Wednesday, September 19, 2012

Kerana Tuhan untuk Manusia




Alhamdulillah wa syukru lillah.

Sejujurnya, saya rindu untuk menulis. Meninggalkan beberapa perkara di laman ini. Saya hanya mampu membelek-belek dan membaca kembali peringatan-peringatan yang ditulis khas untuk diri sendiri. Pastinya apabila kita membaca tulisan orang yang kita kenal, pembacaan kita akan lebih cerap.

Sudah hampir dua minggu lebih saya di UTM. Menahan suhu yang bisa membuatkan tangan kaku dan sejuknya hingga menusuk ke tulang. Barangkali ini juga ujian kesyukuran. As simple as ABC. Jadi, tidak perlu mengeluh. Oh ye saya bukan berada di dalam peti ais ye. Kini saya ditempatkan di bilik lama pensyarah bersama seorang pelajar Phd, Kak Atiyyah namanya. Memandangkan, Dr Fadhil selaku supervisor saya telah berpindah ke bangunan baru, beliau dengan berbesar hati memberi kami biliknya. Terima kasih Dr! Bilik ini perlu dikemas lagi kerana banyak juga barang-barang Dr yang sudah tidak digunakan lagi dan menanti masa untuk dikitar semula.

Saya sememangnya tahu kewujudan UTM tetapi saya tidak pernah langsung perasan perkataan yang terdapat pada logo UTM.

"Kerana Tuhan untuk manusia"

Menarik bukan? Sewaktu pertemuan pertama kali dengan supervisor, beliau menekankan perkara ini kepada saya. Saya sudah cukup gembira dengan itu. Bertambah keyakinan saya terhadap beliau dalam erti kata beliau bukan buat kerja hanya kerana mahu menempa nama atau mendapatkan ganjaran, tetapi kerana Allah dan kelebihannya untuk dinikmati orang lain. InsyaAllah.

Di sini peratusan pelajar luar negara sangat tinggi berbanding dengan universiti-universiti penyelidikan yang lain. Kebanyakannya pelajar Iran. Huhu. Alhamdulillah setiap pagi saya ke office dengan menaiki bas yang hanya memakan masa tidak sampai 5 minit. Jika tersilap bas saya akan turun di mana bas tersebut berhenti dan cuba cari jalan shortcut. Sehingga pernah terkantoi dengan seorang pensyarah kerana memanjat tangki air (rendah je pun) di belakang fakulti lain dek kerana nak ikut jalan shortcut. Hehe. Seronok!

Sudah pasti suasananya sedikit lain dengan UIA. Mungkin di sini saya masih dapat melihat cara pemakaian yang sama dengan pelajar-pelajar UIA. Bas yang sangat banyak dan setiap 15 minit pasti ada. Alhamdulillah.  Pelajar Cina dan India membuatkan saya terasa kembali zaman sekolah. Perpustakaan dan beberapa perkara lain yang budayanya sama seperti UIA dari segi keislamikannya. Alhamdulillah. Jika di UIA kempen "No Dating" mungkin giat dijalankan dengan menampal notis atau banner, tetapi di sini bebas di sana sini pelajar lelaki dan perempuan berdua-duaan kecuali yang sudah berkahwin.

Saya cukup bertuah kerana Allah memberi saya tempat yang cukup strategik. Kafe, Perpustakaan, Masjid dan Fakulti yang dekat dengan Kolej Penempatan saya. Kafe Kolej ditutup sejak sem lepas gara-gara berdekatan dengan kolej terdapat sebuah kafe yang selalu dikunjungi ramai, jadi mahu atau tidak kami perlu ke sana untuk membeli makanan. 'Ala kulli hal Alhamdulilah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Untuk semester pertama ini saya tidak bercadang mahu membawa kereta memandangkan beberapa perkara yang saya merasakan tidak sampai ke tahap wajib. Tetapi lesen P yang baru dimiliki ini tidak harus dibiarkan sahaja. Bimbang keyakinan untuk memandu itu hilang. Adakah saya perlu selalu sewa kereta?:)

Saya menanti untuk berusrah dengan WADAH Johor, seorang kenalan memberitahu ada beberapa pensyarah WADAH di sini. Dan saya juga sedang berusaha untuk berusrah dengan adik-adik undergraduate. Mereka sangat peramah dan mereka sangat mudah didekati. Ini suatu peluang untuk saya. Doakan! Mudah-mudahan kami semua akan menjadi lebih baik. Itu suatu yang tidak mustahil.

Terima kasih mak abah yang bersusah payah dari sejak ct dilahirkan hinggalah sekarang! Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga amanah ini terlaksana dengan baik. Amiiin!


Saturday, September 1, 2012

Syukru lillah





Alhamdulillah.

Tahun 2012. Subhanallah. Masa begitu cepat sekali berlalu. Sejam dirasakan seperti satu minit. Setahun bagai sebulan mungkin. Keberkatan waktu semakin ditarik Allah. Umat akhir zaman yang sentiasa dirindui baginda Rasulullah s.a.w ini berada di dalam ujian yang hebat.

Ujian kiri dan kanan. Depan dan belakang. Datang dengan bermacam-macam cara. Tinggal lagi iman sebagai penentu untuk lepas setiap halangan dan ujian yang Allah hadirkan. Dia hadirkan untuk kita kembali memahami erti dan makna kita berada di Bumi Allah dan kembali kepada sebab kita diciptakan? 

Hati kita pastinya sayu melihat satu persatu berita mengenai saudara seislam kita yang ditindas dan dibunuh. Seperti tiada nilai. Ini benar-benar ujian. Syukur setinggi-tinggi syukur, kita di sini sungguh senang. Masih mampu tersenyum, bergelak ketawa dan bergurau senda, malah menikmati  makanan yang enak-enak sehingga ke tahap membazir!

Alhamdulillah usai menamatkan pengajian dia UIA Kuantan tercinta. Dan insyaAllah perjalanan seterusnya ALlah telah rencanakan buat hamba-Nya. Semoga rahmat-Nya mengiringi setiap langkah. Mohon doa sahabat-sahabat. Apa pun yang kita lakukan niatkan kerana Allah. Menuntut ilmu tidak akan pernah terhenti selagi kita masih bernyawa. Teruskan berdoa untuk umat Islam usai sahaja solat fardhu. 

Ya Allah, jangan Kau biarkan hamba-Mu ini leka dengan nikmat dunia, tambah rasa cintaku kepada-Mu, kuatkan imanku untuk menempuh ujian akhir zaman ini Ya Rahman, tambahkanlah rasa cinta dan rinduku kepada Rasul-Mu, jadikan aku hamba yang syukurnya tidak pernah henti, pandang aku dengan pandangan rahmat-Mu Ya Allah.

Allahumma Amiin.