sungguh mencuit hati dan menyeronokkan. Bait-bait tulisan di atas helaian kertas dilontarkan oleh setiap peserta. Cerita yang pelbagai.

“Kreatif juga budak Sains ni ye, siapa kata budak sains direct to the point, kalian semua sudah membuktikan”. Kak Rebecca melontarkan kata-kata ini setelah selesai mendengar karya kami. Banyak pengajaran daripada semua cerita yang dikongsikan. Teruskan menulis sahabat. Kritikan dan komen dari Kak Rebecca cukup membina.

Terima kasih buat sahabatku kerana membetulkan fahaman saya yang selama ini saya kira salah.

“Menulis bukan untuk memberitahu tetapi untuk mencipta tahu”. Katanya Ustaz Saiful Islam yang berkata sedemikian,. Ada benarnya. Jika niat hanya untuk memberitahu, mereka akan baca tanpa mahu ambil tahu. Tetapi jika untuk mencipta tahu, kita mahu mereka tahu dan ambil tindakan seterusnya.

Semoga segala perkongsian dari diri yang dhaif ini di laman yang tidak seberapa ini punya manfaat buat mereka yang berkunjung ke sini. Sejujurnya, saya menulis untuk peringatan buat diri saya sendiri. Segala kata-kata dan tulisan ada tanggungjawab ke atasnya. Semoga Allah tuntuni hati ini ke jalan yang diredhai-Nya.

Saya kira Bengkel Penulis Muda ini perlu dijadikan program tahunan dalam usaha memenuhi aspek intelektualisme. Aspek spiritualisme, aktivisme dan idealism sudah ada perencanaannya, dan semoga bengkel tersebut menjadi pemangkin buat peserta yang hadir untuk terus menulis dalam menyebarkan idea masing-masing.

Jika anda adalah seorang pelajar Perubatan, sampaikan ilmu yang anda tahu dengan cara mudah melalui cerita-cerita yang difahami oleh masyarakat. (Ditujukan khas buat saya Pelajar Sains Bioperubatan).

Kak Rebecca berkongsi.

“Albert Einstein cakap saintis yang tidak tahu menyampaikan konsepnya pada budak berumur 6 tahun sebenarnya masih tidak faham konsep tersebut”.

Surah pertama yang diturunkan menggalakkan umat Islam untuk membaca. Membacalah dan kemudian berkongsilah agar yang lain juga dapat merasakan nikmat ilmu itu. InsyaALlah. Semoga ini dapat dijadikan saham di akhirat kelak.

1 comment:

Unknown said...

terima kasih siti for this post =)