Friday, February 8, 2013

HHK; Jiwa-jiwa itu jiwa besar




"Ct dah update blog ke"?

Tanya abah pada saya sewaktu pulang ke rumah dua minggu lepas. Saya hanya tersenyum di belakang Abah. Saya sendiri rindu untuk mengemaskini laman sesawang ini. Dengan siri-siri kuliah dan majlis ilmu yang hanya kemas tercatat di dalam buku catatan yang entah ke berapa. Alhamdulillah, koleksi-koleksi buku-buku catatan saya simpan dengan baik. Sayang semuanya. Banyak sungguh catatan ilmu hasil pengisian usrah, tamrin, kuliah, talaqqi, wacana-wacana ilmu, mesyuarat dan sebagainya. Ikukan hati mahu sahaja bawa kesemuanya ke sini. Tetapi diri memilih satu buku catatan yang sudah sarat dengan catatan sebagai bahan untuk dibelek-belek. Persoalannya tinggal lagi untuk diamalkan atau tidak? 

Bukan soal buku catatan yang ingin saya ceritakan tetapi berkenaan Himpunan Helwa Kebangsaan hujung minggu lepas. Alhamdulillah untuk sebuah momen indah yang Allah hadirkan minggu lepas. Niat dipasakkan, langkah diteruskan dan alhamdulillah, hadiah dari-Nya yang saya kira benar-benar berharga.

Sungguh masih banyak lagi kerja di luar sana. Hanya yang benar-benar terpilih untuk meneruskannya dan terus kuat menempuhnya. Manusia yang beribadat dan berbakti untuk ummat itu lebih disukai Allah berbanding dengan mereka yang hanya beribadat siang dan malam tanpa peduli jiran tetangga dan ummat di luar yang menderita dan memerlukan pertolongan kita yang mempunyai sedikit kesedaran.

Bagaimana dengan kisah seorang mak cik berumur 60 tahun yang tidak berpuasa sepanjang hayatnya dek kerana berpegang dengan kepercayaan bahawa kentut membatalkan puasa? Bagaimana dengan golongan-golongan elit mahupun golongan biasa yang melakukan sumbang mahram? Berzina dengan ibu sendiri? dengan anak lelaki sendiri? Allahu..

Barangkali ada yang sudah mati rasa apabila masalah sebegini seakan sudah sebati dalam jiwa masyarakat kita. Entah kenapa air mata seakan tidak berhenti mengalir saat tayangan video mengenai siri-siri perjuangan tokoh yang saya kagumi perjuangannya. Seorang doktor pakar yang akhirnya setia menjadi seorang isteri dan ibu, menempuh kehidupan dengan bertompokkan fitnah yang tidak berkesudahan, Allah bersamamu, maka Allah kuatkanmu. Seorang saintis yang terus subur dengan semangat sains tauhidik, menyedarkan mereka keperluan sains dan mengenal Pencipta, memperkenalkan pemakaian tudung walaupun ketika itu digelar hantu bungkus. Al-Fatihah buatmu arwah Prof Khalijah Salleh. 

Petang itu, usai solat Asar dan bersembang dengan sahabat yang sudah lama tidak bersua, saya ternampak kelibat Madam Martinelli yang baru keluar dari bilik air menuju ke surau. Terus saya kejar dan bersalam dengan beliau. Terima kasih Allah. 

Sambil menghulurkan tangan saya terus bertanya;

"Madam kenal saya tak?" (Dalam hati saya, of course la tak kenal..sebab tak pernah jumpa face to face)

Madam tersenyum...

"Saya la Siti Fatimah Kamaruddin"..Huhu...

"La ye ke..yang selalu follow saya tu ye"..

"Haah, terima kasih Madam baca blog saya"...

Saya mendapat tahu Madam merupakan salah seorang yang selalu berkunjung ke blog saya. Dan saya juga antara insan yang selalu membaca entri-entri Madam. Beliau menyatakan kesedihannya kerana telah ditamatkan perkhidmatannya di dalam CENSRVE IIUM. La ba'sa Madam, peluang Madam di luar sana terbentang luas, inshaAllah. 

Perkongsian Madam di HKK tempoh hari sangat terkesan. Tidak bersandar pada sebarang statistik, slides mahupun carta-carta hasil kajian, Madam membawa kisah dan pengalaman berharga sepanjang keterlibatan beliau dengan turun ke lapangan dan kancah kehidupan masyarakat.

Apa erti kita membuntang mata hanya dengan dikejutkan dengan berita-berita kurang enak mengenai anak-anak muda zaman ini? Apa erti kita hanya hadir ke kuliah-kuliah agama, seminar dan lain-lain wacana ilmu hanya dengan semangat-semangatan? Apa erti kita kepada manusia lain?


Allah Allah..entah apa yang telah saya lakukan sepanjang umur ini, sepanjang hidup ini. KepadaMu Allah, terima kasih untuk sebuah tarbiyyah, pahit manis disulami hikmah. Hikmah yang harus dicari, digali dan diteliti. Kerana hidup ini tidak semudah itu. Mujahadah, mujahadah, mujahadah.

Semoga Allah senaraikan kita sebagai hamba-Nya yang membantu ke arah tertegaknya Islam. Allahumma Amiin..