Wednesday, September 19, 2012

Kerana Tuhan untuk Manusia




Alhamdulillah wa syukru lillah.

Sejujurnya, saya rindu untuk menulis. Meninggalkan beberapa perkara di laman ini. Saya hanya mampu membelek-belek dan membaca kembali peringatan-peringatan yang ditulis khas untuk diri sendiri. Pastinya apabila kita membaca tulisan orang yang kita kenal, pembacaan kita akan lebih cerap.

Sudah hampir dua minggu lebih saya di UTM. Menahan suhu yang bisa membuatkan tangan kaku dan sejuknya hingga menusuk ke tulang. Barangkali ini juga ujian kesyukuran. As simple as ABC. Jadi, tidak perlu mengeluh. Oh ye saya bukan berada di dalam peti ais ye. Kini saya ditempatkan di bilik lama pensyarah bersama seorang pelajar Phd, Kak Atiyyah namanya. Memandangkan, Dr Fadhil selaku supervisor saya telah berpindah ke bangunan baru, beliau dengan berbesar hati memberi kami biliknya. Terima kasih Dr! Bilik ini perlu dikemas lagi kerana banyak juga barang-barang Dr yang sudah tidak digunakan lagi dan menanti masa untuk dikitar semula.

Saya sememangnya tahu kewujudan UTM tetapi saya tidak pernah langsung perasan perkataan yang terdapat pada logo UTM.

"Kerana Tuhan untuk manusia"

Menarik bukan? Sewaktu pertemuan pertama kali dengan supervisor, beliau menekankan perkara ini kepada saya. Saya sudah cukup gembira dengan itu. Bertambah keyakinan saya terhadap beliau dalam erti kata beliau bukan buat kerja hanya kerana mahu menempa nama atau mendapatkan ganjaran, tetapi kerana Allah dan kelebihannya untuk dinikmati orang lain. InsyaAllah.

Di sini peratusan pelajar luar negara sangat tinggi berbanding dengan universiti-universiti penyelidikan yang lain. Kebanyakannya pelajar Iran. Huhu. Alhamdulillah setiap pagi saya ke office dengan menaiki bas yang hanya memakan masa tidak sampai 5 minit. Jika tersilap bas saya akan turun di mana bas tersebut berhenti dan cuba cari jalan shortcut. Sehingga pernah terkantoi dengan seorang pensyarah kerana memanjat tangki air (rendah je pun) di belakang fakulti lain dek kerana nak ikut jalan shortcut. Hehe. Seronok!

Sudah pasti suasananya sedikit lain dengan UIA. Mungkin di sini saya masih dapat melihat cara pemakaian yang sama dengan pelajar-pelajar UIA. Bas yang sangat banyak dan setiap 15 minit pasti ada. Alhamdulillah.  Pelajar Cina dan India membuatkan saya terasa kembali zaman sekolah. Perpustakaan dan beberapa perkara lain yang budayanya sama seperti UIA dari segi keislamikannya. Alhamdulillah. Jika di UIA kempen "No Dating" mungkin giat dijalankan dengan menampal notis atau banner, tetapi di sini bebas di sana sini pelajar lelaki dan perempuan berdua-duaan kecuali yang sudah berkahwin.

Saya cukup bertuah kerana Allah memberi saya tempat yang cukup strategik. Kafe, Perpustakaan, Masjid dan Fakulti yang dekat dengan Kolej Penempatan saya. Kafe Kolej ditutup sejak sem lepas gara-gara berdekatan dengan kolej terdapat sebuah kafe yang selalu dikunjungi ramai, jadi mahu atau tidak kami perlu ke sana untuk membeli makanan. 'Ala kulli hal Alhamdulilah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Untuk semester pertama ini saya tidak bercadang mahu membawa kereta memandangkan beberapa perkara yang saya merasakan tidak sampai ke tahap wajib. Tetapi lesen P yang baru dimiliki ini tidak harus dibiarkan sahaja. Bimbang keyakinan untuk memandu itu hilang. Adakah saya perlu selalu sewa kereta?:)

Saya menanti untuk berusrah dengan WADAH Johor, seorang kenalan memberitahu ada beberapa pensyarah WADAH di sini. Dan saya juga sedang berusaha untuk berusrah dengan adik-adik undergraduate. Mereka sangat peramah dan mereka sangat mudah didekati. Ini suatu peluang untuk saya. Doakan! Mudah-mudahan kami semua akan menjadi lebih baik. Itu suatu yang tidak mustahil.

Terima kasih mak abah yang bersusah payah dari sejak ct dilahirkan hinggalah sekarang! Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga amanah ini terlaksana dengan baik. Amiiin!


Saturday, September 1, 2012

Syukru lillah





Alhamdulillah.

Tahun 2012. Subhanallah. Masa begitu cepat sekali berlalu. Sejam dirasakan seperti satu minit. Setahun bagai sebulan mungkin. Keberkatan waktu semakin ditarik Allah. Umat akhir zaman yang sentiasa dirindui baginda Rasulullah s.a.w ini berada di dalam ujian yang hebat.

Ujian kiri dan kanan. Depan dan belakang. Datang dengan bermacam-macam cara. Tinggal lagi iman sebagai penentu untuk lepas setiap halangan dan ujian yang Allah hadirkan. Dia hadirkan untuk kita kembali memahami erti dan makna kita berada di Bumi Allah dan kembali kepada sebab kita diciptakan? 

Hati kita pastinya sayu melihat satu persatu berita mengenai saudara seislam kita yang ditindas dan dibunuh. Seperti tiada nilai. Ini benar-benar ujian. Syukur setinggi-tinggi syukur, kita di sini sungguh senang. Masih mampu tersenyum, bergelak ketawa dan bergurau senda, malah menikmati  makanan yang enak-enak sehingga ke tahap membazir!

Alhamdulillah usai menamatkan pengajian dia UIA Kuantan tercinta. Dan insyaAllah perjalanan seterusnya ALlah telah rencanakan buat hamba-Nya. Semoga rahmat-Nya mengiringi setiap langkah. Mohon doa sahabat-sahabat. Apa pun yang kita lakukan niatkan kerana Allah. Menuntut ilmu tidak akan pernah terhenti selagi kita masih bernyawa. Teruskan berdoa untuk umat Islam usai sahaja solat fardhu. 

Ya Allah, jangan Kau biarkan hamba-Mu ini leka dengan nikmat dunia, tambah rasa cintaku kepada-Mu, kuatkan imanku untuk menempuh ujian akhir zaman ini Ya Rahman, tambahkanlah rasa cinta dan rinduku kepada Rasul-Mu, jadikan aku hamba yang syukurnya tidak pernah henti, pandang aku dengan pandangan rahmat-Mu Ya Allah.

Allahumma Amiin.


Friday, August 3, 2012

"Saya nak jadi soleh"


Bismillahi walhamdulillah.

Syukur. Sekarang kita sudah berada di fasa kedua Ramadhan. Sudah pasti saya dan kalian semua tidak mahu jauh dari rahmat Allah. Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan. Hikmah dirahsiakan malam Lailatul Qadar agar hamba-hambaNya gigih beribadat kerana-Nya semata-mata. Allahumma ainni'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik. Amiin.

Dah lama ingin mengemaskini entri tapi tertangguh seketika. Selesai beberapa program. Syukur cuti selepas habis pengajian ijazah sarjana muda dapat bersama-sama dengan sahabat-sahabat PPINS merangka dan melaksanakan beberapa agenda. 

Ingin berkongsi mengenai program Kem Anak Soleh yang diadakan di Port Dickson pada 17-19 Julai yang lalu. Terpanggil untuk berkongsi sebab bagi saya ianya unik! Pengalaman yang sama saya lalui dengan peserta yang lebih kurang umurnya tiga tahun lepas. Menariknya, mad'u kali ini terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 18 - 30 tahun. Dah macam rupa ayah orang dah. Huhu. Perasaan malu mereka ketepikan semata-mata untuk menambah ilmu. 



Saya rasa saya cukup bertuah kerana salah seorang peserta di dalam kumpulan saya merupakan seorang pelakon tambahan. Dan muka dia memang saya pernah jumpa dalam program sebelum ini. Tabik! Dia mesra dengan panggilan Yan dan paling banyak bercakap dan mengeluarkan pendapat. Yang penting peranan fasi sebagai provokator. Di dalam program ini kami memberi penekanan mengenai kalimah syahadah, rukun iman, perihal solat, mandi wajib dan puasa ditekankan. Di samping pengenalan al-mathurat, qiyammulail dan peri penting menjadi anak soleh.




Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa di tepi pantai. Seronok sebab bukan selalu ke pantai. Saya sengaja membiarkan mereka memilih tempat untuk membuat LDK. Ada seorang yang telah bekerja di Klinik Kesihatan dan nampak sangat diam. Barangkali mereka sudah dapat mengagak bahawa saya lebih muda daripada mereka. Paling muda adik Tingkatan 6 rendah.

"Kak, boleh tak warna rambut?"

Saya terus teringat sesi soal jawab dengan ustazah sewaktu program yang lalu. Lalu saya kongsikan bersama mereka.

" Perempuan kalau warna rambut sudah pasti air tidak mengalir dan mandi wajib dan solat tidak sah, jadi penyelesainya kena sentiasa potong rambut sependek yang mungkin tetapi tidak menyerupai lelaki"

Adik tersebut seakan kelat mukanya. Seperti tidak dapat menerimanya dan nampak riak wajahnya yang serba salah dengan perbuatannya yang lalu. Saya menyambung;

"Jangan risau dik, kan Allah tu Maha Penyanyang. Dia akan terima taubat kita selagi mana kita tidak berlaku syirik dan selagi kiamat belum berlaku".

Dia tersenyum tetapi masih dalam kerisauan.



Sejujurnya saya lebih suka bersama-sama dengan adik-adik yang bermasalah. Lebih jelas masyarakat kita sebenarnya sangat memerlukan bantuan. Sebagai contoh, pelajar-pelajar sekolah agama tinggal lagi untuk diasah biar kelak mereka pula turun mengeluarkan masyarakat dari kegelapan kepada kecerahan (zulumati ilannur). Sangat menggembirakan sekiranya ada yang berubah usai sahaja program dan melaksanakan apa yang telah mereka pelajari. Semoga dosa-dosa yang ada pada diri tidak menghalang hidayah Allah untuk sampai kepada mereka.


Semoga kalian jadi anak soleh. Perubahan sedikit demi sedikit. Allah melihat pada hati kalian dan buka pada rupa paras. 


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib suatu kaum itu sendiri kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka"
                                                         
                                                            (Ar-Rad:11)


Tiba-tiba saya teringat pula filem Sang Murabbi. Mereka yang bergelar dai'e dan terlibat dengan gerakan saya kira wajib menontonnya. Teringat kata-kata pelakon yang memainkan watak ibu kepada Ustaz Rahmat Abdullah. Beliau mengingatkan Ustaz Rahmat agar tidak lupa menasihati adiknya dan usah sibuk menasihati orang.

InsyaAllah, saya sedang usahakan itu juga. Usaha juga islah diri dan bantu orang lain. Hanya Allah yang mampu menilai.



Thursday, July 19, 2012

Bisa yang terakhir


Allahumma bariklaana fi Sya'ban wa balighna ila Ramadhan. Amiin Ya Allah.

Selangkah kita dekat seribu langkah Dia dekat dengan kita. Sungguh Allah itu sangat baik.

Ramadhan kini tiba lagi. Semoga benih keikhlasan membuahkan amal yang diterima Ilahi. InsyaAllah.

Mohon maaf untuk segala-galanya, semoga amal kita diterima dan perbanyakkan munajat agar kita peroleh syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w dan diampunkan dosa-dosa kita yang lalu.

Ahlan Ya Ramadhan.


Islah nafsak wad'u ghayrak

Islah nafsak wad'u ghayrak.

Perbaikilah diri kamu dan pada masa yang sama ajak orang lain.









"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika sekiranya kamu benar-benar orang-orang yang beriman."
 (3:139)


Wednesday, July 4, 2012

Usrati habibati



Saya rindu usrah.

Saya rindu anak-anak usrah yang sekarang sudah membawa haluan masing-masing meneruskan pengajian di universiti tempatan dan anak-anak usrah yang ditinggalkan di Bumi Kuantan. Doakan akak kembali! InsyaAllah, sangat mahu ke sana dan meneruskan pengajian di sana jika diizinkan Allah.

Intan, Shima, Hawa, Nisa, Fiqah dan Mira. Mesej-mesej ingatan terus menjadi penghubung antara kita. Semoga Allah mempertemukan kita suatu hari nanti. Mereka ini semua insan-insan yang dahagakan ilmu. Yang sentiasa mahu memperbaiki diri. Bangga dengan kalian. Jom sama-sama perbaiki diri!

Ana, Pipah, Kak Ira dan Ina. Kalian orang hebat. InsyaAllah kalian boleh pergi jauh dan mampu bimbing adik-adik yang lain. Yang penting kalian kena sentiasa kuat dan minta kepada Dia sebab Dia kan sumber segala kekuatan. Perginya kami bukan bermakna kami sudah tidak bersama kalian, tetapi ukhwah kita tetap akan kekal insyaAllah mudah-mudahan sehingga ke syurga kelak. Ameen Ya Rabb.


Tidak dilupai sahabat-sahabat seusrah; Athirah, Imtinan, Wan, Dodi, Kak Joh, Kak Syibi, Nab, Zai, Awa, Dila, Tikah. Kalian masing-masing punya kelebihan tersendiri. Di mana sahaja kalian berada doa tetap ada buat sahabat-sahabat agar dipermudahkan urusan. Kahwin nanti jangan lupa jemput!:)

Usrah memang awesome. Bertambah awesome dengan ahli-ahlinya. Huhu. Alhamdulillah syukur Ya Allah atas nikmat ini.

Budayakan usrah kerana itu salah satu sunnah Rasulullah yang bermula di rumah Al-Arqam Abi Al-Arqam. Usrah untuk menimba ilmu, menyemai ukhwah, mengisi perut (huhu), berkongsi ilmu dan bermacam-macam lagi. 

Yang berkesempatan boleh mulakan usrah dalam keluarga masing-masing. Usrah kan keluarga^_^

Sunday, July 1, 2012

Tenang kau di sana


Lewat petang semalam saya buka laman muka buku. Mahu mengemaskini maklumat dan info program yang akan datang di group. Tiba-tiba anak mata lantas fokus ke arah status seorang adik junior yang sama-sama berpraktikal di Hospital Tunku Jaafar Seremban pada tahun lepas;

" Melihat arwah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan, cukup memberi kesan pada diri. Cuaca yang cukup redup dan tenang mengiringi pemergian arwah, hujan mengiringi perpisahan kita di dunia ini, selamat tinggal sahabatku, doa ku kirim agar kau tenang di sana. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, ku pohon agar dikau dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah buat sahabatku Zulfakar Zainal Abdi"

Saya agak tersentak apabila melihat ayat terakhir. Zulfakar. Adakah Zulfakar yang sama-sama berpraktikal bersama kami? Mana tahu ada rakannya yang lain bernama Zulfakar. Tekaan saya tepat. Itulah Zulfakar. Adik yang baru sahaja menamatkan pelajarannya di IMR. Sahabat-sahabat IMR banyak membantu saya sewaktu berpraktikal. Al maklumlah, di IMR mereka memang dilatih untuk bekerja. Semua test dan machine di hujung jari sahaja.

Al-Fatihah. Seorang sahabat memaklumkan bahawa arwah kemalangan sewaktu hendak membeli goreng pisang. Keadaan di dalam kubur, munkar dan nakir yang siap sedia melaksanakan tugas menyoal hamba Allah, fitnah kubur yang menimpa dan macam-macam lagi. Kadang-kadang selalu fikir mengenai perkara ini tetapi sejauh mana kuat mujahadah masih belum dapat saya kenal pasti. Allahu Allah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasmu dan membantu arwah di alam barzakh. Alam sementara yang pasti akan kita lalui saat menanti peralihan ke alam yg kekal abadi yakni alam akhirat. Sungguh mati itu penghapus segala kelazatan.

Andai hari ini kita masih berseronok dan melebih-lebihkan dunia seperti dunia ini akan kekal, ketahuilah malaikat maut sentiasa bersedia mencabut nyawa hamba-hamba Allah. Ingat mati bukan bermakna akan melemahkan prestasi kehidupan kita malah lebih meningkatkan prestasi. Bukankah ibadah itu apa-apa sahaja pekerjaan dunia yang dilakukan kerana Allah semata-mata? Kerana kita mahu redha-Nya. Mahu Dia pimpin kita dalam setiap urusan kehidupan. 

Malu sungguh pada-Nya. Hari ini saya dan kamu masih hidup. Pasti ada sebab mengapa ALlah masih memberi peluang. Tepuk dada tanya iman saya sendiri. Entah bila giliran saya Ya Allah. Tuntun aku ke jalan-Mu Ya Rabb. Sungguh aku lemah dan tidak berdaya.

Allahumma firglahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Ameen!